7.9.19

“… walaa-kinna ak-tha-ron-naas …”

Sepanjang saya hidup ini, ada seperkara penting yang saya pelajari tentang hal ehwal manusia. Beberapa tahun kebelangan, banyak kejadian dan peristiwa yang terjadi yang membuatkan saya berfikir panjang. Sebelumnya, saya ini jenis yang mudah percaya, apa saja yang diberitahu kepada saya, terutama dalam perkara-perkara yang saya tidak berapa mendalami, akan saya telan bulat-bulat. Saya juga beranggapan, jika kita berbuat baik kepada seseorang, maka orang tersebut juga akan berbuat baik kepada kita. Bagi saya dulu, amatlah mustahil orang yang kita sayangi dan kasihi, orang-orang yang pernah ditolong dan didulur akan mengkhianati kita, binatang saja pandai menghargai, inikan pula manusia. Tetapi sangkaan saya ini berterusan saja meleset.

Saya melihat, dunia ini tidak dipenuhi dengan orang-orang yang baik, jujur, amanah dan ikhlas, akan tetapi ia dipenuhi dengan orang-orang mempunyai agenda peribadi dan sikap pentingkan diri sendiri. Banyak kejadian-kejadian di dalam hidup ini yang membuatkan kita serik untuk terlalu percaya kepada manusia lain. Saya yakin kebanyakan kita pernah disakiti dan dikhianati, pernah ditipu dan dikecewakan, tidak kurang yang difitnah dan dituduh macam-macam. Sebaik manapun kita terhadap orang-rang lain, lebih ramai orang yang tidak akan mengenang kebaikan itu daripada yang akan mengenang. Yang paling pedih apabila orang-orang itu adalah orang yang paling kita kasihi seperti kawan rapat, suami atau isteri, peradian, anak-anak atau perindungan.

Mengenai perkara ini, saya teringat banyak tempat di dalam Al-Quran, Allah menyifatkan ‘kebanyakan manusia’ dengan sifat-sifat negatif seperti ‘kebanyakan manusia - tidak beriman, tidak bersyukur dan tidak mengetahui’. Inilah realiti yang kita hadapi, kita akan berdepan dengan lebih ramainya manusia-manusia yang akan membuat perkara-perkara negatif seperti mengambil kesempatan untuk memuaskan nafsu dan keinginan hati sendiri, mengaut keuntungan dari kerugian orang, untuk naik dengan menginjak yang lain, tidak kurang yang ‘usul’ saja baik tetapi disebaliknya adalah buruk dan tercela. Cuma saja, Allah tidak membuka aib-aib kita ini kepada orang lain, jika didedahkan, mungkin kita tidak sanggup untuk berjumpa siapa-siapa kerana malu. Sebab itu, kita disuruh sentiasa bertaubat dan meminta ampun apabila melakukan dosa. Kita juga berharap dosa-dosa kita itu terhapus daripada buku catatan dan semoga ianya tidak ditayangkan semasa hari pembalasan kelak.

Jadi, bagaimanakah sepatutnya kita membawai diri dalam berhadapan dengan realiti sebegini? Bagi saya, pertama ialah kita jangan mudah percaya kepada orang lain. Kepercayaan hakiki kita berikan kepada Allah. Sementara sesama manusia, kita haruslah bersikap berhati-hati. Berapa banyak orang tertipu dengan lagak dan gaya orang, disebalik wajah cantik dan tampan, tupi haji dan tudung, tali leher dan kot, semua itu semata-mata adalah perhiasan dan umpan bagi mengelirukan orang lain. Dalam berjual beli, ada orang sikapnya memperdaya orang lain, dengan cara tidak berterus terang akan barang jualan, diberitahu semua baik, akan tetapi yang diterima pembeli adalah sebaliknya. Kita perhatikan orang-orang disekeliling kita kerugian harta benda kerana terlalu percaya pujuk rayu orang yang menjajikan kekayaan, tetapi rupanya penipuan. Dan dalam banyak keadaan, kita tidak boleh menyalahkan mereka-mereka ini, kitalah yang membiarkan diri kita diambil kesempatan kerana sikap tamak dan rakus, dan kerana kita tiada ada pengetahuan yang mencukupi. Maka perkara kedua yang perlu dijaga ialah sikap diri sendiri. Kita mesti membentengi diri kita daripada terus-menerus ditipu dan diambil kesempatan.

Selain itu, managing expectation adalah sangat penting. Teruslah berbuat baik kepada orang akan tetapi jangan pula berharap pulangan dan balasan daripada mereka. Kita berbuat baik, kerana Allah Ta’ala-lah yang menyuruhnya. Kalau ikutkan hati dan perasaan, ingin saja kita ini membalas dendam atas perbuatan orang kepada kita. Bisikan-bisikan syaitan kadangnya turut mengapi-apikan nafsu marah, tetapi kita balik-balik diingatkan oleh Tuhan, Dia-lah yang memberikan ganjaran dan balasan, Dia-lah yang menyuruh kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu-bapa dan tidak memutuskan silaturrahim, Dia-lah yang mengabulkan doa orang yang teraniaya, Dia melarang kita berbuat khianat dan memakan harta orang lain dengan cara bathil, maka kita tunduk dan patuh kepada titah perintah-Nya itu. Kita anggap semua ini ujian-ujian belaka, cara Tuhan untuk mengangkat derajat kita.

Terakhirnya, supaya kita dapat tenang dalam hidup ini, kita bertawakkal kepada Allah banyak-banyak. Serahkan segalanya kepada Allah. Ada orang yang mempunyai kedudukan istimewa yang tidak dapat dicabar, walaupun dia berada pada pihak yang salah. Kita melawan, kitalah yang durhaka. Ingatlah, kita masih ada Tuhan Rabbul ‘Alamin tempat kita mengadu dan memohon. Kita berdoa meminta perlindungan, kita minta Allah uruskan setiap aspek kehidupan ini. Kita juga memohon moga-moga dijauhkan diri kita daripada berbuat khianat dan dikhianati, daripada berbuat zalim dan dizalimi dan daripada melakukan perbuatan jahat dan diperjahati.

23-03-2019

No comments: