7.9.19

AL-‘ADATU AL-MUHAKKAMAH

Saya masih ingat semasa belajar subjek Usul Fiqh dulu mengenai dengan satu bab yang menarik seperti tajuk di atas. Pada dasarnya, ia membawa makna bahawa dalam beberapa keadaan, adat atau kebiasaan itu boleh dijadikan dasar dalam menetapkan suatu hukum, khususnya dalam perkara-perkara yang tidak disebut secara jelas di dalam Nas-nas Al-Quran dan Sunnah.

Saya masih ingat antara contoh yang diberikan oleh guru saya antaranya ialah kebiasaan orang melayu untuk mencium tangan ibu bapa dan orang-orang yang lebih tua, berdiri tegak semasa lagu kebangsaan dinyanyikan, tunduk hormat kepada Raja, memanggil orang tua dengan panggilan hormat sebelum nama mereka seperti nini/tua/tangah/amit/ucu ataupun paji/paci/maci/babu, membuka kasut atau selipar kalau masuk ke rumah, dan kebiasaan masyarakat yang digariskan oleh undang-undang dan autoriti setempat.

Antara kebiasaan baik yang saya lihat semakin berkurangan ialah adab memohon untuk lalu atau melintas serta menundukkan diri dihadapan orang. Saya masih ingat masa saya masih kecil, pernah dimarahi kerana melintas dihadapan orang-orang tua dengan selamba dan bersahaja. Ketika itu saya diajar, kalau hendak melintas juga, badan mestilah dibongkokkan dan sebelah tangan dihulur kehadapan tanda meminta izin atau kata orang Indonesia mohon “permisi”. Kalau dulu, perindungan, petuan-petuan atau peradian-peradian yang lebih tua selalu mengigatkan kalau hendak berjalan melintasi orang yang sedang duduk seperti ungkapan “jaga lai… mua”.

Tempoh hari saya ada ke klinik, dan semasa menunggu giliran saya perhatikan perkara ini. Mereka yang seangkatan dan lebih tua dari saya, walaupun tidak tunduk dan menghulur tangan, saya dapati mereka membuat satu ‘lenggok badan’ atau gesture yang lebih kurang membawa makna yang sama, dengan mengedepankan sedikit bahu yang menghadap orang yang sedang duduk. Tetapi yang dalam lingkungan ‘young adult’, para remaja dan kecil daripada itu, kita tidak dapati perkara ini. Fenomena ini dapat diperhatikan juga di masjid-masjid ketika solat jumaat dan di dalam acara-acara dan majlis-majlis yang lainnya.

Saya berfikir juga, kenapa adab dan kebiasaan baik seperti ini tidak kita ajarkan kepada generasi seterusnya? Amat sayang jika ianya tidak diteruskan kerana ianya adalah unik kepada kita di alam melayu dan nusantara ini. Mungkinkah kita sudah terbiasa dengan adat kebiasaan orang lain, yang tidak beberapa mengambil berat soal kesopanan dan menghormati “mua”? Perkara ini boleh kita fikirkan sama-sama dan jika ianya baik, bolehlah kita wariskan kepada generasi yang akan datang.

05-07-2018

No comments: