4.10.17

SEMBAH TAHNIAH KEHADAPAN RAJA DIKASIHI

Alhamdulillah, puji dan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, yang di tangan-Nya jualah seluruh Kerajaan. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam, yang menjadi suri teladan terbaik bagi umat manusia.

Dengan izin Allah jua, Negara Brunei Darussalam akan menempah satu detik bersejarah apabila pada 5 Oktober 2017, genaplah 50 Tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sambutan Jubli Emas Baginda ini setentunya akan menjadi ristaan sejarah Brunei berabad lamanya.

Saya juga berbangga, kerana bukan sahaja terlibat sama di dalam membuat kerja-kerja sambutan dan acara, tetapi antara yang terawal di dalam menulis kertas konsep dan kertas cadangan  Sambutan Jubli Emas ini, seawal bulan Mac tahun lalu sebelum terbentuknya Pejabat Urusetia Tetap Jubli Emas. Alhamdulillah, sesuatu yang akan menjadi kenangan sepanjang perkhidmatan bersama Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Mengambil sukut sambutan gilang gemilang ini, saya dengan penuh hormat dan takzimnya, menyembahkan setinggi-tinggi tahniah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas sambutan Jubli Emas Baginda memerintah Negara Brunei Darussalam. Sukacita juga menyembahkan jutaan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Baginda di atas kurniaan dan kebaikan yang dihulurkan oleh Kerajaan Baginda selama ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah di dalam titah perutusan Tahun Baru Masehi 2017 yang antara lain menyentuh:

“… Menjelang tahun 2017 ini, akan berlaku satu lagi sejarah, apabila Insya Allah, negara akan merayakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Beta menaiki takhta. Sambutan ini sangat besar ertinya, sebagai cara, untuk kita menghargai sejarah.

Dalam perayaan yang dirancang, Beta berharap semua pihak akan mengamalkan sifat bersederhana. Apa yang penting ialah perayaan atau sambutan sebagai sifatnya 'petanda' bagi sejarah. Sejarah adalah 'lidah' zaman, yang akan berkata-kata kepada generasi demi generasi tanpa pernah mengenal penat atau bosan. Itulah harga sejarah… “ - http://www.hmjubliemas.gov.bn

Kadangkala kalau berseorangan saya ada terfikir juga, macamana agaknya para penulis atau pengkaji sejarah 100 atau 200 akan datang melihat kembali sejarah kita pada masa ini, khususnya era Sultan ke-29, Sultan Haji Hassanal Bolkiah? Dan apakah pandangan generasi ketika itu kepada generasi kita pada masa ini? Dan apakah satu perkara yang dapat diingat oleh rakyat jelata yang akan dijadikan cerita turun temurun mengenai Baginda?

Allah jualah yang tahu apa akan berlaku di masa akan datang itu. Yang pastinya, sejarah tidak dapat menafikan jasa dan pencapaian Sultan Brunei ke-29 ini yang memerintah negara, insyaAllah, lebih daripada 50 Tahun. Semoga generasi pada masa itu, sekurang-kurang mengucapkan terima kasih kepada generasi kita pada masa ini kerana telah berusaha keras dalam menyediakan Brunei yang berkeadaan baik bagi mereka. Dan satu perkara yang paling dekat di hati rakyat jelata ialah, keakraban dan dekatnya Baginda dengan rakyat dan penduduk di Negara ini.

Ini dapat dilihat apabila di dalam keseriusan baginda bersama Menteri-Menteri dan Pegawai-Pegawai Baginda, jika ada di antara rakyatnya yang ingin menjunjung ziarah dan bergambar kenangan, pasti baginda tidak menolak dan akan melakarkan senyuman yang paling manis. Kesanggupan Baginda bercemar duli turun dari kenderaan, semata-mata untuk berjumpa anak-anak kecil yang melambai-lambai baginda. Baginda sanggup berdiri berjam-jam ketika majlis junjung ziarah di Istana, hanya untuk bersalaman dengan sekalian rakyat. Itulah sosok Sultan Brunei ke-29 yang akan akan terus diceritakan kepada anak cucu nanti.

Di sepanjang 50 Tahun pemerintahan baginda jua, banyak milestones dan pencapaian besar telah dicapai negara merentasi pelbagai bidang. Kesejahteraan, pendidikan, kesihatan, perkembangan ugama Islam, dan sebagainya yang terlalu banyak untuk ditulis disini, tetapi saya percaya setiap rakyat baginda akan merasainya.

Sedari lahir hingga ke ahir hayat, Kerajaan Baginda menyediakan hospital dan pusat kesihatan percuma. Beras dan keperluan asasi lainnya diberikan subsidi agar tidak membebankan. Peluang pendidikan rendah, menengah dan tinggi diberikan sama rata. Tinggal lagi kita mengambil peluang yang ada. Subsidi tenaga eletrik dan minyak kereta, diberi agar rakyat selesa. Bagi yang sakit dan uzur, perubatan percuma dihulur. Yang kurang upaya dan berbeza, diberi layanan istimewa. Yang lemah dibela, yang berada dijaga. Pemberian dan anugeraha, tiada ada berkira. Yang tua disantuni, yang muda disayangi. Dihormati dan digalati, di dalam dan luar negeri. Sehingga pernah diceritakan bahawa baginda pernah bertitah dalam suatu mesyuarat tertutup: “Kebajikan rakyat di hati beta”. Itulah Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada pandangan saya.

Akhirnya, sekali lagi Hamba Kebawah Duli Tuan Patik, mewakili perindungan, peradian, pebinian dan peranak sekaliannya, menyembahkan ucapan Tahniah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Tuan Patik di atas Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Tuan Patik ini. Hamba Kebawah Duli Tuan Patik juga berdoa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melanjutkan usia Kebawah Duli Tuan Patik di dalam kebaikan dan melimpahkan rahmatnya kepada Kebawah Duli Tuan Patik dan sekalian Kerabat Diraja.

Adalah Hamba Kebawah Duli Tuan Patik Yang Taat Lagi Setia Pada Menjunjung Titah Perintah,

Awang Rasydan bin Haji Nokman
Kampung Lambak Kanan
4 Oktober 2017
            

No comments: