12.6.17

Betulkah sudah saf solat kita?

Sudah agak lama saya ingin menulis mengenai dengan satu pemerhatian saya mengenai dengan cara orang kita membuat saf di dalam solat Jemaah. Cuma saya kurang ilmu dan maklumat mengenai perkara ini maka saya malamkan dulu untuk mengulasnya. Tapi sejak ahir-ahir ini saya rasa terpanggil untuk membawakan isu ani, dengan harapan ada yang lebih arif seperti para asatizah, daie-daie dan institusi ugama yang lain mungkin dapat mengulasnya dengan lebih panjang dan ilmiah.

Masa belajar ugama dulu, saya masih ingat lagi apabila cikgu mengajar bahawa saf solat mestilah dirapatkan dan diluruskan. Setiap kali pelajaran amali ibadat, cikgu selalu mengingatkan bahawa saf mestilah rapat dan lurus; rapat dengan erti bahu kita menyentuh bahu orang disebelah, sementara lurus bermaksud belakang tumit kita adalah selari dengan belakang tumit orang di sebalah. Perkara ani selalu menjadi ingatan dan pemerhatian saya setiap kali solat berjemaah, baik di masjid, surau ataupun di rumah.

Ada jua saya betanya kepada kawan-kawan aliran syariah mengenai hal ini, samada terdapat perbezaan pendapat mengenai dengan tatacara merapatkan saf. Jawapan yang saya terima ialah para ulama sepakat bahawa merapatkan dan meluruskan saf solat adalah sepertimana yang disebutkan di dalam banyak hadis-hadis Nabi dan athar para sahabat. Walau bagaimanapun,  solat tersebut adalah sah tetapi kurang sempurna dari segi penyusunan safnya.

Ada kawan berpendapat kenapa orang-orang kita gemar memberi sedikit ruang di antara satu sama lain ialah kerana untuk memberi sedikit ruang untuk duduk betimpuh semasa tahiyat akhir. Kalau nda ada ruang, maka nda dapat duduk betimpuh dan terpaksalah duduk seperti duduk di antara dua sujud. Apapun alasannya, nya kawan atu, adalah lebih utama bagi jemaah untuk merapatkan dan meluruskan saf-saf solat sepertimana jua yang digariskan.

Kebanyakan orang kita kurang ambil berat dalam soal memenuhkan saf ini, buktinya kalau ada ruang kosong dihadapan atau di sebelah, orang lain pulang diariknya untuk memenuhkan, daripada ia sendiri yang bergerak masuk. Kadang-kadang biar nda berisi saf atu pasal gagas kan mengangkat takbir.

Diceritakan bahawa semasa zaman Sayyidina Omar Al-Khattab RA menjadi khalifah, beliau akan mengarahkan seseorang untuk memastikan bahawa saf solat jemaah adalah rapat dan lurus sebelum beliau mengimamkan solat. Mungkin ani satu praktik yang boleh dibuat oleh para imam kita, sekurang-kurangnya berikan masa yang mencukupi dan adakan satu pasukan untuk memastikan saf adalah betul-betul rapat dan lurus sebelum solat dimulai.

Oleh kerana saf ketani ani kurang kemas, iatah makahnya jua kadang-kadang sebahagian jemaah terpaksa solat di luar masjid dan ada yang solat di tempat meletakkan selipar di luar. Padahal kalau saf-saf di hadapan atu rapat dan lurus, lebih ramai lagi yang ampit masuk ke dalam barisan. Cuba biskita perhatikan, bukan saja saf atu nda rapat, bahkan terlalu renggang, kadang-kadang ada yang dalam sekaki jaraknya di antara satu sama yang lain. (cuba biskita google “sembahyang mahgrib jemaah brunei” dan liat arah image)

Saya teringat pernah membaca satu kisah yang dikaitkan dengan Sayyidina Omar Al-Khattab RA, ketika beliau memimpin tentera Islam berperang dan kaum muslimin ketika atu kalah teruk. Lalu beliau membuat 'audit' sikit dan dapatannya adalah pasukan muslimin bukan kalah keramaian atau bukan nda tedapat senjata yang mencukupi, tetapi orang-orang islam ketika atu nda meluruskan saf solat dan nda melazimi bersiwak. 

Rupanya kekalahan mereka adalah disebabkan kerana mereka dengan tidak senghaja meninggalkan Sunnah Nabi SAW di dalam perihal saf solat dan bersugi. Mengambil iktibar dari kisah ani, mungkin sebahagian daripada ujian berbentuk kepayahan dan ‘kekalahan’ ketani ani adalah berpunca daripada perkara yang sama jua, ada Sunnah-sunnah Nabi SAW yang ketani tidak amalkan baik secara sengaja ataupun tidak. Di sinilah peranan ahli-ahli agama dan penuntut ilmu agama untuk sentiasa mengingatkan orang-orang awam yang lainnya. Saya penuh yakin, sekiranya kita betulkan saf ini sesuai dengan yang diperintahkan, serta menghidupkan sunnah-sunnah Nabi SAW yang lain, insyaAllah akan bertambah berkat dan makmur lagi negara kita ini.

Oleh itu, saya mencadangkan agar tajuk ini dapat diulas dan dikupas secara mendalam serta diuwar-uwarkan di dalam kuliah-kuliah, di sekolah-sekolah, media-media, dikhutbahkan, atau dibuatkan irsyad hukum sebagai peringatan kepada umat Islam di negara ini. Semoga dengan kita sama-sama menjaga kesempurnaan saf solat kita, Allah ta’ala akan menjaga negara kita, aman makmur selamanya. Amin.

Wassalam.

No comments: