7.9.19

Hari Pertama Masuk Sekolah~

Alhamdulillah, hari ini adalah satu lagi hari yang bersejarah buat saya dan keluarga kerana ianya adalah hari pertama anak sulung kami memasuki alam persekolahan dan pembelajaran secara formal. Sememangnya ia adalah satu permulaan kepada satu tempoh pembelajaran yang sangat panjang, dan semoga Awang terus menerus menuntut ilmu selagi hayat dikandung badan. Bersempena dengan Awang sudah dengan rasminya bersekolah, di sini bapa sukacita memberikan nasihat dan amanat, semoga satu hari nanti Awang dan adik-adik yang lain dapat membaca, memahami dan mengamalkannya.

Bapa masih ingat lagi pesanan atokmu dulu, masa zaman bapa bersekolah. Atok membagitau: “ketani ani bukan orang kaya, bapa (atok) nda ada harta dan rumah sewa yang banyak untuk diwarisi, ilmu ani tah harta ketani. Iatah karang yang mengangkat ketani ni”. Kata-kata ani melekat di kepala bapa sehingga kehari ini dan memang pun terbukti kebenarannya. Mulianya manusia kerana ilmunya dan terhinanya manusia kerana kurangnya pengetahuan. Maka ambilah pesan ini sebagai kata-kata semangat di dalam Awang menuntut ilmu. Kedua, betulkan niat untuk menuntut ilmu. 

Ilmu ani dicari bukan semata-mata untuk mendapat keputusan cemerlang, atau untuk mencari habuan materi, tetapi carilah ilmu supaya ia dapat dijadikan pedoman di dalam hidup, dan yang lebih utama ilmu atu haruslah menjadikan Awang seorang manusia yang baik. Kejayaan seorang penuntut ilmu bukanlah hanya terletak kepada berapa banyak “A” yang diperolehi, tetapi yang kejayaan yang besar bagi penuntut ilmu adalah apabila ilmu yang diperolehi itu memberikan manfaat kepada diri, bangsa, negara, agama dan umat keseluruhannya. 

 Ketiga, walau apapun bidang dan aliran yang Awang akan ambil nanti, baik sains, teknologi, pengurusan, perubatan, sosial sains, seni dan sebagainya, perkara penting yang perlu ada di dalam dada Awang ialah ilmu ugama. Ilmu ugama ini jangan dijadikan perkara sampingan. Carilah ilmu ini, untuk mengenal Rabb kita dan Syariat-Nya, insyaAllah, selamatlah Awang dunia akhirat. Antara perkara penting juga ialah untuk Awang selalu mempunyai jiwa yang bersih dan akhlak yang jernih. Hormatilah guru-guru dan teruslah merendah diri walaupun sudah menjadi orang “terpelajar”. Bukanlah orang yang terpelajar itu, orang yang “besar kepala dan berhidung tinggi” tetapi jadilah seperti resamnya padi, semakin menunduk apabila semakin berisi. 

 Terakhirnya, setelah semua itu terlaksana, maka bertawakkallah dan berdoalah kepada Allah, semoga dipermudahakan jalan Awang belajar dan menuntut ilmu. Mama dan bapa juga akan terus mendoakan Awang dan anak-anak yang lain, semoga kamu semua menjadi orang-orang besar, ilmuwan dan sarjana satu hari nanti. 

“Allahumma Faqqihhu Fiddien, Wa’allimhu At-Ta’weel, Wahdi-naa ilaa sawaa-issabeel” 

Posted in Facebook at 08/01/2018

No comments: