9.8.25

SUARA YANG HALUS, NIAT NAN TULUS

Hari Isnin, 4 Ogos 2025 yang baru lalu, telah berlangsung mesyuarat ke-2 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2025. Saya telah ditugaskan mewakili Jabatan untuk hadir dan mendengar perbahasan pada sebelah petang. Saya mendengar penuh teliti terhadap syarahan, pandangan dan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Perbincangan tertumpu kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035 yang didokong oleh 3 buah blueprint yang telah diperkenalkan.

Semasa di dalam dewan, ada masanya pikiran saya melayang seketika. Sambil telinga mendengar orang berbicara, saya cuba membayangkan apakah bentuk dan rupa negara ini di tahun 2035 itu nanti? Zaman di mana anak-anak pada masa ini akan menjadi dewasa, bekerja dan membina kehidupan. Apakah nanti cabaran mereka? Dan apakah yang kita nikmati (atau gelurati) pada masa ini akan juga mereka merasainya kelak.

Sebelum ini saya tidak mendalami sangat membaca ketiga-tiga blueprint yang ada, iaitu, Economic Blueprint; Manpower Blueprint; dan yang terbaru sekali dilancarkan ialah Social Blueprint. Saya tahu benda ini ada, tapi belum berpeluang untuk mentelaahnya dengan teliti. Dua hari belakang ini saya luangkan masa membaca dengan tekun dokumen-dokumen berkenaan untuk lebih memahami initipati perbahasan di dalam MMN dan apakah yang dihasratkan daripada kesemua blueprints tersebut. 

Tetapi pemikiran saya tidak dapat lari daripada perkataan “blueprint” itu sendiri. Entah kenapa perkataan ini menjadi terkedepan bagi saya. Kerana perkataan itulah juga, saya ada beberapa ekspektasi sendiri terhadap isi kandungan dokumen-dokumen ini. Jika dibaca, perkataan “blueprint” ini adalah istilah yang terbit daripada bidang architecture, pembinaan dan juga engineering. Ia merujuk kepada pelan atau lukisan mengenai dengan binaan atau ciptaan yang akan dibuat. Perkataan ini telah diserap dan dipinjam secara metaforikal ke dalam bidang-bidang lain. Sebagai pinjaman, makna asalnya haruslah masih ada tersisa sedikit, iaitu semacam pelan, acuan, model, lukisan bagi pembuatan satu-satu perkara.

Dan jika kita biasa melihat blueprint bangunan, atau pelan rumah, kita akan dapat melihat dan mungkin terbayang, apakah bentuk binaan yang akan dibuat itu: reka bentuknya, pesegi atau bulat, panjang pendeknya, tinggi rendahnya, luas sempitnya, susun atur dan layout, berapa banyak ruang, letak tiang, dinding, lantai serta perkara kecil seperti letak pintu, jendela dan lain-lain. Dan pelan ini biasanya fix dan bersifat universal, dalam makna, siapa pun kontraktorya nanti, apabila dia merujuk kepada “blueprint” itu, maka hasil binaan juga akan sepatutnya seragam kerana pelannya adalah sama.

Mengambil tamsilan ini dan setakat bacaan saya terhadap ketiga-tiga blueprints, saya belum mendapati apakah “binaan” yang mahu kita ciptakan terhadap ketiga-tiga aspek pembangunan itu, Ekonomi, Tenaga Kerja dan Masyarakat. Mungkin kerana kelemahan sendiri, saya tidak terbayang apakah bentuk dan rupa, besar kecilnya, dan sukatan-sukatan “bangunan” yang diimpikan itu. Berapa tingkat, berapa besar, ruang apa yang ada, tiangnya berapa, pintu tabuknya letak di mana?

Sebagai contoh: apabila membaca Manpower Blueprint, saya tertanya-tanya, nanti pada tahun 2035 itu berapakah workforce size yang kita jangkakan? Bagaimana taburan demografinya? Apakah sektor utama di masa hadapan? Projection mengenai dengan keperluan negara dan industri. Berapa orang doctor, pakar bedah dan pakar perubatan kita perlu? How about Jurutera dan pakar IT? Lawyer? Pilot? Apakah saiz ideal bagi perkhidmatan awam, askar, polis, bomba? academicians dan guru-guru? buruh kasar, teknikal & vokasional, nelayan? berapa ramai tenaga kerja luar yang diperlukan? Berapakah optimal mix di antara foreign & local?

Dalam mengantisipasi perkara ini, apakah dasar atau “foundation” yang perlu dibuat pada masa ini, latihan dan training bagaimana yang diperlukan untuk menyediakan tenaga kerja yang mencukupi. Apakah perlu dibuat semacam social-engineering untuk mengarahkan minat anak-anak kita ke aliran-aliran tertentu. Seperti pemberian biasiswa dan insentif bagi pelajar di bidang-bidang yang kita mahukan lebih banyak penyertaan. Jika ini adalah bangunan, maka yang lain itu ialah kerja-kerja tanahnya, mau dikaji samada kukuh, apakah rata, apakah perlu “ditimbok” atau “di-piling” terlebih dahulu. Kita juga harus menimbang dengan bijaksana, apakah risiko dan cabaran pekerjaan di masa akan datang, dengan perkembangan pesat teknologi pada masa ini. Masih relevankah nanti beberapa jenis pekerjaan dan kursus yang ada kini?

Serupa juga dengan bacaan saya terhadap Social Blueprint, masih kabur kepada saya apakah bentuk masyarakat yang mahu kita wujudkan melalui blueprint berkenaan. Soal demografi – apakah Brunei bakal menjadi negara warga emas? atau majoriti muda-muda? Tentang sosio-ekonomi – apakah kita menuju kepada sifar kemiskinan melampau? Atau kita mahukan sekian peratus masyarakat berada di dalam income group tertentu? Belum saya temui pelannya. Juga jenis society yang bagaimana menjadi idaman kita semua. Yang sehat-sehat dan majoriti tidak obes (ehem), educated, high average IQ and intelligent, berugama, berakhlak, law-abiding citizen, orang-orangnya bausin, pemohon bantuan yang sedikit, dll.

Dan bagaimana caranya mencipta societal cohesion yang bagus? Bagaimana menjamin institusi keluarga untuk berfungsi dengan baik, kumpulam masyarakat yang pemedulian, menggalakkan perkahwinan dan pertumbuhan kadar penduduk yang ideal. Individu bagaimana yang kita mahu menjadi “batu-bata” dalam negara ini nanti, institusi keluarga dengan nilai apa yang menjadi “tiang”nya, kumpulan masyarakat bagaimana yang berupaya menjadi “sinta”nya?

Juga bagaimanakah keadaan negara pada masa itu? Kita mengimpikan Brunei yang bersih, maju, selamat, kadar jenayah yang sangat rendah, MIB-rooted society dan bukannya masyarakat yang terpengaruh dengan agenda liberal dan menyimpang. Kita juga mahu rakyat dan penduduk yang patriotik lagi taat kepada Raja.

Setelah mengetahui style binaan yang kita mahu, soalan seterusnya ialah apakah yang perlu untuk kita menaruh tiang sarinya pada masa ini untuk membina lantai dasarnya yang dapat menampung kesemua itu nanti. Dan apakah pula jenis atapnya serta bahan binaan yang lainnya.

Economic Blueprint juga sedemikian. Setakat semakan saya sendiri, belum ada lagi menampakkan rupa bentuk ekonomi yang cuba diusahakan itu. Penggunaan istilah-istilah besar dan jargon-jargon ekonomi yang modern ada di dalam blueprint itu, tetapi bagi saya ianya lopong daripada apa-apa perancangan yang konkrit. 

Mengenai ekonomi ini, saya antara orang yang masih kurang jelas apakah dia "Mazhab Ekonomi” yang kita ikuti? Are we a free and open market capitalism, ala-ala aliran Adam Smith? Or are we a central-planning, or Marxist/socialists, or Islamic economy, classical or neo-classical, atau gabungan beberapa? Ini penting untuk kita rungkaikan terlebih dahulu, kerana ideology dan Weltanschauung (world-view) inilah yang akan mendasari urus tadbir dan juga perancangan ekonomi kita. Satu-satu aliran mempunyai “usul” yang berbeda dalam melihat serta menyelesaikan satu-satu masalah ekonomi ataupun pentadbiran. 

Berbalik kepada Economic Blueprint, barangkali adalah elok jika dibuat kajian lebih mendalam sedikit, tentang landskap ekonomi yang cuba kita realisasikan. Contoh, mengenai Pelaburan Langsung Asing (FDIs), berapa billionkah target kita akan kemasukan FDIs nanti, dan di dalam bidang apa saja? Tambahan, daripada FDIs itu, berapakah dijangka peluang pekerjaan dapat disediakan? Cukupkah pekerja tempatan nanti? Atau perlu kepada pemain import juga? Apa yang perlu dibuat pada masa ini untuk menarik pelaburan asing ke Brunei? Kerana kita perlu sedar, kita juga giat bersaing dengan jiran lain di dalam Borneo ini.

Tidak ada dinyatakan juga mengenai dengan industri yang berpotensi memberikan sumbangan kepada ekonomi, dan terpaling penting, sumbangan kepada fiskal kerajaan. Berapa projection mengenai tentang GDP di masa akan datang? Apakah kita akan terus kekal dengan polisi ekonomi dan perdagangan sekarang ini, atau perlunya kepada reformasi di peringkat dasar? What is the next big thing or next big sector for Brunei? Tiadakah kita mahu mencipta gagasan made-in-brunei? Do we want a self-reliant country or purely base on open and free trade saja? Atau pelaburan mega terhadap industry baru. Setiap daerah ada specialitinya sendiri? How do we position our self regionally and internationally? What is our competitive edge?

Semua ini bermain dalam fikiran sepanjang mentelaah kesemua blueprints ini. Mungkin ada dokumen lain yang menyenaraikan kesemua itu, yang tidak dikongsi kepada orang ramai. Jika ada, saya rasa tiada salah untuk dikongsikan kepada awam. 

Tatkala bersendirian, kadang saya berimiginasi, sekiranya saya ini adalah seorang Ahli Yang Berhormat, apakah huraian, soalan atau cadangan yang akan saya lontarkan di dalam dewan persidangan. 

Saya terfikir beberapa benda, antaranya:

• Bagaimana proses formulasi kesemua BPs ini? Research methodology?

• Apakah ada jawatankuasa yang dibentuk? Siapa ahli-ahlinya? 

• Siapa nara sumber atau expert yang dirujuk? Siapa pakar ekonomi yang dijemput? Atau apakah ada pakar di bidang sociology, antrophology, ketamadunan, siyasah, politics, dll? 

• Apakah telah mengambil kira keseluruhan pandangan? 

• Apakah telah dihimpun kesemua titah-titah KDYMM selama ini untuk dirumus dan disuling? 

• Apakah telah dibuat stakeholder’s engagement? 

• Ataukah ianya hanya “karya” satu dua orang pegawai yang telah ditugaskan lalu dihadapkan kepada Jawatankuasa untuk diendorse?

• Social Blueprint contohnya, apakah telah dibuat kajian sejarah bagaimana “blueprint” yang telah dipakai daripada zaman Sultan Muhammad Shah dahulu sehingga Al-Marhum Begawan, apa kejayaannya dan apakah keterbatasannya? 

• Apakah dibuat sesi konsultasi bersama mantan pembesar negara yang veteran, ex-menteri besar kah siapa, orang-orang lama di dalam pentadbiran untuk mengetahui what they did good and bad back then? 

• Apakah rujukan literature and perkembangan terkini di dalam setiap bidang yang dibahaskan? Adakah Institusi Pengajian Tinggi kita juga terlibat sama di dalam deliberations?

Saya berpendapat, semua ini perlu dibuat untuk membuahkan kajian berkualiti dan menghasilkan formulasi yang bermutu, praktikal dan realistik. Luahan pandangan ini bukanlah bermakna, saya mengkritik atau memperlekeh usaha yang telah dibuat, jauh sekali. Ianya akan terus disokong. Kesemua kita adalah komponen penting untuk merealisasikan Wawsan 2035 ini. 

Cuma saja, saya rasa terpanggil untuk memberikan komentar peribadi mengenainya. Ia didasari dengan rasa cinta kepada negara. Ini juga adalah pandangan saya sendiri dan tidak mewakili agensi di mana saya bertugas. Boleh jadi pandangan saya ini amat jauh tersasar daripada kebenaran, banyak salah lagi silap. Mungkin sayalah yang kurang cerdik dalam memahami. Saya ini apa juga, bukannya siapa-siapa. Ilmu takat mana, bacaan pun terlalu sedikit. Jika tulisan menimbulkan rasa tidak senang mana-mana pihak, biarkanlah sahaja ia berlalu seperti bisikian angin yang halus. Tetapi ketahuilah, ia terbit dari hati yang sangat tulus.

10.3.23

Hard to just sit n listen to today's khutbah. some very arguable spin on human history. oppression n hardsip did not discriminate. of course men did most of the evil deeds, but they are also inflicted on other men. oppression wasnt based on sexism, it was a class n caste war. even during the prophet's time, sahabat2 lelaki dan wanita mostly dari kalangan hamba sahaya diseksa, tapi dari kalangan bangsawan nda. kalau benar men had it easy, tell that to bilal, khabbab, zubair, mus'ab. of course women like sumayyah n few budak wanita also kena. but what about the likes of Khadijah, Asma, Umar, Ali? kena sekat dan pulaukan, yes. but werent subjected to extreme torture, why? was it because of their gender or their social status?

Way back before that, didnt we have men slaves? only women n girls slaves built the pyramid? who were the major casualties of wars n battles? did men of the oppressed class get free passes in nazi germany, in stalin soviet, mao china, during their killing spree? Didn't we have queens, princesses, female socialites during those so-called eras of "men oppressions"? how come you can confidently say seolah-olah hanya wanita saja yang penuh kesusahan sepanjang sejarah manusia? 

The most important ayat in the Quran regarding male/female relationships and gender roles.. was not even mentioned! (An-Nisa ayat 34). Im afraid we are only giving half-truth n incomplete pictures of what Al-Quran says about the roles, rights n responsibilities of both men and women.

Indeed, in the sight of Allah, everyone is the same, yang membezakan cuma ketaqwaan. tapi hatta dalam kesamaan atu, hukum hakam ugama yang dikenakan ada jua yang berbeza di antara kedua jantina. 

I am also very worried, macam ada sudah "bau-bau" liberalism kana perkenalkan dalam negara ani. now dari kalangan agamawan pun tersampuk dengan "progressivism" and wanting to be politically correct. 

Feminism, gender issues, "equality", inclusivity, social justice n acceptance movement to me are some red flags that we need to be very careful about as most of these are the political talking points pushed by the left-leaning liberals. if we are not careful, it will slowly evolve into something very nasty in the future, as evident of what is currently happening in the west.

Jumaat - 10/3/2023

24.1.23

 KETENTUAN TUHAN

Saya suka untuk berkongsi satu cerita yang membuat hati saya senang. Ceritanya bermula pada tahun lepas, bulan Mac 2022. Pada salah satu hari Ahad, saya ada menerima satu whatsapp daripada kawan baik saya, meminta pertolongan untuk menggunakan kereta Pajero saya membawa parts kereta projeknya yang agak besar ke rumah kawan sekerjanya di mana kereta itu berada. Ianya hari cuti dan saya tiada ada kesibukan apa-apa, maka saya pun memenuhi permintaannya itu.

Tiba di rumah kawannya itu, dan setelah menghantar barang yang dimaksudkan itu, kami berborak sedikit sebelum pamitan pulang. Dalam perjalan pulang, saya bertanya kepada kawan saya ini mengenai dengan kawannya tadi. Apakah dia sudah kahwin? Jika belum apakah dia sudah berteman? Berapa umur dan sebagainya? Maka dijawap bahawa dia itu pernah berumah tangga, tetapi jodohnya tidak panjang dan masa ketika itu dia belum lagi ada tanda-tanda mahu mencari pasangan hidup baharu. Saya menerangkan kepada kawan saya, pertanyaan ini adalah cuma ingin mengetahui samada temannya itu available dan bersedia memulakan hidup berumah tangga yang baru. Ini kerana, saya ada mempunyai seorang kawan perempuan dan sangat baik orangnya yang mungkin saya boleh kenalkan. Ketika itu, kami menganggapnya hanya seperti gurauan dan candaan sahaja. Hehe.

Selang beberapa hari, kawan saya ini menghantar satu mesej kepada saya bertanya mengenai sosok yang saya maksudkan tempoh hari dan meminta sekiranya gambar untuk dilihatkan kepada kawannya. Setelah melihat gambar, si lelaki pun bersetuju tapi bersyarat “hanya untuk kenal-kenal sahaja dulu”. Tiada lebih tiada kurang. Saya pun memaklumkan kepada kawan perempuan saya sekiranya dia bersetuju untuk saya berikan nombor teleponnya kepada seorang lelaki, kawan kepada kawan baik saya. Dia bersetuju dan macam ada jual mahal sikitlah, “kenal-kenalan lah dulu kunun”.

Saya tidak ambil campur apa terjadi selepas perkenalan itu, tapi pada satu hari saya diberitahu, mereka sedang “ta’arufan” dan mengenali hati budi masing-masing. Dan selang beberapa bulan, saya dikejutkan dengan berita mereka sudah tunangan. Dan Alhamdulillah, pada hari Isnin kelemarin, 23-1-23, mereka telah selamat diijabkabulkan dalam satu majlis perkahwinan. Hehe. Pengantin lelaki sempat mengucapkan terima kasih kepada saya, katanya “makasih datang bro, makasih jua mengenalkan” hehe. Sama-sama kasih~

Saya renung panjang perjalanan cerita ini dan sangat takjub dengan persoalan jodoh dan ketentuan Tuhan akan untung nasib hamba-hambaNya. Satunya, perkenalan saya dengan kawan saya (Abdul Mobin) di Maktab Duli pada tahun 2005 dulu itu rupanya ada sesuatu disebaliknya. Kemudian yang perempuan pula adalah kawan satu kelas semasa di UNISSA pada tahun 2007 dahulu. Perkenalan ini rupa-rupanya, akan ada signifikannya belasan tahun akan datang dan bukannya satu yang sia-sia. Probability untuk perkahwinan dan jodoh ini terjadi – dengan jalan cerita sebegini – kalau ikut lojik akal barangkali sangat tidak mungkin. Tapi itulah takdir Allah. Introduction of characters ke dalam hidup kita ini tidak kita ketahui apa hikmah di sebaliknya. Lambat atau cepat, kalau sudah Allah tetapkan, ianya pasti akan terjadi jua. Dan barangkali, small gestures seperti bertanya, ingau dan peduli, inquisitive, dan usaha untuk mengenalkan itu adalah besar maknanya kepada orang lain. Sebahagian mungkin malu atau tidak berani membuat 1st move dan sangat berhajat kepada “push” daripada orang lain.

Tidak lupa saya ucapkan Selamat Pengantin Baru buat Hajah Khadijah dan suaminya Bro Azraie. Semoga bahagia hingga ke anak cucu. Barakallahu lakuma, wa baraka ‘alaikuma, wa jama’a bainakuma fi khair. Amin.





18.7.22

 DIRGAHAYU KEBAWAH DULI TUAN PATIK 

Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76, dan khutbah Jumaat pada 15 Julai 2022 yang ada menyentuh mengenai dengan keprihatinan Baginda melalui lawatan-lawatan tidak berjadual, sukacita saya kongsi sebuah kertas yang saya tulis berkaitan dengan perkara ini, sekiranya ada yang berminat untuk membaca, memberikan pandangan, kritikan dan komentar. 

Kompilasi dan Analisis Titah-Titah KDYMM sempena lawatan tidak berjadual tahun 2020

 

27.1.22

RINDU YANG TAK BERPENGHUJUNG

Pada hari ini, 27 Januari, tahun lalu, ayahanda ku telah kembali kerahmatullah. Sejak dari itu juga saya belum berkesempatan untuk membuat coretan mengenai paduka ayahanda saya kecuali beberapa gambar dikongsi di tempat lain. Entah kenapa, mungkin kerana kejadian ini ibarat satu mimpi yang saya berharap saya akan tersedar daripadanya. Barangkali manatahu satu hari saya bangkit dari tidur, rupa-rupanya bapa masih ada di dunia ini dan semua ini hanyalah mimpi belaka. Menyebut “aimulah” atau “Allahyarham” pun kadangnya sangat berat bagi saya, kerana berperasahan yang beliau itu seperti masih ada - mangkali ada ya di luar rumah atu mengusai laman, atau kali duduk-duduk melihat talibisyen seperti kebiasaannya, jua barangkali sedang menekuni membaca berita-berita politik di laptopnya. Tapi sejauh mana hakikat ini sangat pahit untuk diterima, bapa telah pergi selamanya.

Melihat kembali meses-meses dengan bapa itu, kadang saya tersingih gali hati, kadang rawan dan sedih. Gambar-gambar beliau ditatap setiap kali terkenang. Setiap solat dirafak doa semoga Allah mengampuni dan merahmati kedua ibu bapa saya, lebih-lebih lagi ayah yang berada di alam sana. Sering juga saya bermimpi melihat bapa, nampak dalam keadaan baik-baik saja. Bukanlah jaminan apa-apa, tapi berharap ianya adalah satu isyarat bahawa roh bapa sentiasa dinaungi rahmat Allah di alam barzakh.

Beliau, Haji Nokman bin Haji Awang Damit, meninggal dunia dalam usia 68 tahun. Telah disahkan oleh Doktor menghidap kanser/ketumbuhan di dalam otak pada hujung tahun 2020. Mula-mula ahli keluarga perasan akan perkara ini apabila beliau tiba-tiba menjadi sangat pendiam. Tutur kata sedikit kacau, ingatan pun tidak lagi tajam. Sehinggakan sampai satu tahap, nama kami adik-beradik pun dia sukar untuk mengingat - sedihnya hati ini bukan kepalang mengetahui indung sendiri tidak ingat nama-nama kami. Tapi kami yakin, walaupun mulut beliau ketika itu sukar melafazkan, di dalam jantung hatinya kukuh tersemat wajah-wajah kami semua - anak-anaknya yang dibela dengan kasih sayang.

Disorot kembali kejadian-kejadian ini, ianya mengandung banyak hikmah dan pelajaran untuk diambil. Episod sakit mengajar erti kesabaran dan tawakal. Dalam Al-Quran diceritakan ujian berupa penyakit kepada orang-orang yang lebih mulia, yang dengan kesabarannya terhadap penyakit itu, diangkat derajatnya dengan tinggi oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Hatta tercucuk duri sahaja, dikatakan menjadi asbab boleh terampunnya dosa-dosa, apatah lagi bersabar terhadap penyakit berat yang membahayakan nyawa. Keduanya, umur dan sihat ini adalah kurniaan Allah, bukanlah sangat urusan manusia. Walaupun kita diwajibkan menjaga tubuh badan pinjaman ini, akan tetapi tidak ada yang 100% pasti. Ayah saya seorang yang sehat, tidak merokok, selalu mengeluarkan peluh, makan minum terjaga, berat badan normal, tidur dan rehat Alhamdulillah cukup, ubat diberi doktor diambil dengan penuh disiplin. Tetapi semua itu tidak dapat menghindarkannya daripada ketentuan Allah yang mencampakkan kepadanya satu penyakit dan ditarik semula nikmat sihat yang diberi pinjam selama ini. Bukanlah ertinya Allah murka, mungkin ia adalah cara Tuhan mengampuni dosa, meringankan tanggungannya di akhirat kelak dan dengan asbad sakit ini juga mungkin kebaikan lain akan terjadi. Dan memang terjadi sungguh - yang dulunya jauh, telah kembali dekat, yang renggang rapat semula, yang keras menjadi lembut, yang besagut di hati sedikit-sedikit menghilang. Itulah ketetapan Allah Ta’ala buat bapa.

Kejadian ini juga telah mengajar kepentingan hidup berkeluarga. Mempunyai pasangan hidup yang baik dan sudi hidup susah senang bersama, anak-anak yang berbakti, peradian, ipar duai yang pemedulian, jiran tetangga yang inda camah mata adalah nikmat yang besar. Wajarlah perkara ini kita usahakan sedari awal. Semasa bapa sakit dulu, ibunda kami lah yang banyak mengusahakan beliau, dengan kami hanya sekali sekala bergiliran mengganti. Babu bersengkang mata memeduli keperluan bapa, tidur kedinginan di atas kursi dan juli bermalam-malam di hospital, makan inda makan, dan ketika bapa sudah tidak dapat duduk berdiri, soal kebersihan dan istinja pun ibunda kami yang uruskan. Dan sedih anak kehilangan bapa, sudah tentu tidaklah sama dengan sedihnya seorang isteri yang berpuluh tahun ini menjadi suri penyeri, teman baik, pendengar setia, dan pendamping tetap kepada suaminya. Saya berdoa semoga apa yang dibuat itu keseluruhannya menjadi pahala yang besar untuk babu dan menjadi sabab dikurniakan kebaikan dunia akhirat.

Teringat saya semasa menyambut hari jadi bapa bulan November 2020, curi-curi saya perhatikan bapa melihat dan menghitung-hitung kami adik-beradik dengan senyuman. Lalu saya tanyakan apa yang mencuit hatinya itu. Dengan suara sayup-sayup, bapa memberitahu bahawa dia sudah “bersedia” kalaupun terjadi apa-apa, anak-anak semua sudah bekerja, tinggal lagi si bungsu, “jaga oleh kamu” katanya. Kemudian bapa melirik kepada ibunda, dan mengatakan kepada saya “babumu inda apa-apa ni, bukan ia menyusah”, lalu menyambung tawanya. Pesanan beliau semasa saya menjaganya di hospital pun kalau dikanang kembali, saya tersenyum seorang-seorang. Masa saya memakan bekal untuk shift menjaga bapa, bapa ada menegur “kurang-kurangkan tah makan” dan terus berbaring, saya katakan “awu pa, karang madahkan diurang”. Padahal saya tahu itu ditujukan khusus buat saya. Hehe.

Hari terakhir bapa itu juga masih terasa baru. Malam sebelum itu, bapa telah dibawa ambulans kerana sedari petang selepas makan, bapa telah tidak bangun-bangun. Ada seorang ustaz juga telah berjanji untuk mengurut bapa malam itu. Walaupun tangannya bergerak-gerak memegang bajunya, tapi mata masih pejam dan tidak menunjukkan respon. Akhirnya beliau dibawa ke hospital. Pagi hari 27 Januari 2021, mendapat perkhabaran bahawa keadaan bapa semakin tenat. Saya dan isteri bergegas mengambil anak-anak dan si bungsu dari sekolah untuk membawa ke hospital. Di hospital tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat oleh doktor, dan menasihati untuk mengumpulkan ahli keluarga. Ketika itu, nafas bapa sudah naik turun. Bacaan oksigen juga tidak berapa baik. Bunyi jantung juga ada memberi isyarat-isyarat bahawa masa yang tersisa sangatlah sedikit. Lantunan ayat-ayat suci dibaca beramai-ramai, bergilir menuntun bapa mengucap kalimah syahadah. Sekali sekala berlinang air matanya, seperti dia terdengar ramainya orang disekelilingnya. Peluh mencurah-curah di dahi bapa, dan saya sempat wudhukan bapa untuk menyejukkannya dan berharap sekurang-kurangnya di akhir hayatnya beliau dalam keadaan bersuci. Akhirnya, beliau menghembuskan nafas terakhir di dalam dakapan isteri, anak cucu dan peradian beliau.

Semasa pengebumian, ramai sanak saudara, kenalan, jiran, sahabat dan kawan-kawan bapa yang hadir. Ada yang lambat mendapat khabar, datang di hari kemudian mengucap takziah. Keluarga mengucapkan setinggi penghargaan. Saya juga terharu kerana ada beberapa orang sahabat saya, bos-bos dan rakan sekerja yang telah hadir semasa pengembumian bapa itu. Apalah jasa saya ini kepada abiskita semua, sehingga biskita sudi hadir memberi penghormatan besar kepada saya dengan turut sama menyembahyangkan dan mengebumikan bapa yang saya kasihi itu. Tidak lupa bagi yang menyumbang masa, tenaga dan unjukan, Allah jualah sebaik-baik yang memberi balasan.

Kisah bapa telah berakhir di situ, tinggal lagi kita yang masih hidup ini. Awal atau akhir, akan menuju pengakhiran yang sama. Yang tinggal hanyalah peristiwa dan kenangan, yang akan dirista selalu bagi  meredakan rindu dendam ini - rindu yang tak berpenghujung dan tidak bisa terubatkan.  

“Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa’afihi, wa’fu ‘anhu”

Saya akhiri dengan 2 buah puisi yang dijumpai dalam handphone Allahyarham bapa:

1- Puisi....
CATATAN SEORANG bapa.....
Kepada anak-anak ku (Lelaki & Perempuan),
Bapa sudah melakukan
yang terbaik untuk kamu....
Andainya ada kekurangan dan tidak terpenuhi.....
maafkan bapa...
Bapa harap kamu mengerti....
Sebab,
sejarah dan latarbelakang bapa....
Dari '0'......
Tapi rasa hati &
cita-cita bapa...
Untuk kamu....
Nyawa dan jiwaraga....
Galang-gantinya....

nad - 05.11.19@1400

 

2- Puisi....
andai...... seandainya;
andai langkah ini....
dapat ku undur
andai petang ini....
waktu fajar sadiq semula
andai kehidupan ini....
baru bermula
andai bukan begini....
tidak ku lakukan dari mula
andai yang hitam ini....
dapat ku putehkan
apakah ini sudah...
suratan diri ku
apakah ini takdir...
MU Ilahi
apakah ini sebagai....
kada dan kadar penentuan

andai andai andai.....
dan aku akan sentiasa....
terus menerus
berandaian........

 nad - 18.01.2020@12.25