Mungkin antara benda yang bagus untuk ketani persiapkan sedari awal ialah, menjelangnya waktu kita sakit. Sakit dalam makna, kita tidak mampu mengurus diri sendiri. Makan minum, duduk berdiri, hatta perbuatan harian seperti membuang hadas basar/kecil dan istinja. Sakit dalam tahap ini setentunya akan memerlukan khidmat orang lain untuk menguruskannya.
Sebagai ahli keluarga, peradian, atau anak, kita tidaklah rasa terbeban. Bahkan, kita sebetulnya rasa berbangga kerana dapat berkhidmat kepada yang sakit di antara kita. Lebih-lebih lagi kepada ibu atau ayah, yang selama ini menjaga dan membesarkan kita. Inilah giliran kita untuk mengasuh mereka, serta memeduli mereka dengan perasaan kasih dan menghargai. Inilah masa untuk menunjukkan betapa kit aini sangat terhutang budi terhadap mereka, hutang yang tidak akan mampu kita terbayarkan. Kita gembira apabila dapat membantu ibu dan ayah yang sakit, menyantuni dengan penuh sayang dan semampunya untuk memenuhi kehendak mereka.
Melihat wajah ibu ayah yang tua berkedut dan rambut beruban, mengingatkan kita, inilah wajah yang satu masa dulu paling gembira kita melihatnya. Matanya dulu yang penuh perhatian melihat kita, yang disengkang ketika kita sakit demam, dan yang pernah menistikan air mata gembira dan sedih kerana kita, kini layu tidak bermaya. Tangan yang lemah longlai, dulunya tempat kita ‘dikipak’ dan merupkan tempat paling selesa. Tangan itulah jua yang menyuap makan, memberi pakaian dan mencari rezeki untuk membesarkan kita sehingga menjadi manusia. Kaki yang kuat kini tidak mampu menanggung bebanan badan sendiri. Kaki ini jugalah yang telah membawa kita kesana sini. Badan yang dulu muda dan kekar, kini hanya terlantar di atas katil dan wheelchair. Itulah indung, itulah ‘kunci syurga’ bagi kita.
Tapi kejadian ini juga membuat saya merenung jauh, apakah orang-orang selepas kita pun akan berfikiran begini? Apakah anak-anak yang diasuh dengan kasih sayang, yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh itu, akan samakah perasaan mereka nanti, ketika giliran kita memerlukan bantuan? Masa hadapan yang mungkin akan lebih kelam kabut, manusia ghaflah mencari penghidupan, cabaran dan dugaan mereka mungkin jauh berbeda dari masa ini. Macamana pula yang hidupnya sebatang kara? Apakah hanya akan bergantung kepada suster dan missy yang ramai kan mereka kelinga? Allah sahajalah yang mengetahui apa yang akan terjadi.
Persiapan ini juga termasuk kemudahan pergerakan. Bagi yang membina rumah, kena beringat-ingat akan kemudahan dihari tua nanti. Binalah rumah bagi memudahkan pergerakan naik turun, kemudahan membersihkan diri, makan minum dan sebagainya. Perkara ini bisai difikirkan awal.
Selain persiapan kepada waktu sulit itu, yang utama kita persiapkan ialah saat yang akan dirasai oleh semua makhluk yang bernyawa - ajal. Waktu itu pasti akan tiba. Tidak berjanji mesti tua dan sakit. Yang muda dan sehat pun belum tentu lama bersama kita. Lalu apa persiapan kita untuk menempuh hari itu? Kita berusaha mencari ubat kepada penyakit, belum tentu akan sembuh. Apa saja yang dicadangkan oleh para pakar kita terima, apakah takut umur tidak panjang? Betul, agama menyuruh untuk berubat. Allah mungkin saja menitipkan di tangan para doktor asbab kepada baiknya penyakit kita. Tapi hakikat bahawa penyembuh itu adalah Allah ‘azza wajalla, sangat ramai yang melupai. Dan di dalam masa sakit ini sering kita lupa soal kewajipan. Solat, puasa wajib, melunaskan hak-hak manusia dan sebagainya lagi banyak yang ter-miss.
Berabisnya kita supaya sembuh penyakit, tapi tidak pula kita berabis menunaikan perintah Yang Maha Penyembuh dan untuk mempersiapkan amalan untuk bertemuNya nanti. Waktu sakit adalah waktu yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan, dihabiskan dengan tidur dan terlantar. Waktu Allah bagi 'rehat', untuk refleksi akan masa lalu dan masa depan, tidak dimanfaatkan sebaiknya. Mulut basah dek ubat, tidak basah dengan menyebut namaNya. Apa sebenarnya kan kita capai? Adakah kan mencuba hidup sepanjang yang boleh? Ataukah tugas kita hidup ini, untuk mempersiapkan amal soleh sebagai bekalan untuk dibawa mulih? Waktu sehat kita banyak 'bolong', waktu bila lagi untuk kita ini diberi kesedaran? Dimanakah dia 'pakar' dan apakah preskripsi ‘ubat’ yang boleh kita cari untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak?
Dan ketika sudah sembuh, amat jarang kita mendengar orang yang bersyukur. Tahmid dan tasbih hampir tidak kedengaran. Kebanyakkan akan mengatakan ubat sekian-sekian lah yang mujarab, doktor itu dan inilah yang pandai. Betul kita mensyukuri nikmat kesihatan sebagai anugerah Allah. Tapi penyakit bukanlah semestinya tanda kita ini dimurkai Tuhan. Para Rasul, Nabi dan orang-orang soleh pun ramai yang ditimpa sakit dan kesusahan. Ianya tidak lain hanyalah ujian. Sejauh mana tawakkal dan sabar, setinggi mana munajat dan seru-seruan kita kepada Rabb kita, setakat mana kita pasrah menanggung pemberianNya, ataukah semakin menjauh pula kita daripadaNya. Mindset dan tahap keimanan tinggi sebegini juga harus kita tanam awal-awal dan persiapkan kemas-kemas. Jangan sampai apabila sakit kita mengaduh “kenapa Tuhan menyiksa aku?” atau “atas kesalahan apa aku ditimpa sakit begini?”. Ketika ubat kita seduhkan, jangan pula kita lupa untuk mengingatkan kepada pesakit tentang waktu solat, dan bagi mereka untuk terus sabar dan memperbanyakkan istighfar. Kita diajar, kaki yang tercucuk duri saja akan menghapus dosa, apa lagi yang diuji dengan penyakit kronik dan merbahaya, kita yakin semua itu hanyalah cara Tuhan menghapuskan dosa-dosa kita.
Kepada ahli keluarga yang sedang sakit, marilah sama-sama kita mendoakan kesembuhan buat mereka. Sedekah dan amal soleh yang lain kita niatkan menjadi wasilah, semoga Allah kurniakan syifa kepada mereka. Hari ini hari orang, mungkin esok atau mungkin lusa, akan tiba giliran kita pula.
"Allahumma rabban-naas, azhibil ba'sa, isyfi anta asy-syafii, la syifa-an illa syifa-uk, syifa-an la yughadiru saqama"
"Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya,
"Wahai Tuhan, sungguh aku telah ditimpa penyakit sedangkan Engkau adalah Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang. Maka Kami kabulkan (doa)-nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya .... " (Al-Anbiya: 83 - 84)
5 Januari 2021, Wad 22, Hospital RIPAS
No comments:
Post a Comment