25.4.17

Ironinya...

Minggu yang lalu, saya ada menghadiri satu taklimat mengenai dengan Pemotongan Gaji Penjawat Awam untuk tabung pembinaan masjid, Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pada dasarnya ianya adalah satu inisiatif yang baik, berkonsepkan “behampit-hampitan” di dalam membuat kebajikan, walaupun beberapa aspek dan pelaksaannya masih ada ruang untuk dibincangkan dan perbezaan pendapat. Tapi itu bukan tujuan saya menulis kali ini.

Seusai daripada taklimat berkenaan, saya sempat bercerita bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, tentang projek dan kerjasama yang sedang diusahakan bersama. YM Pengarah Hal Ehwal Masjid juga menegur sapa dengan bertanya “kan balik belajar lagi?”. Saya menidakkan dan berkata “sedih sedikit ustaz (meliat keadaan Institut Tahfiz), masa jaman ustad daulu, barsih..”.

Itulah yang saya dapat perhatikan apabila masuk sahaja ke kompaun ITQ. Satu keadaan yang menyedihkan. Jalan masuk dan bahu-bahu jalan dipenuhi dedaun kering, rumput panjang dan tidak terurus. Masuk ke dalam bangunan utama, dinding-dindingnya dipenuhi “kulat” kehitaman dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Terakhir saya menjadi warga Institut adalah pada tahun 2004. Ketika atu, kebersihan bangunan ditendarkan kepada syarikat pembersih swasta dan pemeliharaan bangunan ketika atu memanglah 1st class. Tetapi Institut juga telah mengalami perubahan dari segi pentadbiran dan urustadbir, di mana dahulunya adalah di bawah jagaan Yayasan SHHB dan sekarang berada di bawah seliaan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dan mungkin ini sedikit sebanyak, menjejaskan pembiyaan dan peruntukan untuk penjagaan bangunan dan kebersihan.

Tapi saya juga menjadi hairan, seolah-olah tiada apa-apa dapat dibuat mengenainya. Tidakkah sesiapa di Institut itu, atau di Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang dapat memikirkan cara untuk mengatasi masalah kebersihan ini? Satu keadaan terbiar seperti Institut atu tidak berpenghuni? Di mana Pengetua, Timbalan-timbalan Pengetua, Para Mua’llim dan Guru, warden, serta YDP Pelajar?

Saya sempat juga mencadangakan kepada Pegawai Kanan Kementerian Ugama yang hadir ketika itu, kenapa nda soal kebersihan ani dibuat sendiri oleh warga Institut sendiri, tanpa perlu menunggu bantuan Kerajaan? Saya berpendapat, tiadalah ada salah dan bukanlah perkara hina jika seluruh warga Institut itu, menyinsing lengan bersama-sama bergotong royong membersih halaman rumah sendiri.

Pengurusan tertinggi sepatutnya mengulukan perkara ini. Jangan sampai ada orang bercakap, bahawa mereka ini cuma sibuk melayan jemputan-jemputan dan “sampul surat” sahaja sehingga mengabaikan kerja-kerja yang lain. Ini juga mungkin salah satu cara kita untuk memberi balik (giving back) kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang selama-lama ini telah memberi banyak kemudahan dan kelebihan kepada Institut.

Dan yang saya paling hairan, saya perhatikan, kebanyakkanya yang paling kurang bersih ani adalah institusi atau organisasi yang membawa nama Ugama/Islam. Cuba perhatikan, sekolah-sekolah ugama dan Arab, masjid-masjid (terutama tandasnya), Jabatan-jabatan Ugama, dan yang lainnya dan bandingkan dengan sekolah “secular” dan antarabangsa, kawasan gereja dan tapikong, bangunan komersial milik bukan Islam… rasa-rasanya kalah ketani.

Dan ini menjadi satu tanda tanya, bukankah soal kebersihan ini perkara penting di dalam Islam?

Wallahua’lam.

No comments: