HIDUP INI ADALAH UJIAN
Kehidupan dunia yang sementara ini adalah medan ujian. Ia merupakan sebuah ‘peperiksaan’ besar yang disusun oleh Tuhan untuk menguji sejauh mana kita mematuhi peraturan dan ‘silabus’ yang telah diajarkan. Peperiksaan ini adalah unik bagi setiap orang, tiada satupun kertas ujian kita yang sama dengan orang di sebelah, cara pemarkahannya pun nanti adalah berbeza. Walaupun berbeza, kita diminta untuk kekal berpegang kepada perkara asas yang sama. Di akhirat nanti, kita semua akan membawa kertas masing-masing untuk dinilai dengan serapus-rapusnya, basar damit yang kita buat akan diberikan penilaian yang maha adil.
Setiap peringkat kehidupan, kita akan menemui cabaran yang berbeza. Ada orang diuji dengan kemiskinan, sementara ada yang Tuhan beri dengan kekayaan. Ini tidaklah lain merupakan satu cobaan. Yang miskin diuji sifat sabar dan tawakkalnya, si kaya pula diuji sifat pemurah dan dermawannya. Ada manusia diberi dengan penyakit, yang lain pula diujikan dengan kesihatan luar biasa. Di masa zaman muda belia, kebanyakan kita dicoba dengan nafsu syahwat, tidak kurang yang gagal dalam ujian ini. Bagi yang sudah bernikah, mereka juga tidak terlepas. Ada orang yang diberikan Tuhan pasangan yang baik, ada pula yang jahat dan pemarah, sementara sebahagian lain pula diuji soal kesetiaannya. Bagi yang berkeluarga besar, hidup bermetua dan bemenantu, beripar-duai, ada kalanya cukup untuk menguji kita. Ada yang Allah ta’ala uji dengan ramainya anak pinak, yang lain pula tidak diberi sama sekali. Ini juga termasuk di dalam ujian. Di usia tua, kita akan berdepan dengan karenah dan perangai anak-anak - ada yang taat, ada pula yang engkar. Bagi anak-anak pula, ibu bapa yang sudah berumur, pastinya akan menjadi satu cabaran besar.
Di dalam profesi dan pekerjaan juga, kita akan selalu diuji Tuhan sejauh mana kita dapat menanai amanah yang diberikan. Duit, pangkat, jawatan dan kuasa, semua itu hanyalah satu cobaan kepada kita. Ada yang diamanahkan dengan duit, lalu disalahgunakan untuk kegunaan peribadi. Yang diberikan kuasa dan jawatan tinggi, dikhawatiri menjadikan mereka sombong dan riya, menyalahgunakan kuasa, menindas golongan bawahan. Pada setiap masa, kita ini dikehandaki untuk sentiasa ‘berjihad’ melawan diri sendiri. Kita akan selalu berhadapan dengan pertembungan - apakah yang dimahukan oleh hati naluri serta nafsu kita, dan apakah pula yang telah dibenarkan oleh Tuhan kepada kita. Jika seiring, kita terselamat. Jika tidak, maka kita akan membayarnya di akhirat kelak.
Menyedari hakikat ini, maka di dalam kita mengharungi hidup ini, yang paling penting ialah kesediaan kita untuk tunduk kepada Allah ta’ala dan untuk menerima ujian-ujian ini dengan penuh cekal dan sabar. Keimanan kepada Tuhan, mestilah kita mantapkan setiap hari. Prinsip-prinsip yang digariskan di dalam ugama perlulah kita pegang erat. Jangan sampai keegoan dan kesombongan mengatasi rasional kita berfikir. Kita tidak seharusnya mendahului ‘kepala hotak’ kita sendiri, tetapi haruslah menjunjung setingginya apa yang diredai oleh Yang Maha Kuasa. Kita tidak mencari kebaikan untuk diri sendiri, lebih utamanya ialah kita mencari kebaikan dan mas-la-hah yang lebih besar daripada diri kita. Kita berjuang dalam hidup ini, bukanlah tujuannya untuk menang dalam perlombaan dunia, yang utamanya, kita mahu berjaya mencapai redho Tuhan dan akhirnya berjaya mencapai syurgaNya pula.
Kadang-kadang, kesukaan atau kebencian melampau kita terhadap sesuatu itu menjadikan kita kurang waras dalam membuat pertimbangan, sehingga kita sanggup melanggar batas-batas yang digariskan Tuhan. Walhal, ada masanya, yang kita suka itu ialah racun yang memudaratkan, sementara yang kita benci itulah pula merupakan preskripsi Syariat bagi menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Kita juga meyakini, ujian-ujian yang Allah titipkan ini, bukanlah sia-sia, tetapi setiap daripanya adalah peluang untuk kita kembali kepada-Nya. Setiap benda yang kita anggap masalah itu, pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin kita semua terlalu leka akan nikmat-nikmatNya, sehingga sekali sekali kita ditegur melalui kejadian yang menyakitkan hati kita. Peluang ini kita ambil untuk mengoreksi diri sendiri, di samping kita cuba membetulkan keadaan sekeliling.
Antaranya mungkin apa yang kita alami masa ini adalah cobaan Tuhan kepada kita atas perbuatan kita yang lalu. Entah berapa banyak kalimah yang tidak baik kita lontarkan kepada orang, lambat laun perkara sama bebalik kepada diri sendiri. Dahulunya, kita sibuk mengomen akan kekurangan manusia lain, di hari ini kita sendiri pula yang diuji dengan perkara yang sama. Kepada orang lain, kita bercakap begitu dan begitu, di masa ini kita berhadapan dengan situasi yang sama. Kita menyangka kita dahulunya telah berbuat yang betul, tetapi dalam banyak keadaan Allah buktikan sebaliknya. Keterlanjuran perbuatan dan keceluparan mulut kita ini haruslah kita jaga, kerana kita tahu, ujian Tuhan akan datang tanpa kita menyangka.
Benarlah Firman Tuhan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan untuk mengatakan ‘kami telah beriman’, sedang mereka belum diuji lagi?” (al-ankabut:2)
09-01-2019
No comments:
Post a Comment