29.4.17

“Otai masih berdosa?”

Khutbah Jumaat kemarin atu bagi saya suatu yang menarik iaitu mengenai dengan hakikat kematian, Kenduri Arwah dan Tahlil. Orang mungkin berbeza pendapat tentang perkara ini, tapi bukanlah maksud posting kali ini untuk membincangkannya.

Ianya juga membuatkan saya merenung akan perihal kehidupan ini. Membuat refleksi akan masa lalu dan memikirkan nasib dan kehidupan yang akan datang. Inilah satu misteri kehidupan yang Tuhan ciptakan. Tiada siapa tahu akan nasib nya di hari mendatang ini, selain kita disuruh berusaha dan bertawakal.

Melihat kebelakang, memang diakui ada kalanya kita tersilap dan tergelincir, ada perkara yang kita buat dulu, yang kalau boleh kita undur masa dan kita akan halang diri kita dari membuatnya. Malangnya perkara sudah terjadi, kita hanya boleh memohon Allah swt mengampuninya dan menutup segala aib kita atu. Tapi, tentang masa depan, ianya masih lagi boleh kita tulis, cerita bagaimana yang kita mau.

Di dalam Al-Quran, Allah ada menceritakan kepada kita kisah-kisah kaum yang terdahulu untuk kita ambil pelajaran daripadanya. Mengambil pelajaran daripada orang-orang terdahulu ini adalah satu cara bagaimana kita dapat mempersiapkan diri kita dalam menjalani kehidupan ini.

Lalu saya bertanya, pelajaran apakah yang saya dapat ambil daripada generasi sebelum kita ini? Generasi perindungan dan dato-nini ketani? Apa contoh terbaik yang ketani dapat warisi dan banggakan? Diakui sebahagian mereka telah berjaya keluar daripada kesusahan dan kesempitan hidup, berjaya di dalam career dan perniagaan, serta mampu melahirkan anak-anak berpendidikan, tetapi ada juga yang kurang berjaya mencapai semua atu. Namun, sebagai seorang Muslim, ketani tidak boleh berputus asa daripada terus bercita-cita untuk mencapai kejayaan paling besar, iaitu, mendapat Redha dan Syurga Allah di akhirat kelak.

Antara rahmat Allah kepada hamba-hambanya adalah disembunyikannya soal ajal maut, jodoh dan rezeki, supaya manusia terus berusaha dan bergantung harap hanya kepadaNya. Jika perkara-perkara ani dibukakan, nescaya kehidupan dan sosial manuasia akan terhenti. Tentang umur, ajal dan maut ini, ianya tidaklah dapat dijanjikan. Tiada siapa tahu bilakah ajal datang menjemputnya dan dalam keadaan apa. Bagi mereka yang menjangkau umur yang lanjut, maka ianya adalah satu kelebihan yang Allah berikan. Allah memberikan banyak masa untuk mengumpulkan saham untuk dituai di hari kandila nanti.

Islam tidaklah melarang daripada manusia untuk mengambil habuan dunia, tetapi digariskan peraturan dan hukum hakamnya. Kita dianjurkan bekerja untuk mencari nafkah dengan cara yang halal dan ianya dikira sebagai satu ibadah. Tetapi dalam kesibukan mencari dunia ini, ramai di antara kita yang terlupa akan kewajipan kepada Allah swt dan merasakan bahawa masih ada masa lagi untuk beribadat ketika sudah tua.

Kalau orang muda yang berfikiran cematu, kitani boleh faham walaupun nda bersetuju. Yang lebih sedih adalah apabila yang nda sadarkan diri ani adalah daripada golongan veteran atau orang tetua ketani. Di usia yang kian senja masih lagi berfikiran seperti orang muda. Keinginan dan kerakusan kepada dunia masih membuak-buak.

Saya tidak perlu melihat jauh situasi seperti ini. Cukup melihat kepada orang tetua yang ada di sekililing saya. Sepatutnya ketika usia sudah lanjut ini, mereka-mereka ani lebih menumpukan kepada persiapan akhirat daripada terlalu memikirkan kesibukan duniawi sahaja.

Saya sangat mengharapkan sekiranya orang-orang tetua ketani ani yang mengulukan anak-anak muda untuk lebih melazimi solat berjemaah di masjid atau di rumah daripada sibuk membuat perkara melalaikan, memperbanyakkan bacaan Al-Quran daripada masih sibuk membaca majalah dan surat khabar, memperbanyakkan solat malam daripada lebih banyak menjagai dangdut dan drama, membelanjakan harta untuk kepentingan akhirat daripada untuk kesenangan duniawi semata, pergi umrah dan beribadah di Tanah Suci daripada menghabiskan duit melancong, berkongsi rezeki kepada tetangga daripada sibuk men”share” gambar-gambar di media sosial.

Sebahagian orang tetua ani, bukan sahaja durang ani nda dapat menasihati anak-anak buah, bahkan durang atu menjadi cuntuh yang kurang baik. Semakin tua, semakin suka bergosip dan bercerita keaiban orang, mikin beumur perkataan semakin kesat. Sudah tua dan becucu, barutah kan bekelai laki bini sampai becarai barai. Di usia senja, semakin suka memandang hina kepada manusia lain. Pantang ditegur. Apabila ditegur, merekalah dahulu yang makan garam katanya.

Sebahagian orang tetua ketani, rokok masih acung-acung di mulut. Seolah-olah tidak mengambil pelajaran daripada orang-orang yang telah tersiksa (dan meninggal!) kerana rokok. Ada yang bergelar Haji, tetapi kaki judi. Ada yang tua, masih kegatalan dan miang. Ada yang selepas bersara, masih aktif mengayau karaoke dan berhibur secara berlebihan. Kononnya otai masih berbisa, tidak sedar bahawa otai masih berdosa!

Mungkin mereka menyangka bahawa selepas meninggal nanti, anak cuculah yang akan mengirim pahala untuk mereka. Tiadalah akan memberi manfaat kiriman pahala atu, jika semasa hidupnya tidak beramal sendiri. Saya berdoa semoga orang tetua ketani ani diberi kesedaran oleh Allah swt dan sempat untuk bertaubat sebelum ajal datang menjemput, termasuk juga kitani yang muda-muda ani.

Sekian coretan kali ini, semoga bermanfaat.

“Selamat tinggal pujaan~~ selamat kau berbahgia~~” S. Jibeng.

No comments: