7.9.19

TIADAKAH LAGI ADA PERASAAN MALU?
Dikatakan bahawa perasaan atau sifat malu adalah bahagian daripada keimanan. Sesiapa yang tiada ada perasaan malu, maka boleh jadi “something wrong” dengan imannya. Sebahagian manusia begitulah, seperti sudah tiada hawar galat, segan silu dan perasaan malu.
Saya suka memerhatikan keulahan dan perangai manusia, bukan untuk suka-suka, tapi untuk memahami dan menilai, kenapa sebahagian kita membuat apa yang dibuat. Apa yang ada disebalik pikirannya? Apa yang memotivasikan mereka untuk melakukan sesuatu perkara? Dan mungkin ada sesuatu yang ‘kurang’ dalam diri manusia-manusia ani sehingga gamak melakukan perkara-perkara sedemikian?
Yang paling unik dan menarik bagi saya adalah apabila memerhatikan pesta “menapau” selesai acara makan-makan. Saya perhatikan, “animalistic instinct” atau “naluri kebinatangan” akan jelas terlihat. Maksudnya, instinct seperti pentingkan diri sendiri, tamak, rakus, temaha dan tidak pedulikan orang lain antara yang sangat jelas. Ingin saya jelaskan di sini, saya bukanlah anti-menapau secara total, tetapi ada had-hadnya yang perlu dijaga.
Pertamanya ialah perlunya ada izin tuan rumah atau penganjur. Ini adalah yang paling penting, kerana ianya melibatkan ketani “memakan harta” orang lain. Semua orang tahu apa hukumnya memakan harta orang lain secara batil dan tanpa ada izin. Dan semua jua orang tahu, daging yang tumbuh daripada memakan hasil yang haram itu, maka neraka adalah lebih utama banginya. Bila diizinkan tuan rumah atau penganjur, maka ertinya benda itu dihalalkan dan silahkanlah.
Kedua, ambillah sedikit dan behampit-hampitantah. Mungkin ada antara makanan atu yang ketani suka dan kenyamanan, atau barangkali ada urang ketani sangkutkan di rumah, silakan. Ini berbeza dengan sebahagian manusia yang menapau seolah-olah itulah saja sumber makanan untuk mereka dan keluarga untuk 4-5 hari berikutnya. Bagi yang benar-benar memerlukan, maka semua orang akan faham, tetapi kelihatan sebilangan jagoan menapau ani adalah daripada orang-orang yang berduit dan berkemampuan. Tidakkah terfikir, mungkin tuan rumah sendiri berharap ada lebihan makanan untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang lewat? Atau mungkin untuk ahli-ahli keluarga yang belum menjamah makanan? Atau para pekerja dan amah-amah yang tiada ada masa untuk makan ketika acara berjalan? Ataupun bagi penapau-penapau ani, yang penting adalah perut sendiri?
Seterusnya, sekiranya sudah mendapat “habuan”, apalah salahnya meringkan tangan membantu tuan rumah. Jangan nanti kita diibaratkan seperti nyamuk, sudah kanyang - lari! Ini terutamanya kalau beacara dirumah, terutama rumah peradian, sepupu dan saudara mara dekat. Apatah salah memangkat kursi, membuang rimah makanan ke dalam sampah, memutik tisu atau cawan, hinakah? Ini juga adalah teguran terbuka bagi ahli rumah sendiri, siapa kamu harapkan untuk membersih? Ada yang masa makan, bukan main hebat, udah masa memanyap, linggang-linggang laki bini masuk kebilik! Ada yang konon kan “catch up” sama BFFs, betetawahan nda lagi ingat kan waktu sembayang, jutah kan menolong. Sungguh, bila sudah tiada perasaan malu, ini lah akibatnya.
Saya berdoa semoga saya dan keturunan saya akan mempunyai perasaan malu (yang baik dan bertempat), juga segan silu untuk berkelakuan kurang sopan dan sentiasa berhawar galat sesama manusia, tetapi yang lebih utama adalah malu kepada Allah ta’ala yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar.

27/01/2018

No comments: