CINTA - NIKAH - KAWIN
Saya ada mengikuti satu ‘drama’ percintaan ini. Satu drama yang agak panjang dan mempunyai ‘plot twist’ yang menarik. Kisah dua orang bercinta dan masing-masing sudah memilih untuk menjadi pasangan hidup dan suami isteri. Episod terakhir adalah pihak lelaki sudah masuk fasa merisik dan bekenal-kenalan bersama dengan pihak perempuan. Tetapi risikan itu seperti kurang berjaya.
Antara alasan pihak perempuan tidak bersetuju untuk disegerakan pernikahan adalah kerana hubungan jarak jauh dan kerana anak perempuannya masih lagi belum menghabiskan pelajarannya di luar negara. Manakala, pihak lelaki pula tidak sanggup untuk mengorbankan kariernya untuk hidup bersama dengan si perempuan, apabila sudah menjadi suami isteri kelak. Tetapi mereka dibenarkan untuk berhubungan secara maya dan bebas. Perkara ini telah menyebabkan kegelisahan di antara dua muda mudi yang sudah berkeinginan dan berhajat kepada satu hubungan suami isteri yang halal.
Saya melihat adegan ini dengan pikiran yang agak terbuka, dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Ianya juga ada menyerupai satu kisah realiti yang terjadi. Di satu sudut, permintaan anak untuk dikawinkan bagi saya adalah satu benda yang serius. Sebagai seorang anak yang pernah minta untuk dikawinkan, saya tahu betapa hebatnya godaan bagi mereka yang mempunyai hubungan boyfriend-girlfriend ataupun tunangan ini. Islam telah mensyariatkan pernikahan sebagai satu cara untuk kita membimbing nafsu dan bagi menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan.
Adapun menunda-nunda pernikahan adalah sesuatu yang tidak digalakkan di dalam ugama, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkemampuan dan sudah mempunyai hajat yang kuat dan takut terjerumus ke dalam maksiat. Tetapi bagaimana keadaan orang yang mampu dan berhajat, tetapi harus tunduk kepada kemahuan keluarga semata-mata kerana kan ‘jaga mua’ atau pun takut kepada ‘apa nya urang karang’? Sekiranya terjadi juga maksiat, siapa harus dipersalahkan? Adakah dosa-dosa itu nanti akan ditimpakan kepada kaum keluarga yang ‘tidak membenarkan’ pernikahan itu terjadi? sedangkan permintaan demi permintaan dihadapkan untuk mereka disempurnakan? Apakah penjawab kita di depan Tuhan nanti, kenapa benda yang mudah, halal dan merupakan satu Sunnah ini, kita susahkan? Sungguh, saya amat takut dan berlepas diri daripada semua ini.
Saya secara peribadi lebih cenderung kepada pernikahan itu untuk disegerakan, walaupun mereka ini terpaksa berhubung secara jauh. Kerana perhubungan sebelum nikah ini, walaupun dipandang biasa, tetapi ianya adalah satu bentuk maksiat. Mesej-mesej, wasap, gambar, video call, pujuk rayu atu ditakuti boleh jatuh sebagai maksiat tanpa kita sedar, sebagai zina mata dan zina hati. Dan kitalah menjadi ‘punca’ kepada dosa ini. Tetapi apabila mereka sah sebagai suami isteri, semua itu kita berharap akan menjadi satu kebaikan dan tertulis pula sebagai pahala.
Lalu, bagaimana pula tentang tanggungjawap suami dan isteri ketika berjauhan? Ini satu perkara yang sangat mudah untuk diselesaikan. Apabila kedua-dua mereka telah sepakat, bahawa dalam satu tempoh, mereka akan membawa diri masing-masing dalam menyiapkan apa jua yang perlu disiapkan, dan pihak isteri dengan rela menggugurkan tuntutan terhadap tanggungjawab lakinya untuk menyediakan tempat tinggal, makan dan pakai, maka tiada menjadi masalah. Juga apabila si suami mengizinkan isterinya untuk bepergian jauh untuk bekerja dan belajar, dengan ia yakin isterinya berkemampuan menjaga diri dan berada dalam kawasan yang selamat, maka memadailah izin suami itu.
Yang kita tidak mahu adalah terjadinya perkara-perkara di luar bayangan kita. Sekiranya terjadi juga, ketika itu sesal tiada berguna. Apabila 'nasi sudah menjadi bubur', masa itu maruah akan terkubur. Mari sama-sama kita renung-renung dan fikir-fikir.
12-04-2018
No comments:
Post a Comment