SUSAH ITU DI MANA?
Saya menghadiri satu forum perniagaan anjuran Asia Inc. seminggu yang lalu. Forum yang berformat townhall ini telah mengumpulkan ramai business leaders daripada pelbagai sektor perniagaan bagi mengetahui apakah sentimen di kalangan business community, ahli perniagaan dan ahli korporat tentang masa depan perniagaan di Brunei Darussalam pasca COVID-19 ini. Semasa sesi perbincangan, ramai daripada peserta berkongsi pengalaman mereka ketika berhadapan dengan pandemik ini. Ada yang begitu terkesan sehingga syarikat mengalami kerugian, ada yang terjejas sedikit sahaja seperti masalah supply chain, dan ada juga yang bahkan meningkat seperti industri runcit dan makanan.
Tapi rata-rata daripada peserta yang hadir itu, tidak ada menunjukkan sebarang keluhan atau rungutan terhadap pandemik ini. Bahkan majoriti mengatakan bahawa pandemik ini, sepertimana jua permasalahan lain, ada membawa bersamanya banyak peluang untuk kita terokai. Polling yang dibuat semasa forum itu juga menunjukkan lebih daripada 80% peserta mempunyai optimism yang tinggi terhadap masa depan perniagaan di negara ini, lebih-lebih lagi dengan penutupan sempadan yang telah menghadkan aliran keluar duit kita. Salah seorang pengusaha menyatakan “there is so much money circulating in the economy now” yang sepatutnya diambil kesempatan oleh para usahawan dan perniagaan.
Saya kagum lagi takjub akan hal ini dan telah menjadi pikiran saya semenjak itu. Di luar sana ada sekolompok orang yang sibuk memperkatakan soal berusaha keras, tidak berputus asa, bangun dan tampil menghadapi cabaran, setiap kekacauan ada peluang tersembunyi, be innovative and creative dan sebagainya lagi. Tapi apabila pulang ke pejabat atau ke rumah, saya berhadapan dengan golongan orang yang amat berbeza. Yang dicakap adalah soal kemiskinan, kesusahan, pengangguran, kekurangan duit, mohon bantuan, hidup susah, beutang usin, dan 1001 macam permasalahan lagi. Negara yang sama, dalam sistem yang sama, peluang pun hampir sama, lalu ia menimbulkan satu pertanyaan kepada diri saya sendiri, sebenarnya susah itu di mana, dan apakah sebab musababnya?
Beberapa bulan lalu, Kerajaan telah memperkenalkan Sistem Kebajikan Negara (SKN), yang diharapkan dapat membantu di dalam pengurusan hal pemberian bantuan dan kebajikan. Saya sedikit berbeza daripada aliran mainstream dalam perkara ini. Pertamanya, dalam pemberigaan SKN itu, saya terdengar bahawa “orang ramai adalah dialu-alukan” untuk membuat permohonan. Kedua, saya juga mengetahui dalam masa beberapa minggu, lebih 6,000 orang telah menghadapkan permohon melalui sistem ini. Apakah kita berbangga dengan ramainya rakyat kita yang memohon bantuan ini? Apakah ianya merupakan satu indikator yang bagus - apabila ramai di antara kita ini mengaku sebagai daif, susah, fakir dan juga miskin? Di mana usaha kita untuk mengurangkan jumlah penerima bantuan ini? Kenapa tidak akar permasalahan ini kita cantas supaya kita dapat mengurangkan mereka yang hanya bergantung harap kepada pemberian kerajaan atau bantuan zakat? Di mana perbincangannya tentang benda ini?
(censored). Secara permukaannya, masya Allah, siapa yang tidak mahu menyokong niat murni ini. Tapi setelah saya fikirkan, di manakah bukti yang cadangan ini akan berjaya? Kalau inda silap, dulu-dulu pun ada jua sudah ni konsep memberi tanah untuk bercucuk tanam ani, apakah membuahkan hasil? Ataukah tanah-tanah yang beberapa ekar itu telah dijadikan warisan dan dibinakan rumah pada masa ini. Bisaikan, ada kawan-kawan kita yang inda ingau memohon perumahan, inda ingau membali tanah dan loan rumah bisdia diabiskan membangun rumah. Sementara yang lain masih meitung-itung dan mencongak-congak.
Saya juga antara yang kurang bersetuju dengan cadangan bahawa keusahawanan dan pertanian ani boleh mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. Apakah kita beranggapan bahawa berniaga ini satu yang mudah? Syarikat yang besar-besar dan mempunyai dana yang banyak seperti GLCs dan ditadbir oleh ‘pakar-pakar’ pun kebanyakannya ‘kapus-kapus’, lalu kita menyangka golongan sasar ini dapat bertahan tanpa pengalaman, modal dan keupayaan pengurusan? Ini bagi saya adalah satu yang kurang masuk akal. Buktinya, ada yang diberikan modal perniagaan ahernya gagal, dan alat bantu perniagaan melalui wang zakat pula ahernya dijual.
Seterusnya saya tertanya-tanya apakah dasar yang menyebabkan seorang yang susah itu diberikan satu aset yang berharga seperti rumah dan tanah? Apakah ada nilai atau sumbangan mereka kepada negara atau masyarakat sehingga mereka ini berhak untuk diberikan ganjaran sedemikian? Lalu apakah benda yang sama juga dihulurkan kepada yang berusaha keras dengan bekerja atau berniaga, tapi pendapatan mereka tidak mencukupi untuk mereka membeli tanah dan rumah sendiri? Saya terbaca pendapat Thomas Sowell, seorang profesor di AS yang pada tahun 1980 ada mengatakan “what the welfare system and other kinds of governmental programmes are doing is paying people to fail. In so far as they failed, they receive the money. In so far as they succeed, even to an extent, the money is taken away…”.
Fenomena ini benar-benar berlaku dan tidak ada siapa yang dapat menafikannya. Saya diceritakan oleh rakan-rakan daripada Jabatan lain yang terlibat dalam isu ini bahawa pernah kedengaran ketika pemberian “bonus hari raya” ada satu pasangan ini ketika ditanyakan mengenai status anak mereka, mereka dengan sembil lewa mengatakan “baik jua bin Abdullah, ampit jua taun ani” bagi anak mereka yang kelima! Bukan satu dan bukan dua kes seperti ini. Hebat pula “entrepreneurial mind” diorang hal ani sampai pandai berkira-kira untung dan rugi. Apakah ini hasil mahsulnya dasar-dasar kita selama ini? Manusia sudah tidak tahu hukum hakam, halal haram dan kepentingan menjaga nasab keturunan. Tidakkah kita mahu melihat semula atau membuat review sekali-sekala samada keadaan kita ini semakin baik atau sebaliknya.
Kalau dulu masa di bidang media, tugasan saya biasanya adalah untuk menunjukkan hal-hal yang baik dan positif sahaja. Tetapi di bidang sekarang ini, saya melihat satu sisi ‘gelap’ negara ini. Masuk keluar kampung melihat keadaan orang-orang miskin dan susah. Ada yang rumahnya terlalu daif, cuma beratap, berdinding kayu, berlantai tanah. Juga yang menghairankan ialah sebahagian besar mereka ini beranak pinak dengan ramainya. Kita kesian pada anak-anak yang membesar dalam keadaan seperti ini. Ketika lawatan-lawatan itu, dengan hati yang rawan, saya selalu memikirkan bagaimanakah nasib dan masa depan anak-anak ini nantinya. Soal persekolahan, tentang perkembangan minda, akhlak dan disiplin, worldviewnya bagaimana, dan apakah mereka ini akan terus terbelit di dalam kitaran yang sama seperti ayah dan ibu mereka? Kita mendoakan yang terbaik buat mereka ini.
Saya juga sering berfikir, apakah ada perbezaan antara golongan miskin pada zaman ini daripada orang susah di zaman dahulu, seperti di zaman Rasulullah SAW misalnya? Apakah sama kemiskinan seorang hamba sahaya di zaman dulu itu, dengan kemiskinan seorang yang merdaheka pada masa ini? Apakah sebanding kesusahan orang yang dibuang keluarga kerana jenayah dadah, minuman keras dan sebagainya, dengan keadaan orang yang dibuang kaumnya kerana mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW? Begitu juga dengan kesusahan yang ditanggung seorang balu yang kematian suami kerana Jihad fi-Sabilillah, apakah menyamai orang yang kehilangan pendapatan kerana suaminya dipenjara kerana jenayah? Apakah sama orang yang jadi papa kedana, meninggalkan harta, status dan kekayaan kerana berhijrah bersama Rasulullah, dengan mereka yang jadi susah dan bankrupt kerana ketagihan judi atau disebabkan ditipu oleh skim cepat kaya? Soalan-soalan ini selalu saya fikirkan.
Saya selalu mengatakan kepada kawan dan keluarga, ada jenis manusia ini yang berhak kita bantu tanpa ada sesiapa yang dapat mempersoalkan. Orang yang cacat kerana kemalangan atau semula jadi, tanggungjawap kita untuk membantu, anak-anak yatim, wanita kematian suami yang menanggung anak yang ramai, orang yang ditimpa musibah kerana kebakaran, tanah susur, banjir, kecurian. Semua ini wajiblah kita hulurkan bantuan. Saya mengibaratkan pemberian bantuan ini begini: seorang yang cedera kerana patah kaki, maka kita rawat dan bantu sehingga dia pulih. Makan minum dan keperluan asasinya kita berikan. Tapi setelah pulih, kita lepaskan dia untuk meneruskan perjalanan sendiri. Malangnya, terlalu ramai yang ketika sudah pulih, masih berpaut di kaki orang lain atau bergantung harap kepada pihak kerajaan. Tidak kurang yang pura-pura sakit, bahkan ada yang senghaja mematahkan kaki sendiri supaya akan terus diberikan inaindah sampai bila-bila. Ini sesuatu yang perlu kita semua lihati semula.
Wallahu ta’ala ‘alam.
No comments:
Post a Comment