"Mee Segera/Instant Noodle"
Dalam sesi ceramah YB Pehin Mufti bersama pelajar-pelajar di Brunei Hall pada hari Isnin lepas, YB Pehin antaranya menerangkan sedikit tentang sifat atau ciri orang-orang beriman, dan apa perangai orang-orang munafiq serta kafir. Orang islam lagi beriman itu, seperti disebut YB Mufti, setiap hari sekurangnya 5 kali sehari akan memperbaharui ikrarnya kepada Allah azza wajalla melalui solat dan dalam bacaan doa iftitah "inna solatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamatii - lillahi rabbil 'alamin". Satu ceramah yang bagus bagi memberi peringatan terutamanya bab solat fardhu.
Melalui ceramah itu dan dalam masa bepergian ini juga, ada beberapa hal yang saya perhatikan yang suka saya kongsikan. Pertama, mungkin ianya adalah fitrah manusia untuk selalu mencari 'kemudahan' atau convenience di dalam hidup. Dengan segala permasalahan di dalam kehidupan ini, dan segala macam kecelaruan, jiwa manusia suka mencari jalan mudah untuk mencari penyelesaian. Kita mahu solusi segera dan mudah, walaupun kebanyakannya itu bukanlah pilihan betul dan terbaik. Saya menyifatkan fenomena ini sebagai fenomena ‘mee segera’. Kerana, di dalam kesulitan mencari makanan, solusi termudah ialah membuat air panas untuk memasak migi.
Fenomena
ini saya perhatikan berlaku dalam hampir setiap sudut kehidupan kita. Dalam hal
menuntut ilmu dan mencapai kejayaan, contohnya, lebih ramai orang yang sibuk
mencari ‘ubat’ atau ‘aing’ untuk diberi kepada anak-anak supaya kononnya
menjadi pandai. Anak dihantar ke sekolah-sekolah tertentu kononnya dengan
harapan ia jadi lebih pandai daripada anak orang lain. Sedangkan proses belajar
dan kesungguhan menuntut ilmu itu adalah faktor utama kepada kejayaan di dalam
peperiksaan. Hairannya, anak cina yang minum aing mineral dapat banyak A,
sedang anak-anak melayu minum ‘aing penarang’ jarang jua dapat hasil yang baik.
Bukan salah aing, cuma bukan begitu caranya orang belajar. Dalam mencari harta kekayaan
pula, orang kita kurang sedikit karihnya. Kita gemar kepada skim-skim cepat
kaya yang tidak memerlukan kita berfikir atau tanpa perlu usaha yang
berat-berat. Entah berapa kali sudah orang kita kana janjihi kekayaan dengan
hanya perlu menyertai skim itu dan ini. Tapi masih jua sebahagian besar kita
tidak serik. Ada dulu kana padahkan ‘daripada kau menjual nasi pusu, baiktah
masuk DD’. Masani semua putih mata. Dulu masa mula-mula atu, ada yang jalan pun
dengan lagak millionaire. Masani kacut muka menapuk malu.
Lebih
dahsyat lagi, ada yang tidak peduli soal halal haram, sehingga sanggup membuat
jenayah semata-mata untuk mencari duit. Berjudi, rasuah, pecah amanah, menipu,
jadi along, melacur hanya kerana mahukan duit segera. Inilah ciri-ciri munafiq
yang diceramahkan oleh YB Mufti itu. Perkara ini mungkin lebih terserlah pada
masa ini. Kehendak kepada instant gratification yang dibawa oleh teknologi
terbaru dan terpantas telah menjadikan semua orang mahukan hasil dan solusi
segera. Ditambah dengan kesempitan masa dan kesibukan, kita telah tidak ada masa
untuk berfikir secara mendalam terhadap masalah-masalah kita dan hanya
bergantung harap kepada quick fix dan quick win yang selalunya bukan jalan yang
terbaik bahkan kadang-kadang adalah haram dan menyalahi undang-undang.
Saya
perhatikan, benda ini terbawa-bawa juga kepada cara kita menanggapi urusan
ugama dan hal berkaitan hubungan kita dengan Tuhan. Kita suka kepada
petua-petua yang pelik, bacaan-bacaan, ayat-ayat, doa-doa dan tidak kurang
kepercayaan karut marut yang khurafat lagi syirik, yang kononnya mempunyai
kuasa untuk mendatangkan kebaikan atau menjauhkan keburukan. Jika kita berhadapan
dengan musibat, kebanyakan kita akan terlebih dahulu mencari pertolongan dari sesama
makhluk. Kalau ada hajat atau permohonan, yang dicari adalah ‘kabel’ atau orang
dalam. Untuk perlindungan diri, jimat dan tangkal menjadi kepercayaan. Sedang
orang yang benar-benar beriman, akan selalu mencari Tuhannya dalam setiap
keadaan.
Dalam
beramal, ramai orang memilih-milih amalan yang ‘ganjil’ dengan fadilat-fadilat
yang melampau. Tempoh hari ada diforward
satu bacaan yang apabila dibaca, kononnya malaikat akan penat menulis
pahalanya. Belum lagi hadis-hadis palsu yang dulunya sering kita dengar, buat
amalan ini pahalanya seperti Nabi sekian-sekian. Sedangkan para Nabi dan Rasul
telah menempuh ujian yang sangat berat. Mana mungkin kita akan menyamai taraf
mereka “alaihimussolatu wassalam”. Ada pernah terlihat video seorang ustaz dari
seberang yang menyatakan siapa membaca Surah Al-Ikhlas 100,000 kali, dijamin akan
masyuk syurga. Dan bermacam-macam lagi amalan ‘Instant Noodle’ yang dibuat-buat
dan hairannya amalan semacam inilah yang mendapat tempat di hati ramai orang.
Padahal, amalan-amalan sohih dan Sunnah Nabi yang mulia masih banyak untuk
dibuat, tetapi diketepikan kerana mungkin dianggap berat atau susah.
Tidaklah
dinafikan, segala doa, ayat Al-Quran, zikir-zikir itu adalah baik, tetapi kita
perlu ingat bahawa kesemua itu semata-mata hanyalah di atas izin Allah
Subhanahu Wa ta’ala jua dan sepertimana yang diajarkan oleh RasulNya Sallahu ‘Alaihi
Wasallam. Yang perlu untuk diperbaiki ialah hubungan kita dengan Pencipta kita
terlebih dahulu. Kita juga harus menyiapkan jiwa kita untuk selalu bersangka
baik dengan Rabb kita. Iman yang bulat, tawakal yang tinggi serta kesediaan kita
untuk tunduk dan patuh kepada titah perintahNya adalah pra-syarat kepada
kemustajaban permohonan dan pertolongan Tuhan. Ini tidak, doanya banyak,
permintaannya macam-macam, sedang perbuatannya adalah jauh daripada apa yang
diperintahkan. Solat endah tak endah, kalau sampat baru buat. Kerana gagau
urusan kerja, solat tolak tepi. Itulah yang selalu kita sebut di dalam doa
iftitah seperti di atas itu, serta ayat daripada ummul-kitab yang setiap hari kita
baca - “iyyaka na’budu, wa iyyaka nasta’in”, Engkaulah tempat kami mengabdikan
diri, dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan.
Wallahu
ta’ala A’lam
Rasydan
Nokman
London
Hilton on Park Lane, United Kingdom
No comments:
Post a Comment