7.9.19

‘CALAK ZAMAN’


Semasa majlis bersama rakyat di Mesir, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyifatkan para pelajar sebagai ‘calak zaman’ yang akan melakar sejarah bangsa dan negara. Saya suka dengan perambahan Baginda ini, kerana ianya adalah betul dan tepat. Tetapi, sejarah bagaimanakah yang akan dicorak, itu tergantung kepada nilai dan kualiti para pelajar itu sendiri. Jika baik dan molek nilainya, maka sejarah yang dicipta itu pun akan menjadi baik, begitu juga sebaliknya.

Ketika saya berada di Kaherah itu, ada beberapa perkara yang menjadi fikiran saya. Melihat sejarah bumi Mesir itu, kita tidak dapat tidak untuk merasa kagum dan takjub akan pencapaian mereka terdahulu itu. Kemampuan manusia dahulu untuk membuat binaan piramid, dan ketamadunan yang tinggi sangat-sangat menakjubkan. Tempat itulah juga yang ada diceritakan di dalam Al-Quran seperti kisah Nabi Yusuf dan Nabi Musa (A.S.), maka kita akan dapati bahawa bumi mesir ini sangatlah dekat dihati kita sebagai umat Islam.

Tetapi melihat realiti kehidupan masyarakat di sana, kita juga berasa hairan lagi sedih. Apakah telah terjadi kepada mereka ini, sehingga negara tersebut menjadi sebegitu rupa. Bukanlah bertujuan menghina atau merendahkan siapa-siapa, tetapi perkara asas seperti kebersihan, mematuhi peraturan, disiplin, jujur, amanah, dan nilai-nilai yang baik itu sepertinya sangat asing. Kehairanan ini ditambah lagi dengan keberadaan satu Institusi Pengajian Islam yang dianggap paling unggul dan tertua di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar. Kita bertanya, apakah peranan Al-Azhar di dalam membangun spiritual dan moral, serta pembentukan jati diri masyarakat di sana? Kenapa di persekitaran Universiti itu sendiri, ramai yang hidupnya merempat. Saya dikhabarkan, hatta pengurusan universiti itu pun ada masanya memerlukan ‘hadiah’ dan ‘saguhati’ jika hendak melancarkan urusan. Kita tidaklah mempersoalkan tentang khazanah ilmu dan pembelajaran di sana, tetapi apakah ini puncak tertinggi dan role model dalam Pengajian Islam?

Saya juga sempat berbual-bual bersama adik-adik junior lepasan Tahfiz dan Sekolah Arab yang menyambung pengajian mereka di sana. Bagi lepasan Tahfiz, bagi saya amatlah sayang jika mereka hanya mengambil pengkhususan Qiraat (bacaan) semata-mata. Sekiranya lagi tidak berkarih mencari ilmu dan guru-guru di dalam bidang lain. Kenapa tidak para penghafaz Al-Quran yang bagus-bagus ini diarahkan ke dalam bidang pengkhususan lain dan menjadi pakar-pakar di bidang seperti Tafsir Al-Quran, Ilmu Hadis, Fiqh dan Usul? Sebabnya sudah balik nanti, mereka ini akan digelar Imam, Ustaz, Muallim dan Syaikh, akan berhadapan pula dengan masyarakat yang memerlukan bimbingan hukum hakam dan Syariat. Jika tidak bersedia, adalah sesuatu yang sangat merugikan.

Pada saya, di negara ini kita tidaklah kekurangan pelajar-pelajar agama, tidak pula kekurangan penghafaz dan Qari yang bagus-bagus, tetapi kita sangat memerlukan mereka yang benar-benar faham akan Al-Quran dan Al-Hadis, sehingga ke tahap boleh memberikan pandangan yang tepat kepada isu-isu yang memerlukan bimbingan syariat. Kita juga ingin melihat karya-karya, buku-buku dan literature di bidang-bidang ini yang dihasilkan sendiri oleh anak-anak tempatan. Setakat yang saya tahu, buku tajwid karangan anak tempatan pun kita belum ada, masih memakai buku hijau karangan Abdul Kadir Leong. Buku Zainut Talib pun belum ada penggantinya. Sedangkan ratusan bahkan ribuan penuntut ugama dari macam-macam Universiti telah kita keluarkan.

Maka, di pihak yang berkuasa pula seharusnya mempunyai perancangan ke arah menyalurkan para pelajar yang berpotensi besar untuk dijadikan pakar dan ilmuwan yang hebat. Ini kerana bukan sahaja kita mahu melahirkan graduan-graduan ugama yang biasa-biasa, tetapi yang lebih utamanya ialah kita mahu melahirkan pakar-pakar ugama yang boleh menjadi rujukan seperti di bidang Tafsir Al-Quran dan Ilmu Hadis yang menjadi asas kepada keseluruhan cabang ilmu ugama, inilah jenis keluaran yang menjadi ‘calak’ yang kita perlukan.

Dengan adanya ilmu asas yang mantap itu, selain daripada memikirkan soal pekerjaan nanti, kita sangat berharap mereka ini untuk memikul tugasan Dakwah secara amnya. Tuntutan kepada Amar Makruf dan Nahi Mungkar inilah juga yang kita harapkan dapat dijalankan oleh para pelajar ini dan bukan sekadar mereka menamatkan pengajian lalu balik menjadi pegawai-pegawai dan melakukan tugasan rutin mereka. Ada yang hanya menjadi ‘tukang’ - ‘tukang baca doa’ dan ‘tukang baca Quran’, pada masa yang sama tangan mereka menadah mengaharap ‘sarung surat’ dengan bacaan-bacaan mereka itu. Suasana ini amat mendukacitakan. Maka pelajar-pelajar ini adalah perlu untuk dilengkapkan dengan asas dakwah supaya mereka boleh menjadi pendakwah yang berkualiti dan berkaliber, bukan sekadar menjadi ‘tukang’ dan ‘penceramah selebriti’ yang masih menggunakan hadis-hadis palsu, cerita-cerita pelik, dan petua-petua yang non-sense.

Selain daripada itu, soal pemilihan tempat menuntut ini juga bagi saya adalah satu faktor penting untuk diberi perhatian. Ini kerana, para penuntut akan menghabiskan beberapa tahun di negara berkenaan, akan bergaul dan bersosial dengan masyarakat di sana, dikhawatiri, bukan sahaja ilmu yang didapat, tetapi budaya-budaya yang tidak molek pun akan menjadi ‘kebiasahan’ mereka nanti. Budaya pengotor, tidak patuh kepada peraturan lalu lintas, tidak bertimbang rasa, pentingkan diri sendiri, memberi/menerima ‘duit pelincir’, hidup ala kadar dan sukur-sukur saja, usahlah dibawa balik. Kita hairan, melawat ke negara-negara bukan Islam atau sekular, jarang pula kita dapati perkara-perkara seperti ini.

Wallahu ta’alaa a’lam.

10-08-2019

No comments: