MAJU,
BANGSAKU, MAJU!
Bulan September yang lalu, genaplah
5 tahun saya berkhidmat di dalam perkhidmatan awam, di tempat saya bekerja sekarang
ini. Alhamdulillah, banyak yang telah saya pelajari, alami, rasai, dan juga ada
beberapa perkara saya perhatikan yang memerlukan penelitian semula dan
pembaikan di pihak yang berkuasa. Masa 5 tahun ini, suka saya mejenguk
kebelakangan, membuat retrospeksi serta introspeksi kepada diri sendiri,
Jabatan, kementerian serta jentera perkhidmatan awam serta budaya masyarakat
kita ini secara keseluruhannya. Di sini saya ingin berkongsi akan pemerhatian
ini, bukan untuk membuka pekung di dada ataupun untuk mengkritik mana-mana
pihak, akan tetapi semata-mata untuk mengenal pasti masalah, dan sekiranya
perlu, sama-sama pula untuk mencari solusinya.
Beberapa minggu kebelakangan, kita dikejutkan
dengan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke beberapa Jabatan dan
Agensi Kerajaan. Titah-titah Baginda semasa keberangkatan ini menjurus kepada
permasalahan urus tadbir, pengurusan, serta etika kerja. Kita sangat menyanjung
setingginya keprihatinan Baginda ini dalam memastikan kecekapan dan
keberkesanan pemberian perkhidmatan di sektor awam. Saya sering berfikir,
apakah keberangkatan Baginda ini sebenarnya adalah satu indikasi bahawa ada
permasalahan besar yang sedang kita hadapi dan selama ini perkara itu tidak
sampai ke pengetahuan Baginda? Ataukah Baginda sudah tidak tahan lagi bagaimana
jentera kerjaan baginda beroperasi? Apakah baginda ingin ‘mengetuk kepala’ kita
ini supaya bangun dari tidur dan lalai? Menteri Kabinet dan rejim lama sudah
ditukar, apakah ada ledakan pembaikan? Apakah sudah hasil mahsulnya ke arah
memajukan negara dan kerajaan ini, dengan duit dibelanjakan begitu banyak saban
tahun? Semua itu menjadi tanda tanya kepada saya.
Pada pendapat saya, semua ini
berbalik kepada budaya dan etika kerja kita di Brunei ini. Bukanlah saya
memandang rendah kepada bangsa sendiri, atau beranggapan bahawa diri ini
sempurna, cuma saja saya suka menjadi orang yang sedarkan diri. Bangsa kita ini
banyak juga nilai-nilai yang baiknya, kita terkenal dengan semangat kesetiaan,
bersatu padu, kekeluargaan, sanggup berkorban, tetapi budaya rajin, titih dan
lutanan itu bukanlah satu yang sinonim kepada kita. Di mana-mana saja kita
lihat, kita akan kecewa dan sejujurnya saya tidaklah menaruh harapan tinggi
terhadap bangsa saya sendiri. Budaya pemalas, curi tulang, ambil kesempatan,
menipu, tidak jujur dalam berurusan hampir-hampir menjangkiti setiap lapisan
dalam negara ini. Dalam bidang apa pun, lebih ramai ni bangsa-bangsa yang
pemalas ani, tidaklah kira apa jawatan dan pekerjaan - baik menjadi pentadbir,
guru atau murid, pasukan berunifom, kerani, pembersih, keraja kadai atau
swasta, mandur atau kuli, hatta mereka yang berjawatan tinggi sekalipun. Dalam
berniaga sama jua, servis yang diberikan ala kadar, cincai, curang dan ndada
standard. Tetapi selalu saja melaung-laungkan #supportlocal.
Dengan perangai sebegini, tidaklah
menjadi hairan kenapa kita ini terlalu bergantung harap kepada orang asing
untuk membuat semua kerja-kerja yang ada. Ada orang marah, kenapa banyak orang luar
masuk ke Brunei untuk bekerja, sedangkan penganggur orang tempatan ramai. Kita
bertanya, adakah yang sanggup membuat kerja-kerja yang diorang buat atu? Banyak
cerita-cerita daripada majikan-majikan yang merungut pasal pekerja tempatan
ani. Datangnya ahir, balik awal, ada-ada saja alasan untuk minta keluar,
beranti keraja nda lagi membagi salam, produktiviti sangat rendah. Pernah ada
seorang SUT membagitau saya, ada syarikat pemprosesan makanan laut pernah
mengadu tentang pekerja tempatan yang mereka dimestikan mengambil. Kata mereka,
pekerja luar sehari boleh mengupas udang sebanyak 10kilo seorang, orang-orang
Brunei secara purata cuma dapat mengupas 2-3kilo saja. Sangat jauh
perbezaannya.
Inikah anak bangsa yang dapat ‘diayaukan’
untuk mencapai wawasan 2035. Terus terang, saya tidak berapa optimistik tentang
hal ini. Letaklah wawasan 2050 sekalipun, jika cara fikir dan cara kerja yang
kita amalkan sekarang ini, wawasan hanyalah angan-angan kosong sahaja. Selama
ini, hanya dua orang saja yang saya pernah temui mempunyai etika kerja yang
sangat tinggi, iaitu Paduka Ayahanda saya dan juga boss saya semasa di
investment bank dulu. Kedua mereka ini mempunyai dedikasi yang amat tinggi
terhadap kerja, komitmen diberikan 100%, cinta kepada pekerjaaan, workaholic, nda
mau sirit, nda ambil jalan pintas. Jika lebih ramai orang seperti mereka ini di
dalam negara, tak usah kita menunggu 2035, sekarang inipun kita sudah akan
mencapai 10 negara teratas di dunia. Malangnya, lebih ramai orang yang macam
kita, yang bekerja makan gaji buta, buat keraja sukur-sukur saja, banyak
membuat benda sampingan, nda fokus terhadap tujuan dan matlamat dan seribu satu
macam perangai negatif.
Bercakap mengenai fokus ini, ia juga
menjadi satu sikap kita di negara ini. Bagi saya, dalam banyak hal, kita
tersilap fokus. Seperti pernah saya post sebelum ini, kita lebih mementingkan
perkara-perkara sampingan daripada objektif yang lebih utama. Sebagai
contohnya, tugas utama perkhidmatan awam ini adalah untuk menjadi nadi
penggerak kepada pembangunan negara, termasuk bidang ekonomi, pekerjaan,
pendidikan, keselamatan, dan sebagainya. Ini lah sepatutnya yang diusahakan
setiap hari, bagi menjamin kemaslahatan dan kesejahteraan negara. Tetapi bagi
saya, kita terlalu disibukkan dengan hal-hal lain seperti majlis, acara,
sambutan, dan festiviti yang tidak jelas akan kepentingannya ke arah membangun
negara. Persiapannya saja mengambil masa yang lama, duit dibelanjakan begitu
banyak, tenaga dan buah fikiran habis dikerahkan untuk menjayakan majlis, bukan
pula brain power ini digunakan untuk
menyelesaikan masalah rakyat. Apakah wajar, kita bemajlis begitu banyak, dengan
ramainya AJK daripada pihak Kerajaan, berabis pagi patang malam, sedangkan
ekonomi nda berkembang, ramai orang diluar sana nda bekeraja, pengangguran
semakin meningkat, hidup semakin sempit, literasi anak-anak kita menurun,
kesihatan awam tidak begitu baik. Ini pun selalu menjadi galurat kepada saya
kalau difikirkan.
Kadang-kadang ada juga saya terfikir
untuk mencari pekerjahan lain disebabkan oleh kondisi sektor awam yang sebegini
rupa. Ada kalanya, apa yang diarahkan itu bertentangan atau tidak selari dengan
apa yang kita yakini betul dan yang sepatutnya menjadi keutamaan. Tapi di dalam
hati masih ada terselit niat untuk melihat bangsa dan negara ini untuk maju
kehadapan. Tapi siapalah saya dan apalah upaya yang satu orang boleh lakukan.
Oleh itu, saya menasihati diri saya dan para pembaca, marilah kita sentiasa
refleksi diri sendiri. Perbaiki diri dulu, kemudian ahli keluarga, masyarakat,
supaya akhirnya kita dapat membangunkan bangsa kita ini bersama-sama. Jika kita
terus leka dan lalai, jangan hairan satu hari kita akan diganti pula oleh bangsa
lain.
No comments:
Post a Comment