7.9.19

‘Terikat’ dengan ‘Perdagangan Bebas’?

Lebih kurang dua minggu lalu, saya bertugas di luar negara bagi acara Belt and Road Summit di Beijing, Republik Rakyat China. Belt and Road ini adalah satu inisiatif dan gagasan bagi rangkaian perdagangan bebas antarabangsa yang dicetuskan oleh China. Sepertimana jua rangkaian-rangkaian dan integrasi perdagangan yang lain seperti ASEAN-EC, APEC, TPP dan selainnya, ianya adalah dihasratkan sebagai pemudah cara kepada pergerakan barangan dan perkhidmatan rentas sempadan.

Objektif kepada kesemua rangkaian perdagangan ini antaranya ialah untuk mencipta satu economic base yang terbuka dan bersepadu. Ianya akan dicapai melalui penghapusan trade barrier seperti tariff dan import and export duty, pengurangan birokrasi, dan apa jua bentuk persyaratan-persyaratan yang lain. Sekali imbas, memang ianya adalah satu gagasan yang diharapkan boleh memberikan manfaat kepada negara-negara yang terlibat serta peningkatan produktiviti dan seterusnya standard of living masyarakat.

Walau bagaimanapun, dengan menghormati dasar-dasar perdagangan dan ekonomi Kerajaan, saya mempunyai pandangan yang mungkin berbeza dengan pegangan yang digunapakai oleh mainstream. Ini merupakan pandangan peribadi saya sahaja bedasarkan sedikit pemerhatian yang mungkin boleh dikatakan kurang matang (half-cooked) dan juga setentunya sangat terdedah kepada kesilapan dan terlepas pandang. Pendapat ini bukanlah mewakili Jabatan di mana saya bekerja, melainkan pandangan peribadi seorang pemerhati. Setakat pemahaman saya sepertinya kita ini tersalah diagnosis akan ‘penyakit’ kita dan tersilap pula di dalam memberikan preskripsi ‘ubat’. Maka bukan sahaja penyakitnya tidak sembuh, kesan samping lain pula yang timbul.

Saya selalu bertanya, apakah sudah yang kita capai dengan kita terlibat dengan perjanjian-perjanjian perdagangan selama ini? Bagaimanakah perdagangan bebas ini mampu membantu negara dalam menyelesaikan masalah ekonomi khususnya pengangguran dan kebergantungan kepada industri minyak dan gas? Perkara utama yang menjadi ‘gelurat’ orang ramai pada masa ini ialah soal pekerjaan. Saban hari kita melihat curhat-curhat pencari kerja di media sosial dan kita dapat rasakan kekecewaan mereka terhadap pihak Kerajaan yang dilihat seperti belum berjaya menangani perkara ini dengan cepat dan berkesan.

Hasil Kajian Tenaga Kerja 2017 oleh JPKE telah mendapati bahawa terdapat lebih daripada 19,000 orang yang sedang mencari perkerjaan, dengan kadar pengangguran 9.3% - antara yang tertinggi di rantau ini. Saya kerap juga bertanya dan berbincang bersama pegawai-pegawai atasan, apakah lagi yang dapat kita buat dalam membantu rakyat di dalam hal ini. Apakah ada roadmap yang kita sedang rangka untuk memberi pekerjaan dan sumber pendapatan kepada yang memerlukan. Apakah kita Cuma besikap ‘tunggu dan lihat’ mengharapkan keajaiban akan tiba? Juga apakah semua ini dapat diselesaikan dengan kita terlibat dengan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas, serta perjanjian berbagai hala atau yang dua hala ini yang kita buat selama ini? Setakat ini saya belum menemui jawapan yang tuntas dan memuaskan hati.

Saya selalu memerhatikan apabila membeli belah, barangkali lebih 90% barangan yang terjual di kedai-kedai itu adalah barangan import dan bukannya Made in Brunei. Sudah tentu, per tahun, kita akan berbelanja berbillion dollar bagi mendatangkan barang-barang ini untuk konsumsi dalaman. Dengan jumlah sebesar itu, saya selalu bertanya, berapa peratuskah yang akan dimasukkan kedalam perolehan kerajaan di dalam bentuk tariff atau import duty. Dan terakhir saya semak, banyak daripada barang-barang yang masuk itu, samada tidak dikenakan cukai atau dalam kadar yang rendah. Mungkin jua ini adalah hasil daripada FTAs yang sudah kita persetujui dan sepertinya kita akan terus terikat dengan perjanjian-perjanjian ini.

Negara kita ini saya andaikan adalah seperti satu ‘dumping ground’ kepada produk-produk luar negeri. Masuknya tanpa ada apa-apa halangan, tidak juga menguntungkan pihak Kerajaan, tidak pula ianya dapat mencipta peluang pekerjaan dan tidak menyumbang kepada pertumbuhan industri-industri lain. Kita tidak mengenakan apa-apa cukai atau import duty kepada kebanyakan barangan tersebut. Tidak pula kita menggalakkan pembuat barang ini untuk masuk dan membuka perusahaan di negara ini dengan mengambil bekerja anak-anak tempatan, dengan menggunakan pembekal barangan mentah tempatan, untuk keperluan-keperluan domestik. Sebagai contohnya, makanan ‘asasi’ orang Brunei, Indomie atau Maggie, saya rasa amat wajarlah ianya dikenakan cukai yang tinggi, bukan untuk membebankan pengguna, tetapi sabagai insentif untuk mereka masuk dan membuka kilang di tempat kita.

Saya selalu membanyangkan sekiranya pihak Indofood itu membuka kilang di sini, untuk memenuhi permintaan tempatan sahaja, sudah tentu mereka akan mengambil orang tempatan bekerja. Satu kilang kecil atau sederhana sahaja, boleh memberikan peluang pekerjaan kepada puluhan mungkin ratusan orang. Daripada jawatan yang berkemahiran tinggi kepada skil rendah. Bahan-bahan mentah asas dapat pula dibekalkan oleh pembekal lokal yang juga akan terpaksa mengambil lebih ramai pekerja. Bayangkan pula kepada permintaan kepada tanam-tanaman seperti bawang, cili, tomato, lada sulah, yang akan meningkatkan pengeluaran petani-petani tempatan. Kilang ini juga tentu sekali memerlukan penjagaan keselamatan dan kebersihan, yang mana akan memberi perkerjaan yang banyak pula kepada sekuriti, pembersih, tukang kebun, tukang sampah dan pemandu. Saya rasa, inilah caranya kita mencipta pekerjaan. Ini baru satu contoh, bayangkan kita ada puluhan kilang-kilang seperti ini. Bukan sahaja kita dapat mengurangkan pengangguran, pendapatan kerajaan melalui corporate tax akan meningkat, kita juga akan menggalakkan usahawan-usahawan, petani-petani, pembekal-pembekal, industri-industri sokongan yang lain.

Saya juga terfikir, sekiranya ini dibuat, bukankah harga barangan akan meningkat? Mungkin saja iya. Perkara ini tidaklah dapat dihalangi, tetapi secara lojiknya, dengan adanya eko-sistem dan persekitaran perniagaan yang sehat seperti ini, setiap daripada kita akan mendapat peluang untuk turut serta di dalam aktiviti perekonomian. Ketika itu, orang yang benar-benar malas dan inda bekarih sahaja akan ketinggalan sementara peluang adalah terbuka luas.

Perkara ini dapat kila lihat di United States, dengan dasar ekonomi Pentadbiran Trump yang tidak berapa gemar kepada perdagangan bebas. Sudah tentulah banyak perkara kita tidak bersetuju dengan mereka, khususnya dasar luar dan isu Islam, serta pendirian mereka di dalam konflik Palestin dan Israel. Tetapi secara dalaman, mereka telah berjaya meningkatkan ekonomi mereka dengan sangat baik sekali. Pengangguran adalah terendah di dalam 50 tahun kebelakangan, lebih 5 juta pekerjaan baru dicipta, pasaran saham pada aras tertinggi, tax reforms dan deregulations, penglibatan kaum minoriti di dalam workforce paling tinggi setakat ini. Jadinya mungkin inilah salah satu contoh yang boleh kita cuba.

Sudah tentu, negara pengeluar besar seperti China, akan berjuang kepada perdagangan bebas, kerana mereka itu mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja. Mereka mempunyai tenaga kerja yang sangat murah, mereka juga membuat barang-barang mentah sendiri, pengeluaran mereka melebihi permintaan domestik, justeru tidak hairanlah, mereka itu mahu untuk menjual produk-produk mereka kepada orang lain. Sementara kita yang baru kan ‘up’ ini, sudah tentu kita akan kalah jika bersaing di arena antarabangsa. Justeru itu, preskripsi dasar juga haruslah disesuaikan dengan keadaan kita sendiri dan bukan semata-mata mengikut orang lain.

Wallahu ‘alam.

09-05-2019

No comments: