14.10.17

TIADA TEMBOK PEMISAH

Alhamdulillah, puji dan syukur kehadrat Allah Al-Malikul Mulk, pemilik Kerajaan Langit dan Bumi, yang memberikan kekuasaan dan kerajaan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mengambil kekuasaan dan kerajaan daripada yang dikehendaki-Nya pula. Dialah Al-Hayyu dan Al-Qayyum, yang Maha Hidup dan Maha Berdiri, tiada permulaan dan penghujung kepada pemerintahan-Nya.

Pada 5 Oktober 2017 yang baru sahaja berlalu, kita telah menyaksikan acara kemuncak Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia menaiki Takhta. Kehadiran rakyat jelata semasa Istiadat Perarakan sangat memberangsangkan. Bandar Seri Begawan dipenuhi lautan manusia dan bergema laungan “Daulaaaatt Tuanku” sepanjang perarakan. Inilah bukti kecintaan rakyat kepada Raja dan tanda kecintaan Raja kepada jelata.

Walaupun sudah beberapa hari ianya berlalu, masih segar lagi diingatan sebahagian kita akan kemeriahan hari bersejarah itu. Namun ada beberapa perkara yang masih berlegar dan bermain di kepala saya, juga mungkin orang lain, iaitu mengenai dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Sabda Sembah Kesyukuran Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota yang sangat menyentuh perasaan.

Titah baginda itu walaupun singkat, tapi pada pengamatan saya ada makna tersirat yang cuba baginda sampaikan untuk kita semua fikirkan. Yang paling menarik perhatian saya ialah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah:

“…Demikian itu hubungan raja dengan rakyat. Tidak ada tembok pemisah di antara mereka. Kewajipan raja berlaku adil kepada rakyat, sementara kewajipan rakyat pula menta’ati raja. Raja berkewajipan untuk mengetahui susah senang rakyat, sementara rakyat pula dituntut untuk bersimpati kepada raja. Inilah namanya kewajipan timbal balik untuk kesejahteraan semua. Raja dan rakyat sama-sama memegang amanah besar ini….” www.HMjubliemas.gov.bn

Dua poin utama dapat diambil daripada potongan titah baginda ini. Pertamanya ialah hubungan akrab raja dan rakyat. Keduanya ialah hak dan kewajipan timbal balik raja dan rakyatnya.

Beberapa hari kebelakangan ini, saya ada terfikir, apakah titah baginda ini sebagai pengukuh (reiterating) sahaja kepada hakikat yang semua kita sudah maklum, ataupun ianya sebagai peringatan dan amaran akan adanya usaha untuk membina tembok pemisah dan menggagalkan kewajipan timbal balik yang selama ini kita amalkan? Wallahu Ta’ala ‘Alam. Dan cuma baginda mengetahui akan makna titah baginda itu.

Tulisan kali ini saya akan membincangkan mengenai dengan “Tidak ada tembok pemisah” seperti yang baginda titahkan. Ya, begitulah gambaran akan betapa rapatnya Raja dan rakyatnya dan perkataan ini keluar daripada mulut baginda sendiri. Tiada siapa dapat mempertikaikan perkara ini apatah lagi untuk merampasnya daripada kita. Pun begitu, pada hemat saya, walaupun tiada ada tembok pemisah, akan tetap ada garis batasan kita sebagai rakyat terhadap rajanya. Perlunya juga kita menjaga adab dan akhlak kita sebagai rakyat apabila berdepan dengan baginda selaku Sultan dan Yang Di-Pertuan. Garisan ini tidak dapat kita langgar, tidak dapat kita abaikan, juga tidak dapat kita ambil enteng.

Seperti mana jua hubungan-hubungan lain, maka ada beberapa pantang larang yang perlu kita perhatikan. Sebagai contoh, hubungan Tuhan dengan hamba-Nya, sudah tentu tiada penghalang, bahkan Allah sendiri mengatakan “Fa innii Qarib” (sesungguhnya Aku adalah dekat). Tetapi sudah tentu ada beberapa batasan di antara Khaliq dan makhluq-Nya. Hubungan ibu bapa dengan anaknya, serupa juga tiada tembok pemisah, tapi ada tata tertib seorang anak terhadap orang tuanya. Begitu juga hubungan suami dan isteri, tiada ada tembok pemisah di antara mereka, cuma ada batasan yang perlu dijaga, hak dan kewajipan masing-masing mestilah dihormati dan dipenuhi. Maka apakah batas-batasan kita sebagai rakyat kepada Sang Raja?

Pertama adalah ketaatan kita kepada baginda. Seperti yang dikhutbahkan kelemarin, ketaatan rakyat kepada ulil amri adalah merupakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala selagi mana pemimpin itu tidak mengarahkan kepada maksiat dan pelanggaran syariat. Inilah batasan utama yang kita tidak boleh langgar.

Lalu ada yang bertanya, bagaimana kalau dasar baginda atau kerajaan baginda itu tersilap atau ada lagi yang boleh diperbaiki, adakah ketaatan disitu? Kita tidak menafikan ini. Adapun dasar-dasar, pandangan-pandangan, keputusan-keputusan baginda atau kerajaan itu adalah terdedah kepada betul dan salah, tepat dan silap, kerana ianya adalah ijtihad semata-mata. Tetapi sikap kita mestilah tunduk kepada titah baginda dan menghormati dasar kerajaan baginda walaupun sebahagiannya tidak menepati selera kita, dengan kita penuh percaya yang dibuat itu semuanya adalah berpaksikan prinsip keadilan dan untuk kebaikan yang lebih besar (greater good). Sudah tentu kita boleh sahaja tidak bersetuju, tetapi untuk meninggalkan ketaatan adalah melampaui batas. Dan saya juga penuh percaya, baginda adalah seorang yang sangat terbuka kepada pandangan dan idea yang membina. Dan percayalah, tidak akan ada satu keputusan dan dasar baginda itu, yang diniatkan untuk menyusahkan hidup rakyat tetapi sebaliknya, untuk mensejahterakan negara ini dan kebaikan bersama.

Kedua, batasan di dalam pergaulan. Titah baginda bahawa tiada tembok pemisah itu bukanlah sebagai greenlight untuk kita terlalu bersahaja - lalu kita tidak menjaga adab, akhlak, tatasusila dan bahasa yang selayaknya bagi seorang raja. Sebab itu, saya antara orang yang kurang senang akan satu fenomena terkini iaitu “Selfie” bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kerabat Diraja. Mungkin baginda sendiri tiada ada masalah apabila mana-mana rakyat baginda ingin bergambar kenangan, tetapi adakah kita sendiri tiada perasaan malu, rendah diri dan ‘hawar galat’?

Sedangkan kita orang Brunei ini tahu, jika berhadapan dengan raja, maka kita sewajarnya memerikan tunduk hormat, tangan disusun rapi dihadapan, bercakap hanya apabila diperkenankan bercakap, duduk berdiri hanya apabila raja memperkenankan untuk berbuat demikian. Secara peribadi, saya lebih suka sekiranya masa bersemuka bersama raja untuk kita berbual mesra dan mengenalkan diri. Pernah terjadi satu ketika semasa acara bersama rakyat, baginda cuba berbual-bual bersama seorang hamba Allah ini, tapi belum sempat baginda menghabiskan kalimah, hamba Allah ini tanpa segan silu berkata: “kan begambar! Kan begambar!” tanpa menjawab soalan-soalan baginda. Apakah ini kelakuan yang molek?

Saya juga memerhatikan dan kadangnya bersimpati dengan baginda dan kerabat diraja yang lain. Dalam kepenatan bercemar duli, demi tidak menghampakan rakyat, baginda melayan karenah-karenah orang ramai untuk bergambar selfie. Terkadang, acara yang setengah jam, akan mengambil masa beberapa jam. Apakah tidak ada perasaan kasihan dan simpati kepada Paduka Baginda? Dalam keadaan berpeluh, berasak-asak dan setentunya kepenatan? Tahukah kita apa yang terdetik di hati baginda dan para kerabat? Masing-masing kitalah yang menjawabnya.

Dan yang ketiga, batasan privacy dan kehidupan peribadi. Ini antara satu perkara penting yang perlu kita jaga. Raja kita ini, di samping baginda itu seorang Ketua Negara dan Ketua Kerajaan, baginda juga adalah seorang suami, seorang ayah, seorang mertua dan juga seorang besan kepada orang lain. Akan terkena kepada baginda apa yang menimpa orang lain, di atas keinsanan baginda itu. Baginda juga ada minat dan hobi, serta ada kegemaran-kegemaran sendiri. Dan setentunya sebagai manusia, pasti akan ada perasaan suka, murka, riang, duka dan sebagainya.

Semasa saya bertugas di bank swasta beberapa tahun dahulu, saya mengikuti kursus di negara seberang. Ketika itu saya ada ditanya tentang satu ‘gosip’ mengenai dengan kehidupan peribadi baginda. Terus terang, ketika itu saya langsung tidak tahu menahu akan berita-berita yang ditanyakan itu, lantas menjawab “kami di Brunei tidak masuk campur sangat apa yang berlaku di dalam rumah tangga Sultan, apa yang terjadi di dalam kehidupan peribadi baginda, biarlah baginda yang menguruskan, selagi mana ianya tidak mengganggu kami semua”.

Ya, seperti mana kita tidak mahu orang menyibuk akan hal rumah tangga dan keluarga kita, begitu jugalah sepatutnya sikap kita terhadap baginda dan keluarga. Kita cuma tahu apa yang baginda perkenankan untuk kita tahu melalui saluran-saluran yang rasmi. Lebih dari itu, tidak usahlah kita masuk campur, dan sekiranya kita tahu sesuatu cerita dalaman, tak usahlah ianya dicanang-canangkan.

Marilah kita selaku rakyat dan penduduk yang kasihkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk senantiasa menjaga batas-batasan ini walaupun tiada ada tembok penghalang di antara hubungan raja dan rakyat. Dengan cara ini juga kita berharap Institusi Raja yang cuba kita pelihara ini akan terus unggul dan dijunjung tinggi.


Sekian, wassalam.

No comments: