RINDU YANG TAK BERPENGHUJUNG
Pada hari ini, 27 Januari, tahun
lalu, ayahanda ku telah kembali kerahmatullah. Sejak dari itu juga saya belum
berkesempatan untuk membuat coretan mengenai paduka ayahanda saya kecuali
beberapa gambar dikongsi di tempat lain. Entah kenapa, mungkin kerana kejadian
ini ibarat satu mimpi yang saya berharap saya akan tersedar daripadanya.
Barangkali manatahu satu hari saya bangkit dari tidur, rupa-rupanya bapa masih
ada di dunia ini dan semua ini hanyalah mimpi belaka. Menyebut “aimulah” atau
“Allahyarham” pun kadangnya sangat berat bagi saya, kerana berperasahan yang beliau
itu seperti masih ada - mangkali ada ya di luar rumah atu mengusai laman, atau kali
duduk-duduk melihat talibisyen seperti kebiasaannya, jua barangkali sedang menekuni
membaca berita-berita politik di laptopnya. Tapi sejauh mana hakikat ini sangat
pahit untuk diterima, bapa telah pergi selamanya.
Melihat kembali meses-meses
dengan bapa itu, kadang saya tersingih gali hati, kadang rawan dan sedih.
Gambar-gambar beliau ditatap setiap kali terkenang. Setiap solat dirafak doa semoga
Allah mengampuni dan merahmati kedua ibu bapa saya, lebih-lebih lagi ayah yang
berada di alam sana. Sering juga saya bermimpi melihat bapa, nampak dalam
keadaan baik-baik saja. Bukanlah jaminan apa-apa, tapi berharap ianya adalah satu
isyarat bahawa roh bapa sentiasa dinaungi rahmat Allah di alam barzakh.
Beliau, Haji Nokman bin Haji
Awang Damit, meninggal dunia dalam usia 68 tahun. Telah disahkan oleh Doktor
menghidap kanser/ketumbuhan di dalam otak pada hujung tahun 2020. Mula-mula ahli
keluarga perasan akan perkara ini apabila beliau tiba-tiba menjadi sangat
pendiam. Tutur kata sedikit kacau, ingatan pun tidak lagi tajam. Sehinggakan sampai
satu tahap, nama kami adik-beradik pun dia sukar untuk mengingat - sedihnya
hati ini bukan kepalang mengetahui indung sendiri tidak ingat nama-nama kami. Tapi
kami yakin, walaupun mulut beliau ketika itu sukar melafazkan, di dalam jantung
hatinya kukuh tersemat wajah-wajah kami semua - anak-anaknya yang dibela dengan
kasih sayang.
Disorot kembali kejadian-kejadian
ini, ianya mengandung banyak hikmah dan pelajaran untuk diambil. Episod sakit
mengajar erti kesabaran dan tawakal. Dalam Al-Quran diceritakan ujian berupa
penyakit kepada orang-orang yang lebih mulia, yang dengan kesabarannya terhadap
penyakit itu, diangkat derajatnya dengan tinggi oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Hatta tercucuk duri sahaja, dikatakan menjadi asbab boleh terampunnya
dosa-dosa, apatah lagi bersabar terhadap penyakit berat yang membahayakan
nyawa. Keduanya, umur dan sihat ini adalah kurniaan Allah, bukanlah sangat urusan
manusia. Walaupun kita diwajibkan menjaga tubuh badan pinjaman ini, akan tetapi
tidak ada yang 100% pasti. Ayah saya seorang yang sehat, tidak merokok, selalu
mengeluarkan peluh, makan minum terjaga, berat badan normal, tidur dan rehat
Alhamdulillah cukup, ubat diberi doktor diambil dengan penuh disiplin. Tetapi
semua itu tidak dapat menghindarkannya daripada ketentuan Allah yang
mencampakkan kepadanya satu penyakit dan ditarik semula nikmat sihat yang
diberi pinjam selama ini. Bukanlah ertinya Allah murka, mungkin ia adalah cara
Tuhan mengampuni dosa, meringankan tanggungannya di akhirat kelak dan dengan
asbad sakit ini juga mungkin kebaikan lain akan terjadi. Dan memang terjadi
sungguh - yang dulunya jauh, telah kembali dekat, yang renggang rapat semula,
yang keras menjadi lembut, yang besagut di hati sedikit-sedikit menghilang. Itulah
ketetapan Allah Ta’ala buat bapa.
Kejadian ini juga telah mengajar
kepentingan hidup berkeluarga. Mempunyai pasangan hidup yang baik dan sudi
hidup susah senang bersama, anak-anak yang berbakti, peradian, ipar duai yang
pemedulian, jiran tetangga yang inda camah mata adalah nikmat yang besar.
Wajarlah perkara ini kita usahakan sedari awal. Semasa bapa sakit dulu, ibunda
kami lah yang banyak mengusahakan beliau, dengan kami hanya sekali sekala
bergiliran mengganti. Babu bersengkang mata memeduli keperluan bapa, tidur
kedinginan di atas kursi dan juli bermalam-malam di hospital, makan inda makan,
dan ketika bapa sudah tidak dapat duduk berdiri, soal kebersihan dan istinja
pun ibunda kami yang uruskan. Dan sedih anak kehilangan bapa, sudah tentu
tidaklah sama dengan sedihnya seorang isteri yang berpuluh tahun ini menjadi
suri penyeri, teman baik, pendengar setia, dan pendamping tetap kepada
suaminya. Saya berdoa semoga apa yang dibuat itu keseluruhannya menjadi pahala
yang besar untuk babu dan menjadi sabab dikurniakan kebaikan dunia akhirat.
Teringat saya semasa menyambut
hari jadi bapa bulan November 2020, curi-curi saya perhatikan bapa melihat dan
menghitung-hitung kami adik-beradik dengan senyuman. Lalu saya tanyakan apa
yang mencuit hatinya itu. Dengan suara sayup-sayup, bapa memberitahu bahawa dia
sudah “bersedia” kalaupun terjadi apa-apa, anak-anak semua sudah bekerja,
tinggal lagi si bungsu, “jaga oleh kamu” katanya. Kemudian bapa melirik kepada
ibunda, dan mengatakan kepada saya “babumu inda apa-apa ni, bukan ia menyusah”,
lalu menyambung tawanya. Pesanan beliau semasa saya menjaganya di hospital pun
kalau dikanang kembali, saya tersenyum seorang-seorang. Masa saya memakan bekal
untuk shift menjaga bapa, bapa ada menegur “kurang-kurangkan tah makan” dan
terus berbaring, saya katakan “awu pa, karang madahkan diurang”. Padahal saya tahu
itu ditujukan khusus buat saya. Hehe.
Hari terakhir bapa itu juga masih
terasa baru. Malam sebelum itu, bapa telah dibawa ambulans kerana sedari petang
selepas makan, bapa telah tidak bangun-bangun. Ada seorang ustaz juga telah
berjanji untuk mengurut bapa malam itu. Walaupun tangannya bergerak-gerak
memegang bajunya, tapi mata masih pejam dan tidak menunjukkan respon. Akhirnya
beliau dibawa ke hospital. Pagi hari 27 Januari 2021, mendapat perkhabaran
bahawa keadaan bapa semakin tenat. Saya dan isteri bergegas mengambil anak-anak
dan si bungsu dari sekolah untuk membawa ke hospital. Di hospital tidak ada
apa-apa lagi yang boleh dibuat oleh doktor, dan menasihati untuk mengumpulkan
ahli keluarga. Ketika itu, nafas bapa sudah naik turun. Bacaan oksigen juga
tidak berapa baik. Bunyi jantung juga ada memberi isyarat-isyarat bahawa masa
yang tersisa sangatlah sedikit. Lantunan ayat-ayat suci dibaca beramai-ramai,
bergilir menuntun bapa mengucap kalimah syahadah. Sekali sekala berlinang air
matanya, seperti dia terdengar ramainya orang disekelilingnya. Peluh
mencurah-curah di dahi bapa, dan saya sempat wudhukan bapa untuk menyejukkannya
dan berharap sekurang-kurangnya di akhir hayatnya beliau dalam keadaan bersuci.
Akhirnya, beliau menghembuskan nafas terakhir di dalam dakapan isteri, anak
cucu dan peradian beliau.
Semasa pengebumian, ramai sanak
saudara, kenalan, jiran, sahabat dan kawan-kawan bapa yang hadir. Ada yang
lambat mendapat khabar, datang di hari kemudian mengucap takziah. Keluarga
mengucapkan setinggi penghargaan. Saya juga terharu kerana ada beberapa orang sahabat
saya, bos-bos dan rakan sekerja yang telah hadir semasa pengembumian bapa itu. Apalah
jasa saya ini kepada abiskita semua, sehingga biskita sudi hadir memberi
penghormatan besar kepada saya dengan turut sama menyembahyangkan dan
mengebumikan bapa yang saya kasihi itu. Tidak lupa bagi yang menyumbang masa,
tenaga dan unjukan, Allah jualah sebaik-baik yang memberi balasan.
Kisah bapa telah berakhir di
situ, tinggal lagi kita yang masih hidup ini. Awal atau akhir, akan menuju
pengakhiran yang sama. Yang tinggal hanyalah peristiwa dan kenangan, yang akan
dirista selalu bagi meredakan rindu dendam
ini - rindu yang tak berpenghujung dan tidak bisa terubatkan.
“Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa’afihi, wa’fu ‘anhu”
Saya akhiri dengan 2 buah puisi
yang dijumpai dalam handphone Allahyarham bapa:
1- Puisi....
CATATAN SEORANG bapa.....
Kepada anak-anak ku (Lelaki & Perempuan),
Bapa sudah melakukan
yang terbaik untuk kamu....
Andainya ada kekurangan dan tidak terpenuhi.....
maafkan bapa...
Bapa harap kamu mengerti....
Sebab,
sejarah dan latarbelakang bapa....
Dari '0'......
Tapi rasa hati &
cita-cita bapa...
Untuk kamu....
Nyawa dan jiwaraga....
Galang-gantinya....
nad - 05.11.19@1400
2- Puisi....
andai...... seandainya;
andai langkah ini....
dapat ku undur
andai petang ini....
waktu fajar sadiq semula
andai kehidupan ini....
baru bermula
andai bukan begini....
tidak ku lakukan dari mula
andai yang hitam ini....
dapat ku putehkan
apakah ini sudah...
suratan diri ku
apakah ini takdir...
MU Ilahi
apakah ini sebagai....
kada dan kadar penentuan
andai andai andai.....
dan aku akan sentiasa....
terus menerus
berandaian........
No comments:
Post a Comment