KAMAH, BETAGAR, BEHABUK, BEDAKI …
Seminggu kebelakang, ada beberapa perkara terjadi yang serba sedikit telah menyusahkan saya. Bermula dengan tumble dryer yang tindak berfungsi, kemudian mesin cuci yang tersumbat dan aircond yang tidak sejuk. Semua itu telah menyebabkan hidup menjadi kurang selesa dan terpaksa jua keluar beberapa puluh ringgit untuk membetulkannya. Setelah diamat-amati, punca daripada semua ani adalah tidak lain disebabkan oleh kotoran, tagar, habuk dan daki yang lama terkumpul dan tidak dibersihkan.
Kejadian-kejadian ani lantas membuat saya merenung dan berfikir. Dan saya melihat perkara ani adalah sebagai lumrahnya alam dan dapat diperhatikan disekeliling kita. Ianya tidak terhad kepasa mesin-mesin sahaja tetapi meratai kepada sekecil-kecil benda kepada sebesar-besarnya. Akan ada sahaja “kotoran, tagar, habuk dan daki” dalam kebanyakan perkara, yang perlu dibersihkan, bagi memastikan sesuatu itu dapat berjalan dengan lancar dan berfungsi dengan baik.
Bagi yang ada kereta, memang mengetahui, selang beberapa bulan minyak M mesti ditukar, oil filter diganti, kotoran-kotoran lain dicuci. Dirumah, lantai dan perabot disapu dan dilap, supaya habuk tidak terkumpul tebal. Hatta kita sehari-hari, mandi dan berwudhu, memberus gigi dan membersihkan badan, supaya hilang segala kotoran dan bau-bauan.
Dari segi biologi pun benda ini dapat diperhati. Apabila kita makan dan minum, yang diserap oleh badan adalah yang baik-baik dan berkhasiat, manakala yang tidak diperlukan pula dibuang sebagai najis. Hingga kepada “cellular level” pun, kita dapati sel-sel kita pun membuat pembersihan, membuang kotoran dan “autophagy” untuk memastikan kelancaran sistem-sistem badan. Jika “tersumbat”, maka di sanalah timbulnya bermacam penyakit.
Saya teringat semasa belajar mengenai dengan rukun Islam yang ke-4, iaitu zakat. Zakat juga digelar sebagai “dakinya harta” yang perlu dikeluarkan untuk membersihkan diri dan harta benda. Ini menunjukkan bahawa hatta benda-benda yang tidak fizikal pun boleh mengumpulkan kotoran dan perlu kepada pembersihan. Begitu jua puasa, antara hikmahnya ialah untuk membersihkan tubuh badan yang sekian lama dicemari oleh makanan-makanan dan segala bentuk pencemaran yang lain. Solat dan zikir serta istighfar juga adalah bentuk penyucian daripada segala macam dosa dan maksiat yang kita lakukan.
Bukan setakat itu sahaja, “kotoran-kotoran” ini pun boleh terkumpul di dalam sesebuah organisasi, Jabatan, rumah tangga, kumpulan dan jua pentadbiran tertinggi negara. Baru-baru ini, kita melihat rombakan kabinet yang begitu mengejutkan, dan kemudian Persidangan Khas Kabinet, mungkin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan ingin membersihkan sistem pentadbiran Negara dan Kerajaan, bersih daripada kotoran “kronisme” dan tagar-tagar “nepotisme”, dengan melantik beberapa orang muda dan tidak lagi melanjutkan sebahagian “otai-otai” politik. Di pejabat, kita dapat perhatikan, sebahagian pegawai dan kakitangan sebahagiannya sudah terlalu lama berada di satu-satu jawatan, dan kebanyakkannya telah menjadi tidak bersemangat dan kurang produktif. Hubungan-hubungan adi beradi, anak beranak, suami isteri, sahabat handai, pun lama dilama, akan ada ‘tagar’nya dan perlulah sentiasa dibersihkan.
Saya ada juga terfikir, mungkin beberapa masalah yang kita hadapi hari demi hari ani adalah mungkin disebabkan oleh “kotoran” yang sudah terkumpul lama, yang sebahagiannya perlu diservis untuk memastikan hidup ini berjalan lancar.
Wallahu’alam.
15-2-2018
15-2-2018
No comments:
Post a Comment