8.4.17

Kegilaan apakah ini?

Assalamualaikum. 

Sebenarnya, ada beberapa isu yang ingin saya tulis dan ulas di dalam blog ini. Melihat kepada kesibukan dan masa yang terhad, saya memilih untuk 'memalamkan' dahulu perkara atu.

Adapun tulisan kali ini adalah respon saya kepada satu 'wabak kegilaan' yang melanda sebahagian daripada wanita-wanita di Brunei Darussalam mengenai dengan kehadiran satu syarikat penjual tudung dari negara seberang.

Pertamanya, ianya adalah sesuatu yang baik apabila wanita-wanita muslimah di Brunei ani suka kepada tudung sebagai salah satu cara menyahut perintah Allah untuk menutup aurat. Perkara ani adalah lebih baik daripada mereka yang sama sekali nda mau menutup aurat khususnya aurat kepala dan rambut. Muslimah di beberapa negara di barat ada yang dilarang sama sekali untuk memakai tudung dan sebahagiannya ada yang menjadi mangsa serangan hate crime hanya kerana menutup kepala.

Tetapi perlu diingat, perintah menutup aurat atu sendiri ada hikmah disebaliknya. Pada dasarnya, menutup aurat ani adalah bertujuan untuk melindungi perempuan daripada 'terdedah' kepada orang-orang yang bukan muhrim dan orang asing dan juga sebagai simbol modesty wanita-wanita Muslimah dengan menggunakan pakaian yang tidak menjolok mata, labuh dan sopan.

Malangnya terdapat sebilangan perempuan kita yang beranggapan bahawa menutup aurat dengan sempurna atu adalah dengan HANYA mengenakan tudung di kepala. Sebab atu ada bini-bini yang kepalanya bertudung tetapi bajunya ketat sehingga menampakkan bentuk badan, ada yang memakai baju bertangan pendek, dan ada yang bertudung dengan seluar/kain yang agak singkat.

Kedua, bagi saya, trend bertudung ani muncul dan dieksploitasi oleh artis-artis dan pencipta tudung untuk mengaut keuntungan semata-mata dan bukan sebagai ajakan/dakwah yang serius untuk menutup aurat. Agama menjadi tunggangan sebahagian manusia untuk mengaut keuntungan yang begitu lumayan. Lihat sajalah artis-artis yang kononnya sudah 'berhijrah' atu, pakaianya masih lagi belum Islamik. Apalah makna tudung dikepala jika penampilan dan keulahan masih tidak ditutup?

Bermacam-macam jenama dan jenis tudung sudah ketani dangar, ada yang nama orang, nama ikan, nama binatang, shawl, tudung masuk tudung keluar dan sebagainya. semua atu tidaklah lain daripada 'umpan' kepada perempuan untuk terus melanggan dan bagi mereka untuk terus mengaut duit. dan yang menyedihkan, perempuan kita ini seperti sudah 'kecanduan' untuk membeli keluaran-keluaran dan desain yang terbaru sehingga ke tahap membazir. bayangkan, sekeping tudung yang kononnya 'Royal' boleh mencecah harga ratusan ringgit.. tidak gilakah ini?! seolah-olah siapa paling banyak koleksinya dan paling mahal tudungnya dialah paling mulia di sisi Tuhan kelak!

Membazir atu satu hal, tudung-tudung yang kononnya Islamik ani jua digunakan sebagai status simbol oleh sebahagian perempuan, untuk menunjuk-nunjuk bahawa diorang atu bukan orang kebanyakan dan golongan elit. Sudah tentu perkara ani sudah jauh menyimpang daripada hikmah diwajipkan perempuan untuk menutup kepala.

Saya seringkali juga menegur Isteri sendiri kerana terikut-ikut trend yang tidak baik ini. Kalau kan dikira-kira, isteri saya sendiri saja mungkin ada lebih dari 80 helai tudung, yang kebanyakkan hanya pernah dipakai sekali sahaja. Saya bertanya kepada isteri, kalau Allah bertanya nanti kepadaku di akhirat kenapa membazir membeli tudung banyak-banyak nda dipakai, saya akan tunjuk kepadamu untuk menjawabnya. 

Yang sedihnya jua, penyakit 'gila tudung' ani menjangkiti siapa saja, Ustazah-ustazah kana jua, orang-orang pejabat, kanak-kanak, orang muda orang tua, bini Ustaz, bini Imam semuanya tersampuk. Duit habis dibelanjakan untuk memuaskan nafsu serakah yang nda pandai puas, tapi selalu kedengaran mengadu, barang lain mahal lah, harga naiklah. Dan pandai pula menasihati orang untuk berjimat cermat dan tidak membazir, apabila orang berbelanja lebih pada benda-benda yang lain.

No comments: