7.9.19

TIANG AGAMA

Solat Fardhu atau sembahyang 5 waktu adalah salah satu rukun Islam. Ianya adalah amalan utama sebagai seorang muslim, dan perkara pertama yang akan dihisab di akhirat nanti. Solat dikatakan sebagai tiang agama, maka siapa menegakkannya bermakna ia telah menegakkan agama, dan siapa mencuaikannya berarti dia telah merobohkan agama ini. Solat juga adalah sesuatu yang membezakan di antara kita dan orang-orang kafir.

Awal Ramadhan ini, saya mendapat undangan mewakili Jabatan saya ke Istana Nurul Iman bagi Solat Isya dan Terawih berjemaah dan diikuti dengan Majlis Tadarus Al-Quran sebagai salah satu acara mengidupkan malam-malam Ramadhan di Istana. Setiba di Istana, saya terlihat satu signage besar di tempat masuk bagi orang awam dengan tulisan “Sembahyanglah Kamu, Sebelum Kamu Disembahyangkan”. Saya tersenyum melihat kata-kata itu dan berfikir ianya sedikit tegas. Mungkin ada kisah di sebaliknya, fikir saya lagi.

Terakhir saya ke Istana pada bulan Ramadhan adalah pada tahun 2003 sewaktu menuntut di satu Institusi yang bersebelahan Istana itu. Sudah banyak perubahan saya perhatikan. Kalau dulu, malam-malam Ramadhan dihidupkan dengan bacaan ayat-ayat Quran dan ceramah-ceramah agama, tetapi masa ini diganti dengan solat Isya dan Terawih berjemaah. Sesuatu perubahan yang baik. Tetapi saya telah melihat satu perkara yang sangat menyedihkan. Ketika iqamat dikumandangkan, semua “jemaah” dilihat berdiri dan menyusun saf masing-masing, pasukan-pasukan beruniform juga dilihat membantu mengawal barisan dan orang ramai ini.

Ketika imam mengangkat takbir, para makmum pun berbuat demikian. Tetapi saya perasan sebahagian orang dihadapan saya seperti belum lagi memulakan solat sehingga habis bacaan surah. Dan kekita imam rukuk, mereka tidak ikut rukuk. Begitu juga ketika imam sujud, mereka tetap berdiri di tempat masing-masing. Rupa-rupanya mereka tidak Sembahyang! Saya perhatikan lebih daripada 60% daripada yang hadir itu tidak ikut menunaikan sembahyang fardhu Isya dan lebih daripada itu lagi tidak ikut sama bersolat terawih.

Saya jadi bingung, jika mereka ini memang tidak mau sembahyang, buat apa mereka ini berdiri di dalam saf? Bukankah ini akan merusak saf bagi mereka yang benar-benar mau solat? Bukan setakat itu, mereka ini juga membuat bising bercerita-cerita dan bermain game di hp masing-masing. Belum lagi yang “kuai libai” di hadapan orang-orang yang tengah sembahyang. Saya berfikir juga, apakah ini gambaran keseluruhan rakyat Brunei, lebih 60% daripada kita tidak bersolat? Saya berharap tidak begitu! Jika ditempat awam dan dilihat orang, mereka sudah berani tidak bersolat, apa lagi di belakang-belakang.

Semasa rehat di antara solat terawih itu, saya sempat juga menoleh-noleh kiri kanan, melihat sekiranya ada “orang-orang besar” yang ikut berjemaah. Ada saya perhatikan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Agama, Pegawai Kanan Pusat Dakwah Islamiah, ramai daripada guru-guru Agama, dan Pegawai-Pegawai Istana dan Pegawai Kerajaan yang lainnya. Saya berfikir, mereka ini adalah lebih layak untuk memikirkan tentang masalah ini daripada saya, kerana ini adalah bidang tugas mereka.

Setelah majlis terawih dan bertadarus seleasai, saya sempat juga berbual bersama beberapa orang kenalan mengenainya dan menyatakan kesedihan dengan perkara ini. Mereka mengiyakan dan ada yang mengakatan “taun-taun sudah ni” seolah-olah ianya perkara kecil. Jika benar ianya sudah berlarutan saban tahun, apakah usaha yang sudah kita buat dalam memastikan yang hadir ini untuk bersolat selain memasang sign board di luar Istana? Jika dalam isu kebersihan, boleh dijadikan agenda nasional, ditubuhkan Jawatankuasa peringkat nasional dalam menangani isu-isuk kebesihan, kenapa tidak dalam soal sembahyang ini?

Jika memang sudah ada, sejauh manakah keberkesanannya? Dan apakah perlu kita menilai semula sistem pendidikan agama kita ini yang sepertinya tidak berkesan dalam menerapkan peri pentingnya bagi setiap muslim untuk bersolat? Mungkin kah “marketing” kita kurang menarik? Atau kah pendekatan kita yang tidak sesuai? Adakah guru-guru agama yang diundang itu, telah memainkan peranan mereka untuk berdakwah dan menerangkan kepada mereka wajibnya solat? Dan tidak bolehkan golongan berkuasa “memaksa” orang untuk bersolat fardhu? Adakah boleh “imbalan-imbalan” yang dihajati itu digunakan sebagai insentif? Dan di mana tugas amar makruf dan nahi mungkar para pendakwah dan orang-orang agama? Kemungkaran apakah yang lebih besar daripada ramainya manusia meninggalkan solat fardhu?

Benda ini tidak eksklusif kepada cerita di atas, tetapi dapat kita perhatikan di mana saja. Di pejabat, sebahagian besarnya kita tidak pernah tahu, bila masa mereka ini bersolat. Mungkin sembunyi-sembunyi di surau atau di masjid. Yang perempuannya lebih hebat, pernah saya bertanya kepada salah seorang staff samada sudah bersolat atau belum, dijawapnya “karang saja ku qadha di rumah, kami payah bah, bemikap”. Astaghfirullah, saya bimbang jawapan itu tidak diterima Tuhan di akhirat nanti.

Saya memuji rakyat Indonesia dalam soal solat ini. Zahir kepada kita, mereka ini sangat menjaga akan perihal solat. Saya pernah bertanya kepada seorang kenalan dari Indonesia bagaimanakan pendidikan agama mereka di sana sehingga mereka begitu menjaga solat dan selalu melazimi ke masjid dan surau? Dijawapnya kerana ianya sudah menjadi budaya mereka di kampung. Setiap azan, orang tetua diorang akan mengambau kanak-kanak ani ke surau berdekatan. Siapa yang nda berjemaah atu, lain pulang rasanya dan aka nada perasaan malu. Tidak semestinya durang ani alim, kadang-kadang yang nakal atu pun kita dapat lihat sangat menjaga solat. Ada seorang lagi kenalan membagitau “yach, kita baik minum (arak), baik judi, maen perempuan, kalau sudah waktu solat, yach solat dulu lah”.

Saya menulis coretan ini dengan harapan ianya akan mendapat perhatian daripada pihak-pihak berwajip untuk sama-sama memikirkan. Menteri-menteri, pegawai-pegawai ugama kerajaan, imam-imam, guru-guru agama, para pendakwah, ibu bapa, adi beradi serta masyarakat keseluruhannyaa adalah sama-sama bertanggungjawap kepada perkara ini. Saya percaya jika kita dapat menggerakkan masyarakat kita untuk menjaga dan membudayakan solat, akan lebih banyak lagi rahmat daripada Allah kepada kita dan negara ini.

“Dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku' ” (Al-Baqarah:43)

21-05-2018

No comments: