“kamaa rabbayaani soghiroo”
Beberapa minggu yang lalu, saya ada terbaca satu kongsian cerita daripada salah seorang rakan FB mengenai dengan kisah seorang tua yang ditinggalkan anak di pusat orang-orang tua di negera seberang. Memang satu kisah yang menyedihkan. Menurut cerita itu, anak-anak orang tua itu semuanya berjaya dan kaya raya, ada juga yang sudah bergelar Datuk.
Di dalam ugama Islam sendiri, memelihara dan memeduli indung yang sudah tua merupakan kewajipan anak-anak. Tanpa tuntunan agama sekalipun, nilai kemanusiaan yang ada di dalam jiwa kita sepatutnya akan menghalang kita untuk berbuat demikian kepada ibu bapa. Selepas membaca kisah itu, saya jadi terfikir, bagaimana boleh seorang anak “tesurung” untuk membiarkan ibu atau bapanya dan untuk meninggalkan mereka di rumah orang-orang tua atau di bawah jagaan amah/pembantu rumah?
Tetapi, membaca kisah tersebut saya tidak dapat membuat satu simpulan yang tuntas terutamanya mengenai dengan motif anak-anak mereka berbuat demikian. Kita tidak mengetahui kisah yang terjadi semasa mereka membesar, ataupun keulahan indung mereka itu sendiri, ataupun sebelum ini sudah pernah dijaga dan diasuh dengan kasih sayang tetapi hasilnya tidak begitu baik? Allah sahaja yang tahu akan isi hati manusia. Saya melihat isu ini daripada sudut berbeza.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya perhatikan situasi yang sama tapi watak yang berbeza. Kalau kisah di atas, anak-anak yang dewasa meninggalkan indung yang sudah tua dan uzur. Yang saya nampak di depan mata adalah indung-indung muda meninggalkan anak-anak kecil yang masih bergantung harap kepada belaian ibu bapanya. Ya, perkara ini sering kita lihat, apabila anak-anak baru sahaja berumur beberapa bulan, sudah dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, dengan alasan ibu dan bapa tidak ada masa kerana kesibukan kerja. Tidakkah sama alasan ini dengan alasan mereka yang menghantar ibu bapa kerumah orang-orang tua? Tiada masa dan sibuk dengan hal-hal lain?
Itu tidak mengapalah, mungkin benar kesibukan itu dan perlunya untuk pasangan suami isteri untuk bekerja kerana standard kehidupan yang semakin meningkat. Tetapi di hari-hari yang tidak berkerja pun, perangai meninggalkan anak-anak ini juga dapat kita perhatikan. Saya sering jua bejumpa-jumpa kawan kalau bejalan-jalan ke kedai. Dan saya amati, lebih ramai yang suka meninggalkan anak di rumah daripada membawa bersama anak-anak mereka. Pernah terjadi, semasa saya membawa isteri dan anak-anak makan, duduk di meja sebalah ini ada seorang rakan kepada isteri saya sedang makan bersama suaminya. Bila ditanya mana anaknya, jawapannya selamba “ku tinggalkan, payah membawa.. hihihi”. Ada yang laki bini bejalan melihat wayang, anak-anak ditinggalkan di rumah. Lebih parah, ada laki bini belayar makan angin dan bercuti berhari-hari, anak yang baru lahir dititipkan arah nininya, dengan alasan “rimbit”, payah dan menyusahkan!
Ada seorang kawan pernah memberikan “nasihat” kepada saya, katanya mesti jua sekali sekali ketani laki bini ani mempunyai “waktu romantik" sendiri seperti makan malam, meliat wayang dan bersiar-siar. Supaya hubungan suami isteri atu sentiasa kuat. Saya bertanya, anak-anak siapa tah kan menjaga? Katanya “kalau ada amah bisai, mun nda antat ya sekajap arah nininyakah”. Saya hairan, sudahlah anak ditinggalkan, kemudian ibu bapa kita sendiri kita susahkan untuk menjaga, sementara ketani laki bini berseronok-seronok! Wallahi, lebih baik saya menyusahkan diri sendiri dan biarlah waktu romantik atu saya nikmati setelah anak-anak besar nanti.
Tidak dinafikan ada keadaan-keadaan tertentu kita terpaksa meninggalkan anak-anak, terutama jika kita dikehendaki hadir ke tempat tertentu dan anak-anak kecil dilarang masuk, seperti ke hospital, atau acara-acara rasmi dan seumpamanya. Tapi hari-hari biasa, pada hemat saya, adalah tidak wajar. Sungguh kasihan saya melihat jika seorang anak yang masih menyusu dada, ibu bapanya bejalan kekadai lama-lama, sehingga terpaksa menumpang susu kepada adi beradi atau peiparan yang lain.
Baru-baru ini juga saya ada berjumpa dengan seorang yang mempunyai hubungan yang dekat, lalu saya menegur sapa “siapa dangan?” lalu dijawap dengan nada yang sedikit marah “seurang ku ganya, anak-anakku mana lagi peduli, mun mati bekubur sendiri kali aku ani”. Lalu saya teringat kisah-kisah yang pernah diceritakan bagaimana keulahan durang laki bini dulu, setiap sahaja terima gaji, pasti akan makan nyaman di restoran, sementara anak-anak diasuh oleh nininya dan hanya diberi makan nasi, telur goreng dan kicap sahaja. Anak-anak tidak pernah sempurna diasuh sehingga menjadi manusia berilmu, lalu sekarang dikesal kerana tiadapun seorang yang mampu menyara hidupnya. Sepak terajang menjadi ‘makanan’ anak-anak sehingga ada yang lari dari rumah. Kemudian sekarang bertanya “di mana anak-anakku?” Ajaib!
Saya pernah ditanya oleh kawan, ketika berjumpa di mall, samada saya membawa anak-anak atau tidak. Saya menjawap dalam nada bercanda “bawa eh, inda ku meninggalkan, karang udah ku tua, tinggalkannya ku”. Iya, mungkin inilah puncanya anak-anak tidak malu-malu untuk “meninggalkan” ibu bapanya apabila mereka sudah tua, kerana dulupun ketika mereka memerlukan ibu bapa mereka, mereka juga sering “ditinggalkan”. Mungkin juga ini adalah balasa Tuhan kepada kita di atas kemustajaban doa “Rabbighfirli walidalidayya warhamhuma kama rabbayaani soghiroo” - Wahai Tuhanku, ampunilah kedua orang tuaku dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihaniku sewaktu aku masih kecil. Macamana kita mengulahkan anak-anak kita pada masa ini, mungkin begitulah mereka mengulahkan kita sesudah kita tua.
Mudah-mudahan kita semua diberikan peluang untuk berkhidmat kepada ibu bapa pada waktu ini dan sewaktu mereka berusia lanjut dan semoga anak-anak kita nanti juga akan mencurahkan khidmat bakti kepada kita di waktu kita memerlukan mereka pula.
5-2-2018
5-2-2018
No comments:
Post a Comment