MELIHAT DUNIA DENGAN PANDANGAN AKHIRAT
Jikalah akhirat itu tidak wujud, hidup dunia ini adalah sangat tidak adil. Beriman dengan hari kemudian ini, saya rasa antara hikmahnya, ialah untuk menjadikan diri seorang mu’min lebih tenteram dan untuk menjadi kekuatan diri dalam meneruskan hidup dunia yang penuh dengan ketidakadilan. Apabila kita memandang dunia ini sebagai ujian, dan akhirat nanti segalanya akan dihisab, sedikit sebanyak ianya akan menenangkan kita, di samping untuk mengatur langkah kita untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk dan dalam membuat keputusan. Dan sekiranya kita hanya meliat dunia ini, dengan kacamata keduniaan sahaja, di situlah mungkin terbukanya pintu kepada segala-gala yang tidak baik.
Beberapa hari lalu, ketika memandu menuju ke pejabat, saya memerhatikan gelagat seorang pemandu dihadapan saya yang sedang merokok. Rokok disisip kemas di antara jari telunjuk dan jari hantu, ‘dipasik-pasik’ dengan ibu jari untuk membuang abunya, sekali sekali dihisap dan dihembus, dan sesudah habis, puntung rokok atu dibuang ke jalan raya.
Saya berfikir, perbuatannya mencemar alam sekitar ini nampaknya akan terlepas dia di dunia ini dan tiada ada siapa akan mengambil tindakan keatasnya. Undang-undang dan penguatkuasaan pun sangat sulit untuk membawa perkara ini untuk pengadilan. Lantas saya juga berfikir, bagaimana pula dengan keadilan di ‘sebelah sana’. Adakah perbuatannya itu tadi, tercatit sebagai pahala ataupun dosa? Ataupun tidak berpahala dan tidak ada berdosa? Adakah Allah ta’ala akan menyoalnya nanti di akhirat? Dan apakah balasan setimpal yang akan Allah berikan kepada kesalahan-kesalahan yang mereka anggap kecil ini? Dan sungguh diri ini juga terasa insaf akan perbuatan yang sama pada tahun-tahun yang sudah.
Saya juga perasan, sebahagian besar keulahan kita ini, kita lakukan adalah kerana kita tidak melihat implikasinya terhadap nasib kita di akhirat nanti. Dalam kehidupan sehari-hari kita, entah berapa banyak dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari ataupun tanpa kita perduli. Daripada mengumpat, memandang perkara yang tidak baik, berkata-kata kesat dan kasar, menyakiti orang lain dengan cara yang bagi kita mungkin remeh temeh. Jika benar kita beriman dengan dosa pahala, perbuatan dan balasan, pengadilan di akhirat, saya rasa banyak perkara kita tidak tergamak untuk membuatnya.
Di tempat kerja kita melihat ada orang yang seperti tidak ada kerja, cuma menunggu tanggal gajinya. Sementara orang lain berkerja keras, dan bayarannya sama ataupun kurang sedikit. Ada yang tidak malu-malu menggunakan harta benda kerajaan atau syarikat, untuk kegunaan peribadi. Kertas dan printer digunakan untuk memprint homework, assignment, projek dan kerja sekolah anak-anak mereka sehingga kehabisan untuk membuat kerja-kerja pejabat. Ada yang mengambil cuti sakit walaupun sebenarnya sihat, dengan alasan ‘taun ani aku alum ada MC’ atau ‘malasku keraja ari ani’, dan gajinya tetap dibayar full! Belum lagi kita mendengar, ada orang tergamak memakan duit kerajaan, bukan ratusan dan ribuan, bahkan jutaan ringgit dia gelapkan, untuk memenuhi kerakusan nafsu nafsi. Benda ini sangat biasa kita lihat dan dengar, seolah-olah yang mereka buat itu tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka di hari pengadilan kelak.
Tidak kurang mereka yang bersahaja mengambil hak dan harta benda orang lain. Kadang-kadang nampak macam sekadar, tetapi tidakkah kita diingatkan bahawa setiap benda yang kita ambil dengan cara yang salah itu, akan dituntut nanti di akhirat? Ada yang banyak berhutang dan tidak mahu membayar, sehingga sanggup memutuskan persahabatan. Terus terang, saya tidak akan menagih di dunia ini, tapi jika ada antara kita yang ‘jalan’ dulu dan hutang masih belum langsai, saya akan tuntutnya dihadapan Tuhan nanti.
Di rumah dan di kampung sama juga, kadang-kadang kita sakit hati dengan perbuatan orang rumah kita sendiri dan jiran-jiran, tetapi untuk menjaga hati dan supaya nda jadi kelaie, kita diamkan saja. Ada yang kerajanya kan membuat bising saja tangah malam, melaur-laurkan sound system dan bunyi kereta/motosikal. Tidak kasihankah kepada anak-anak kecil, orang-orang tua, dan orang yang sakit dan yang sedang istirehat? Alum lagi urang yang kerajanya pagi patang ‘menunu’ rumput dan sampah, sehingga baju sidaian jiran sebelah terkena ‘wangian’ asapnya? Mungkin jua ada orang kiri kanan atu yang menghidap asma dan ampus? Bagi yang tidak melihat di sisi ani, mengunun ani cuma dianggapnya sebagai riadah. Tapi bagaimana dengan perasaan orang-orang lain? Dan apakah perbuatan itu tadi akan di-‘kreditkan’ di sebelah kanan ataupun kiri? Kan ditagurkan banar-banar takut jadi kelahi. Akhirnya kita hanya dapat memohon kepada Allah, ‘Ya Rabb, tolong ambil tindakan ke atas mereka ini’.
Di dalam kehidupan sehari-hari, jika kita tidak melihat dunia ini dengan pandangan akhirat, manusia akan menjadi sangat rakus dengan materi. Duit, amas, dan perhiasan kebendaan yang lain dihimpun seolah-olah dapat dibawa ke kubur. Saya perhatikan, sifat keduniaan dan kebendaan ini telah menjadikan manusia menjadi kikir dan bakhil. Duit habis dibelanjakan kepada benda sia-sia, barang-barang berjenama, vacation ke sana sini, baju dan perhiasan mau yang terbaru, tetapi bertiada apabila ada orang meminta bantuan. Unjuk jawat sangat berkira. Hairannya, mereka-mereka ini kadangnya adalah daripada mereka yang berpendapatan tinggi, tapi selalu saja merasa tidak cukup dan kekurangan.
Apabila kita melihat hidup ini ingan dunia saja, kita juga akan lebih suka membuat pilihan yang ‘bisai dipandang orang’ daripada apa yang lebih bisai ‘dipandang’ Tuhan. Jika kita tidak ingat akan akhirat, kita akan berbuat sesuatu kebaikan itu hanya untuk mendapat pujian manusia dan untuk mendapat habuan dunia. Ada saya terdengar kurapak ‘anak ani macam pelaburan, sampai masa kan menikmati hasil pulangan’. Saya melihatnya dari dua sudut pandang. Pertama, memanglah anak-anak ani dibesarkan dengan jerih payah, berbelanja pun besar, berkorban masa dan perasaan, belum lagi dengan karenah yang bermacam. Ianya memang seperti satu pelaburan. Tetapi, jika semua itu dibuat semata-mata hanya untuk mendapat habuan dunia, dan bukannya diniatkan untuk habuan akhirat, saya khawatir kebaikan-kebaikan yang dibuat itu tadi tidak akan tercatat sebagai pahala untuk dinikmati di sebelah sana.
Akhirnya saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada yang lain, mungkin ada jua baiknya ketani selalu bertanya diri sendiri, apakah yang ku buat ani akan menolong atau menyusahkan aku di akhirat nanti.
Sekian wassalam.
09-05-2018
No comments:
Post a Comment