7.9.19

ANAKKU SAZALI

Beberapa hari lalu, kita telah menerima satu berita yang agak mengejutkan. Saya menerima khabar tersebut dengan perasaan bercampur. Satu sisi, kita berbangga kerana keadilan akan ditegakkan, pada sisi yang lain, kita berduka kerana banyak nama baik akan tercemar. Di samping itu, banyak pengajaran yang dapat diambil iktibar, khususnya kepada mereka yang masih dalam fasa mendidik dan membesarkan anak-anak. Ada yang mempersoalkan kewibawaan dan kredibiliti si bapa, kerana kurang mendidik anak. Ada juga yang beranggapan ianya adalah disebabkan kerakusan si isteri, dan adanya satu jaringan yang lebih besar dalam komplot ini.

Pengajaran pertama yang kita dapat ambil ialah, baik buruk kelakuan kita ini, yang awal disebut ialah nama bapa kita. Perkara ini sangat mengesankan saya, kerana saya sendiri adalah seorang bapa. Dan bapa yang manakah, tidak mau kebaikan kepada anak-anak. Sedari awal dididik dengan kasih sayang, ketaisan liur semampunya kita penuhi, banyak bercanda dan bergurau, ada kalanya kita tegas dan garang. Semua itu dengan harapan, anak kita nanti mampu menjadi orang baik, dan seterusnya membawa nama baik kita. Sebab itulah saya jadi terfikir, ada benarnya juga seorang ayah yang menjadi sangat marah ketika anaknya berkelakuan tidak senonoh, dan bahkan menjawap dengan nada kasar, sehingga melukakan hati si ayah. Saya percaya jika terjadi apa-apa, si ayahlah yang bakal menanggung malu, maka dalam hal ini si ayah berhak untuk menjadi berang.

Kedua, masyarakat yang terlalu cepat menghukum orang lain di atas kesalahan orang lain. Benar si penjenayah adalah ‘anak orang’, tetapi dia bukanlah kanak-kanak kecil yang masih di bawah ‘ketiak’ indungnya. Dia adalah seorang dewasa, berpendidikan tinggi dan berjawatan. Jika kesalahan anak-anak semuanya harus indungnya menjawap, maka di manakah keadilan dan personal responsibility kita? Ada yang berkata ‘lapas ani jangan tah macam setaie kan menasihati orang pasal amanah, anak sendiri pun nda tehajar’. Ada yang mengucap ‘mustahil bapanya nda tau, kedia tu menapuki’. Kata-kata ini adalah keterlaluan. Kita tidak tahu bagaimana seorang itu mendidik anaknya. Mungkin sedari damit, ‘bebuyah mulut’ dan ‘bibiran’ sudah kedia kepada anak-anaknya supaya menjadi baik. Tetapi perbuatannya itu adalah hasil pilihan dirinya sendiri. Di dalam Al-Quran pun Allah memberitahu kita tentang anak Nabi Nuh Alaihissalam ketika ia menolak untuk ikut bersama bapanya. Adakah lepas itu, Nabi Nuh tidak layak untuk berdakwah kerana anak sendiri pun nda ya tehajar? Sudah tentu tidak. Ini kerana soal hidayah adalah urusan Allah, bukan soal keturunan.

Juga menjadi pelajaran kepada kita adalah peri mustahaknya memilih pasangan hidup yang baik. Banyak orang-orang hebat dalam dunia ini akhirnya jatuh tersungkur oleh pasangan yang tidak baik. Kerakusan kepada dunia dan materi, nda pandai puas, nda bersyukur, adalah punca utama manusia untuk melakukan jenayah dan pecah amanah, semuanya untuk memenuhkan nafsu serakah. Kita mendengar kisah dari negeri seberang pun sama jua, sehingga jatuh dari kuasa. Dulunya ada seorang presiden negara jiran pun ada Isteri yang cemani, sampai akhirnya rakyat fed up dan mereka dijatuhkan. Ada saya mendangar, seorang bini yang nda bekeraja, minta dibalikan tudung ‘itik’ sampai harga ratusan, didulur jua. Utang keliling pinggang, tapi masih jua kan mau makan angin dan balik kampung. Bini yang high-maintenance cemani ani tah, menjadikan tekanan kepada laki, untuk mencari income sampingan, kadang-kadang dengan cara yang haram. Oleh itu, ubaya-ubaya tah ketani dalam mendulur bini.

Dalam memikirkan cerita ani, saya jadi terkenang kepada filem Anakku Sazali. Satu filem yang sangat banyak pengajaran juga. Antara babak yang mencuit hati ialah ketika Sazali menghamburkan usin dan bersorak “kita ada banyak duit”, dan juga babak yang menyayat hati ketika Sazali melawan bapaknya Hassan. Dan di akhir cerita ini, bapak Sazali lah yang menelepon polis untuk menangkap Sazali di atas tanggungjawapnya sebagai seorang bapa. Saya terfikir, adakah babak ini yang terjadi kepada kisah di atas. Munkinkah si bapa yang membongkar kisah ini supaya pihak berwajip menyiasat dan mengambil tindakan selepas beberapa kali dinasihat dan diberi amaran?

Wallahu a’lam.

23-07-2018

No comments: