7.9.19

JANGAN DITUKAR, USAH DIGANTI

Di bidang pekerjaan saya masa ini, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk selalu merantau ke luar negeri. Dan kesempatan ini bagi saya adalah pengalaman yang sangat berharga, bukan sahaja untuk kita melihat dan merasai negeri orang, tetapi juga bagi kita untuk memerhati dan belajar apa jua kebaikan-kebaikan dan untuk kita melihat apakah perkara-perkara yang perlu kita beringat-ingat.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah tentang sosiobudaya sebuah negeri. Saya suka melihat apakah ada ciri-ciri khusus bagi bangsa atau penduduk sesebuah negara. Apakah corak kehidupan dan sosial mereka, dan bagaimanakah sejarah mereka sehingga mereka ini menjadi apa yang ada pada masa ini. Perkara ini juga membuat saya berfikir akan nasib masa depan negara dan bangsa sendiri, bagaimanakah kesudahannya nanti jika kita tidak berhati-hati.

Bagi saya, kita yang sekarang ini hidup di Negara Brunei Darussalam adalah sangat beruntung dan wajar saja untuk kita banyak-banyak bersyukur. Antara nikmat Allah yang patut kita syukuri ialah nikmat keamanan dan kesejahteraan bernegara kerana tidak semua orang mendapatkannya. Pada pandangan saya, kunci kepada keamanan dan kesejahteraan ini ialah teguhnya pegangan kita kepada falsafah negara Melayu-Islam-Beraja (MIB). MIB inilah yang menyusun atur setiap aspek kehidupan kita sehingga kita boleh menjadi negara yang merdeka berdaulat. MIB inilah yang bakal jadi panduan kita mencorak masa hadapan. Berkurang salah satu daripada tiga elemen ini, maka pincanglah imbangan ini akhirnya.

Kita telah melihat bagaimana sebuah negara yang asalnya dipunyai oleh bangsa melayu boleh berubah dan dikuasai oleh bangsa lain. Melayu hanyalah minoriti dan boleh dikatakan menjadi rakyat kelas kedua di dalam tanah tumpah mereka sendiri. Melayu hanya tinggal bangsa. Manakala bahasa dan adat kebudayaannya pula kian lenyap dimamah masa. Ada negara yang asalnya negara orang-orang Islam, tetapi disebabkan kecuaian, mereka ini telah diambil alih oleh puak-puak sekular dan daripada agama lain, orang Islam ditindas dan merempat di bumi sendiri. Amalan berugama menjadi asing, dan terbukanya pintu kepada amalan-amalan menyimpang. Sebahagian negara pula, asalnya adalah negara beraja, tetapi kerana kealpaan, institusi beraja ditumbangkan dan ditukar menjadi sebuah negara yang kononnya berdemokrasi. Kita telah melihat bagaimana sistem demokrasi ini telah disalahgunakan oleh orang-orang tertentu untuk mengaut keuntangan peribadi dan bagaimana ianya boleh dijadikan alat percaturan oleh pihak-pihak lain. Negara berdemokrasi ini juga kebanyakannya berpecah belah, ada penyokong ada pembangkang, ada yang berhaluan kanan dan yang lain berhaluan kiri, nilai moral ditentukan oleh suara majoriti, agenda-agenda liberal dipaksakan masuk ke dalam masyarakat dan rakyat pula disibukkan dengan gimik politik dan janji-janji palsu orang yang berkuasa.

Maka tidak hairanlah perkara ini sering saja diulang-ulang di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seakan-akan memberi isyarat bahawa adanya sudah kelunturan sebahagian kita dalam menghayati dan mengamalkan MIB ini. Jika ianya benar, ini sangat membimbangkan kita. Saya khawatir satu hari nanti anak cucu kita menjadi penumpang di negeri sendiri. Anak-anak kita akan bertuankan bangsa-bangsa pendatang. Saya juga bimbang akan penghayatan beragama dan berbudaya mereka nanti sehingga Islam dan Melayu ini hanya tinggal nama di dalam kad pengenalan sahaja. Jika kita tidak berbuat apa-apa, ditakuti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Kita selaku rakyat Brunei juga bersyukur kerana dikurniakan seorang Raja yang baik. Raja inilah payung berteduhnya sekalian hamba rakyat dan menjadi faktor kesatuan dan keharmonian bernegara. Kasihnya baginda kepada rakyat memang tidak dapat dinafikan. Buktinya dengan segala kemudahan-kemudahan yang diberikan, kebajikan rakyat yang dipeduli, serta hubungan mesra yang dijalinkan. Kita dapat melihat sendiri apabila baginda sanggup bercemar duli bepanas beujan hanya untuk berjumpa rakyat jelata. Dan kita juga dapat menyaksikan bagaimana paduka-paduka anakda baginda juga akan turut serta di belakang, seolah-olah baginda sedang menunjukkan bahawa inilah caranya untuk menjadi Raja, beginilah lagaknya apabila ingin dikasihi jelata, dan inilah jalan yang dicorak kepada bakal pengganti baginda. Oleh itu, sebagai rakyat yang sayangkan negara dan kasihkan raja, seharusnyalah kita perkuatkan lagi penghayatan dan pengamanlan MIB ini, janganlah ianya ditukar dan usahlah ianya diganti.

Rasydan Nokman
Grand Hyatt, Republik Singapura.

02-11-2018

No comments: