13.4.20


 SMART TECH. AND SMARTER PEOPLE

Berikutan timbulnya isu berkenaan pendidikan semasa musim berkurung ini, suka saya kongsikan sesuatu mengenai hal ini sekiranya bermanfaat. Beberapa bulan yang lalu, saya telah diberi tugas untuk menunduki, menilai dan seterusnya memberi pandangan berkenaan satu proposal yang berhubung kait dengan bidang pendidikan di negara ini. Agak lama juga saya memikirkan hal ini kerana ianya bukanlah bidang yang saya ceburi. Pun begitu, mengambil kira pengalaman sendiri semasa menuntutu dan juga pemerhatian serta input-input daripada orang sekeliling, maka saya telah mengutarakan beberapa isu yang perlu untuk diperhatikan. Pada amnya, apa yang dicadangkan itu adalah bagus dan setentunya saja kita menyambut baik apa jua bentuk pembisaian kepada hal ehwal pendidikan di negara ini, baik dari segi sistem, pengisian, kurikulum, penilaian serta yang berkaitan dengan teknologi atau pemodenan yang lainnya.

Antara yang menjadi highlight kepada proposal berkenaan ialah untuk menaiktaraf teknologi pendidikan di negara ini, seperti mengadakan smart-classroom dan penggunaan alat bantu mengajar yang lebih moden, yang dihasratkan untuk menyiapkan pelajar-pelajar bagi Industrial Revolution 4.0. Di samping itu, pihak pendidikan juga berhasrat untuk mengadakan kolaborasi, kerjasama dan MOU bersama dengan badan-badan antarabangsa seperti dari Kanada dan UK, bagi mereviu kurikulum, juga bagi peningkatan kompetensi guru-guru, dan sebagainya lagi.

Bagaimanapun, melihat kepada hala tuju dan haluan dasar yang dibentangkan itu, saya mempunyai pandangan yang sedikit berbeza dan telah mencadangkan supaya isu pendidikan ini dilihat dalam konteks yang lebih luas lagi. Antara alasan yang saya nyatakan ialah Negara Brunei Darussalam telahpun menyambut 100 tahun pendidikan formal pada tahun 2014. Kebawah Duli Yang Maha Mulia, semasa Majlis Sambutan Hari Guru ke-24, ada bertitah:
         
“Jarak 100 tahun boleh dijadikan penanda aras bagi kematangan satu-satu perkembangan. Maka demikian itulah dengan pendidikan di Negara Brunei Darussalam telah pun mencapai tahap matangnya 100 tahun itu.”

Bagi saya, pengalaman 100 lebih tahun ini adalah satu tempoh yang panjang dan kita sepatutnya adalah sudah matang di dalam menentukan corak pendidikan yang diperlukan lagi sesuai untuk anak bangsa kita sendiri. Dasar-dasar pendidikan terdahulu, antaranya dasar pendidikan 1954, 1962, 1972, dasar pendidikan sekolah melayu dan ugama, pendidikan dwi-bahasa, pendidikan bersepadu dan terakhirnya yang digunakan hingga masa ini iaitu SPN21. Kesemua dasar-dasar ini dibuat adalah bagi memenuhi keperluan dan kehendak zaman ketika itu. Hasil daripada dasar-dasar ini, negara telah melahirkan ramai cerdik pandai dan sumber manusia yang profesional dan yang berkemahiran. Saya juga berpendapat bahawa kita ini tidaklah kalah di dalam persaingan akademik di peringkat serantau dan antarabangsa. Tetapi, kenapakah kita sering saja bergantung kepada orang lain di dalam membentuk corak pendidikan kita? Kenapa tidak kita yang berkongsi pengalaman dan pencapaian kita kepada dunia? Kita sepertinya selalu mempunyai inferior complex dan terlalu mengangungkan barat sehingga menjadikan mereka role model di semua bidang. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana pada pengamatan saya sistem pendidikan mereka itu adalah terlalu berhaluan kiri dan telah dipengaruhi kebanyakannya oleh fahaman-fahaman liberal dan progresif. Kita melihat bagaimana universiti-universiti di barat itu telah menjadi medan pertembungan ideologi politik dan penuntut-penuntut pula adalah merupakan aktivisnya. Universiti yang sepatutnya menjadi medan perbahasan dan kajian ilmiah telah bertukar menjadi pusat propaganda dan kempen-kempen politik yang memecahbelahkan.

Selain itu, saya turut menyuarakan supaya apa jua projek-projek penaiktarafan ini perlulah terlebih dahulu dilihat dari sudut Cost-Benefitnya, dalam makna, apakah yang dibuat ini, dengan pelaburan yang mungkin saja besar, akan dapat pula memberikan kita pulangan setimpal dan bukan semata-mata incremental atau sekadar sahaja. Perkara ini selalu sahaja dibangkitkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas kegagalan jentera Kerajaan untuk memanfaatkan pelaburan dan perbelanjaan termasuk projek yang berjuta-juta seperti yang kita dengar baru-baru ini. Maka, sebelum lagi apa-apa projek dibuat, kajian terperinci amatlah perlu ianya dinilai dengan lebih objektif lagi.

          Cadangan penggunaan alat bantu pembelajaran yang berteknologi ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Kita mendengar beberapa tahun yang sudah akan projek seperti e-hijrah, smart boards, pemberian tablets kepada murid, makmal-makmal komputer, pemberian akses internet, dan seumpamanya lagi, yang sepertinya kurang berjaya. Secara peribadinya, saya berpendapat bahawa kesemua ini hanyalah alat bantu sahaja. Sedang di dalam pendidikan ini, yang paling utama untuk diberi keutamaan adalah soal pengajaran (teaching) dan pembelajaran (learning). Guru-guru yang berkemahiran adalah faktor utama kejayaan di bidang ini. Guru-guru yang mampu menarik minat murid atau pelajar untuk menumpukan perhatian serta dapat pula menyampaikan maklumat dengan mudah untuk difahami, itulah sebenarnya asas kepada pendidikan yang mantap. Oleh itu, penumpuan yang lebih seharusnya diberikan ke arah meningkatkan lagi seni mengajar (art of teaching) bagi guru-guru serta seni belajar (art of learning) bagi murid dan penuntut.

          Tambahan kepada ini, saya juga melihat bahawa sebelum kita berbelanja besar untuk mengadakan smart classrooms, sistem, aplikasi, teknologi, atau mendapatkan khidmat konsultasi, pihak berkenaan lebih utamanya untuk melihat kepada perkara-perkara asas yang masih boleh diperbaiki. Kita mendengar rungutan daripada murid-murid, penuntut-penuntut, malah guru-guru mengenai keadaan persekolahan pada masa ini. Soal keselamatan, keselesaan murid seperti kelas yang tidak berpenghawa dingin, kerosakan pada bangunan dan kemudahan-kemudahan sekolah, juga ada rungutan bahawa sebilangan besar guru-guru dibebankan dengan kerja-kerja bukan mengajar (non-teaching) serta kekurangan sumber sehingga ke tahap terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Nah, masa ini kedengaran rungutan-rungutan ini dari kalangan guru-guru. Semua ini tidaklah seharusnya berlaku dan adalah lebih aula untuk dibereskan terlebih dahulu.

          Seterusnya saya juga berpandangan bahawa manfaat pendidikan ini juga mestilah dirasai oleh semua pihak dan adalah penting untuk dilaratkan kepada sasaran yang khusus. Maksud saya, ada beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah yang memerlukan bimbingan serta sokongan yang lebih sedikit berbanding sekolah-sekolah lainnya. Faktor budaya setempat, persekitaran yang tidak mementingkan pendidikan, external factors yang menyebabkan terbantutnya progres pendidikan, serta keluarga-keluarga yang serba kekurangan (destitute) dan kanak-kanak yang tersepit di dalam vicious cycle of poverty, school dropouts, masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, perhubungan bebas, teen pregnancy dan sebagainya lagi, kesemua ini memerlukan MOE bersama pihak-pihak berkenaan untuk mengatasinya. Semua ini wajarlah ditangani sebaiknya kerana kita mahu melahirkan satu generasi manusia yang lebih lagi 'smart'nya daripada teknologi.

Sekolah-sekolah seperti inilah yang memerlukan guru-guru terbaik, berkemampuan lagi tegas. Penyediaan kaunselor berkemahiran juga adalah perlu, yang bukan sahaja bertanggungjawab membimbing penuntut bahkan juga sebagai pembimbing kepada ibu bapa dan penjaga mereka. Semua ini diharapkan akan dapat mengubah worldview mereka yang sempit, kepada keluasan ruang dan peluang untuk mereka berjaya, sehingga membolehkan mereka bersaing dan dapat pula melepaskan diri daripada kitaran kemiskinan itu. Apa tidaknya, saya ada mendengar bahawa ada satu sekolah menengah di negara ini, rata-rata penuntutnya cuma bercita-cita menghabiskan pelajaran sehingga tingkatan 5, dan bagi mereka istilah ‘berjaya‘ dan hidup senang ini adalah pada bergaji 5-6 ratus saja. Yang perempuannya pula, lepas sekolah hanya memikirkan untuk mencari laki bagi menanggung mereka. Inilah mindset yang perlu diubah oleh para guru dan kaunselor.

Walau bagaimanapun, pandangan juga ulasan saya ini diketepikan. Input-input saya dalam perkara ini tidak dipakai untuk dihadapkan kepada pihak-pihak yang berkenaan. Tidaklah mengapa. Bagi saya, yang penting adalah saya memberikan pandangan yang saya rasakan betul. Saya beranggapan bahawa pihak atasan setentunya mempunyai pertimbangan yang berbeza sedikit. Maka, saya kongsikan pandangan ini di sini semoga ianya sedikit sebanyak dapat membuka ruang kepada perbincangan-perbincangan yang lebih produktif.

No comments: