30 TAHUN KESYUKURAN
Alhamdulillahi-rabbil-‘alamin, wa bihi nas-ta’in, ‘ala umurid-dunya wad-dien, was-solatu was-salamu ‘ala asy-rafil anbiya-ie wal-mursalin, wa ‘ala aalihi wasohbihi ‘ajmain. Wa ba’du.
Pertamanya, saya merafakkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dengan izinnya jualah saya masih berada di dunia ini. Saya juga bersyukur di atas limpah kurnia yang Dia berikan, yang bermacam rupa dan bentuk, dan yang paling disyukuri ialah kurnia Islam dan Iman.
Pertamanya, saya merafakkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dengan izinnya jualah saya masih berada di dunia ini. Saya juga bersyukur di atas limpah kurnia yang Dia berikan, yang bermacam rupa dan bentuk, dan yang paling disyukuri ialah kurnia Islam dan Iman.
Wajar saja kita semua bersyukur kerana masih punya kesempatan untuk hidup di dunia, sebagai persiapan kita menempuh hari akhirat kelak. Masa berjalan, usia meningkat dan saban tahun kita menjadi semakin tua. Bagi setengah orang, ulang tahun yang disambut tiap tahun itu memberi tanda bertambahnya umur, namun setengah lagi melihatnya sebagai berkurangnya lagi sisa usia yang dititipkan Allah kepada kita.
Hari ini, 22 Februari 2018, genaplah saya berumur 30 tahun. Ini juga memberi makna bahawa 30 tahun yang lalu, ibunda saya telah bertarung nyawanya untuk melahirkan saya kemuka bumi ini. Kesakitan yang dirasainya ketika itu, Allah sahaja yang tahu. Dan saya setakat ini masih belum pun mengucapkan terima kasih kepada ibunda di atas itu semua. Maka di sini, saya dengan rendah hati dan merasa penuh kesyukuran, mengucapkan berbanyak menjunjung kasih kehadapan Paduka Bonda di atas jerih payahnya melahirkan saya dulu. Tiada nilai harta yang dapat menggantikan walau sesaat kesakitan yang bonda rasai ketika itu, tetapi Allah lah sebaik-baik pemberi imbalan.
Tidak terhenti di situ, ibunda juga telah kesusahan bersengkang mata, ‘bebasah bekaring’, memeduli saya sehingga saya pandai berdikari. Makan disuap, pakaian disarung, tangisan dikelinga, sakit demam dirawat, demi melihat saya membesar dengan sihat dan kuat. Terima kasih sekali lagi, Babu. Sepanjang 30 tahun ani jua, saya ucapkan terima kasih di atas curahan kasih dan sayang babu kepada saya, walau tidak diucap dengan kata-kata, tapi semuanya sangat jelas dan nyata.
Tidak kurangnya ucapan terima kasih dan penghargaan yang setingginya buat Paduka Ayahanda, yang selama ini bekerja keras mencari nafakah, demi memastikan kami cukup makan dan pakai, berpendidikan, dan hidup serba sempurna. Sepanjang tempoh ini juga, ayahanda tidak penat-penat memberikan nasihat dan amanat berguna sebagai panduan kami menjalani kehidupan ini. Terima kasih juga kerana bersabar dengan ulah-ulah saya daripada kecil hinggalah dewasa, mungkin antara anak-anak bapa, sayalah yang paling ‘jajal’ dan paling payah diajar. Terima kasih kerana tidak berputus asa terhadap saya, ketika saya hampir tergelincir dan tercicir. Semua itu tiadalah dapat dinilai dengan wang ringgit. Saya berdoa semoga babu dan bapa, dikaruniakan rahmat Allah, di dunia sampai kandila. Saya juga memohon keredhaan babu dan bapa kepada saya sebagai anak, yang menjadi kunci redhanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada saya sebagai hamba-Nya.
Kepada peradian sekaliannya, kakanda dan adinda, terima kasih kerana selama ini bertahan dengan kaulahan saya. Tunjuk ajar abang-abang & kaka saya hargai, kasih sayang adi-adi saya sanjungi. Ada masanya kita berselisih dan bersalah faham, kadang-kadang kita bergurau dan bercanda. Itulah lumrah orang bersaudara. Semoga silaturrahmi terus dijaga dan kita semua dihimpunkan dalam kebaikan di dunia dan di akhirat kelak. Tidak lupa juga buat ipar-ipar dan anak-anak buah.
Ucapan terima kasih juga saya ucapkan buat sekalian Datu Nini, indung-indung patuan, sepupu sepapat, kaum kerabat dan bau-bau bacang yang lainnya, kerana telah menjadikan hidup ini sangat bermakna dan meriah. Antara nikmat hidup ini adalah dengan adanya keluarga yang baik. Keluargalah yang akan turut merasa susah senang kita, yang akan terus berada di belakang waktu kesusahan, yang akan menarik kita ketika jatuh dan merekalah yang selalu siaga apabila kita memerlukan bantuan. Saya berdoa semoga Allah mengampuni dosa mereka yang telah kembali kepada-Nya dan memberikan rahmatnya kepada kita yang masih ada.
Buat guru-guru, ustaz-ustazah, mua’llim-mua’llimah, cigu sekulah pagi, cigu sekulah ugama, cigu mengaji, pensyarah dan tutor, coach dan mentor, cigu memandu, sensei dan laoshi, warden-warden, termasuklah yang pernah mengajarkan aku apa sahaja ilmu, saya ucapkan ribuan terima kasih. Semoga ilmu yang biskita berikan itu diberi ganjaran yang besar oleh Allah ta’ala dan menjadi saham akhirat untuk biskita.
Sepanjang 30 tahun ini juga, saya telah berkesempatan bertemu dengan ramai kenalan, kawan baik, teman rapat, sahabat, taulan, jiran tetangga, para senior dan junior, rakan sekerja dan boss-boss. Daripada Kawan sekulah Nusa Laila Puteri, sekulah Ugama Pantai Berakas, sekulah Persediaan Arab Beribi, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Institut Tahfiz Al-Quran, Maktab SOAS, HBO dan Maktab Duli, UNISSA dan UBD, UNISZA, University of Reading dan Brunei Hall, kawan-kawan di Facebook Friendster dan Multiply, dangan melepak di WyWy, rakan se-jawatankuasa, se-program, se-projek, kawan-kawan Latihan Teras IPA, rakan sekerja di RHB Bank, CIMB Bank, Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri serta mereka-mereka yang tidak tersebut di sini. Tidak lupa buat anti-anti (pembantu rumah) yang pernah menjaga dan mengasuh saya dari kecil. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana telah menemukan saya bersama biskita semua. Biskita pun adalah antara nikmat terbesar yang Allah telah berikan kepada saya. Sebahagian biskita ada yang saya anggap saudara sendiri, sebahagiannya sangat berjasa, ada yang turut menanggung susah dan senang bersama-sama. Bagi biskita ini, saya memohon kepada Allah Rabbuljalil, semoga biskita semua senantiasa di bawah pemeliharaan-Nya jua. Bagi yang pernah menjadi kawan rapat, kemudian menjadi pengkhianat, saya serahkan pembalasan itu kepada-Nya jua.
Saya juga bersyukur kepada Allah kerana telah menganugerahkan kepada saya Isteri yang baik. Terima kasih di atas segala yang adinda buat selama ini. Dan mohon maaf sekiranya masih ada kekurangan dan keperluan adinda yang belum terpenuhi. Saya akan berusaha lebih keras lagi dalam membina keluarga kita ini. Terima kasih di atas sokongan dan dokongan dinda, susah senang yang ditempuhi bersama. Tidak kurang juga pengorbanan dalam mengandung, melahirkan, menjaga dan membesarkan anak-anak kita. InsyaAllah, semua itu telah tercatat kemas di dalam kantong pahala, untuk dituai dan dinikmati di akhirat kelak.
Buat anak-anak bapa yang comel, bapa sangat bersyukur kerana dikurniakan kamu semua. Luqman, Muneerah dan Salman - serta anak-anak yang kemudian, bapa berdoa semoga semuanya menjadi orang yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia. “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap melaksanakan sholat”.
Tidak lupa ucapan terima kasih kepada kedua indung mertua saya yang tidak kurang kasih sayangnya kepada kami laki bini dan anak-anak. Semoga mama dan bapa sehat selalu, hati tenang dan damai, dan semoga ketani semua akan berada di dalam kebaikan. Buat ipar-ipar, biras-biras, anak-anak buah, patuan-patuan dan sepupu sebalah pebinian, saya ucapkan terima kasih, semoga hubungan keluarga bertambah erat.
Terakhir dan tidak dilupakan, saya sukacita mengucapkan penghargaan dan setinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Terlalu banyak kebaikan yang telah Baginda berikan kepada rakyat sekaliannya, termasuklah kepada saya. Semoga Allah lanjutkan usia Baginda dan kerabat Diraja, kekal karar di atas takhta, memerintah negara adil laila bijaksana, Ad-daa-i-muun Al-Muh-si-nuun bil Huda.
AWANG RASYDAN BIN HAJI NOKMAN
Kampung Lambak Kanan
22 Februari 2018 / 6 Jamadilakhir 1439
Kampung Lambak Kanan
22 Februari 2018 / 6 Jamadilakhir 1439
No comments:
Post a Comment