Berapa “K”?
Tak sudah
dengan isu pekerja luar negeri vs orang lokal, kedangaran lagi tentang
pengambilan pekerja orang tempatan dan isu ‘orang dalam’. Kononnya di Brunei
ani, kalau inda ada 3K (Keluarga, Kawan, Kenalan dan lain-lain K) maka adalah mustahil
untuk mendapatkan perkerjaan yang bagus, seperti bekerja di sektor Kerajaan
atau syarikat-syarikat besar. Seakan-akan siapa yang dapat jadi pegawai, jawatan
bagus-bagus atau peluang-peluang kenaikan atu adalah kerana adanya ‘kabel’ yang
menolongnya. Dan kononnya ramainya orang yang tidak berjaya mendapat apa-apa
itu adalah disebabkan ketidakadilan orang-orang yang ada kedudukan - yang kerjanya
sentiasa mencari jalan untuk menindas orang lain supaya inda maju-maju.
Bukanlah saya menafikan secara total praktis seperti ini tidak terjadi, tetapi
untuk menggambarkan bahawa perkara seumpama ini berleluasa dan hanya dengan
adanya 3K ini sajalah kita dapat maju, maka bagi saya amatlah tidak realistik.
Sudah tentu
ada beberapa faktor yang diluar kawalan kita boleh menyulitkan kehidupan
seperti faktor ekonomi, sosiopolitik, geografi, demografi dan sebagainya.
Alhamdulillah, kita di negara Brunei ini dalam masih dalam keadaan terkawal.
Mungkin waktu ini tidaklah seindah zaman indung bapa ketani macam zaman 80an ke
90an dulu yang dikabarkan ‘keraja pulang mencari orang’. Dan daripada kesilapan
generasi inilah barangkali kita berhadapan dengan cabaran yang ada masa ini.
Tapi melihat daripada konteks sejarah yang lebih jauh, saya rasa kita ini dalam
keadaan yang baik berbanding zaman dulu seperti zaman jepun, atau zaman
pemberontakan, atau zaman-zaman lebih awal daripada itu. Tetapi apakah alternatifnya
kepada kesulitan ini? Adakah berasa marah, memangsakan diri sendiri dan menuduh
orang lain itu akan membantu? Ataukah kita perlu untuk berhadapan dengan
cabaran atau ‘uphill battle’ ini dengan memikul sedikit bebanan serta
tanggungjawab?
‘Victim Mentality’ haruslah dibuang. Ia tidak
mendatangkan kebaikan, selain ia memandulkan akal kita yang sentiasa marah dan
tidak puas hati akan dunia, dan bukannya untuk menilai dan memperbaiki diri
sendiri. Apabila ada yang melebihkan orang luar negeri, kita marah dan
melenting - kononnya anak tempatan masih ramai yang inda bekerja. Apabila kita
mengambil orang sendiri, yang inda terpilih marah kerana kononnya penilaian
berat sebelah. Sentiasa saja orang lain yang punya salah, selalu saja kita ini
menjadi mangsa keadaan dan penindasan bersistematik tanpa kadang kala mengaku
mungkin kita yang mempunyai kelemahan sendiri. Sudah tentu ianya lebih mudah (convenient) untuk menuding jari kepada
orang lain sebagai penjelasan tentang kepayahan yang kita alami ini.
Kadangnya
saya bertanya, “K” yang mana telah menolong saya mendapatkan perkerjaan setakat
ini. Ataukah ada “K” lain yang sedikit sebanyak telah membantu? Suka saya
mengongsikan beberapa “K” yang boleh kita usahakan untuk meningkatkan nilai
diri dan dengan nilai itu, mungkin kita akan dipandang lebih berbanding daripada
orang lain.
1-
“Kelulusan”: Ini adalah perkara utama yang perlu diusahakan. Bermacam-macam
tingkatan dan bidang kelulusan yang boleh kita ceburi. Dan lazimnya kelulusan
yang tinggi adalah indikasi tentang kebolehan kita dan sebagai pra-syarat untuk
menceburi bidang pekerjaan yang bagus-bagus. Kelulusan daripada bidang tertentu
dan melalui institusi tertentu juga adalah faktor yang menentukan hasil. Pernah
saya dibagitau, ada kajian yang menunjukkan lepasan universiti luar negeri dan
graduan dalam bidang sains adalah lebih mempunyai peluang tinggi dan secara
purata bergaji lebih tinggi daripada lepasan universiti tempatan dan daripada
mereka yang bukan dalam bidang sains. Setuju atau tidak dengan dapatan ini soal
lain. Tapi adalah penting untuk ia diambil perhatian ketika kita masih
mempunyai peluang memilih jurusan atau bidang.
2-
“Kelebihan”: Selepas mempunyai kelulusan yang sesuai dengan bidang pekerjaan
yang dipohonkan, kita tidak terlepas daripada berhadapan dengan persaingan.
Pasaran kerja yang semakin padat dan peluang yang semakin sempit, sudah tentu
kita mesti ada kelebihan berbanding dengan orang lain. Lebih ini boleh dalam
banyak benda, kadang-kadang dalam perkara yang inda sepatutnya pun boleh
menjadi faktor untuk kita terpilih. Bayangkan ada dua orang calon yang
mempunyai kelulusan yang sama, latar belakang pun labih kurang, maka untuk
memilih, para majikan harus mencari apa benda yang salah satu daripada mereka
ini tedapat yang seorang lain tidak. Ada kawan dulu, dia rasa dia diambil
bekerja kerana dia ada kelebihan dalam bab ugama kerana latar belakangnya menghafal
Al-Quran dan bersekolah Arab. Tidak dinafikan jua kelebihan fizikal dan paras
rupa kadangnya menjadi faktor kalau penilai atu jenis kegatalan. Sudah tentu kita
tidak bersetuju dengan penilaian ini. Banyak kita terdengar, pegawai bini-bini
baik muda, bujang atau bini orang, kana ambil dan naik pangkat walaupun
kerajanya nda jua berapa. DAN kelebihan berbentuk ‘hubungan keluarga’ juga
boleh menjadi asbab penilaian dibuat melebihi orang lain - jika kelulusan dan
lainya adalah sama. Maka, “K” ini pun perlu sentiasa kita usahakan.
3 -
“Keterampilan/Karisma”: Dalam bidang tertentu, ianya memerlukan keterampilan
dan karisma. Untuk menjadi pensyarah, guru, penceramah, pegawai askar dan
polis, atau bidang yang memerlukan penampilan tertentu seperti peragaan,
pramugara/pramugari, front-liners, dan sebagainya itu, maka salah satu kriteria
penilaian ialah bagaimana mereka pandai membawai diri masing-masing. Bidang
tugas yang berhadapan dengan orang ramai dan orang bawahan, memerlukan karisma
dan ciri kepimpinan yang jelas. Manakala, sifat introvert, pemalu dan ‘mumu’
adalah tidak bersesuaian untuk memegang beberapa jenis perkejaan. Jadi, jangan
hairan sekiranya ada orang yang sedikit kurang kelulusannya tetapi sangat
cemerlang dalam “K” yang satu ini menjadi pilihan utama.
4- “Kerja
Keras/Kesungguhan/Komitmen/Kerajinan”: Seperti perambahan yang Paduka Bonda
saya selalu sebut dulu ‘siapa bekarih - berisi marih’ yang membawa maksud siapa
yang berusaha keras dan tidak putus asa, akhirnya akan mendapat. Memang ini adalah
kunci kejayaan secara umumnya dalam hidup ini. Dalam pelajaran, “k” ini
diperlukan. Dalam mencari pekerjaan pun sama. Dalam meningkatkan taraf
kehidupan, dalam perniagaan, hatta dalam berugamapun kita disuruh rajin dan
berlomba-lomba dalam mencari ampunan Tuhan dan Syurga dan tidak berputus asa
daripada Rahmat Tuhan. Ada kawan menunjukkan surat-surat jawapan ia memohon
keraja, melebihi 50 pucuk surat. Dan Alhamdulillah, ia berjaya selepas
temuduganya yang ke-20 lebih. Jika saja ia berhenti dan berputus asa selepas
kali ke-10, mungkin sampai sekarang ia belum mendapat apa-apa.
5-
“Kejujuran”: Ini juga tidak kurang pentingnya. Setelah kita mendapat pekerjaan,
dan untuk kita mencapai kedudukan yang lebih baik, soal amanah dan integriti
tinggi perlulah ada dalam diri semua orang. Berapa ramai orang yang besar-besar
jatuh tersungkur kerana tiada kejujuran? Kelulusan tinggi, pemandai,
kompetensi, kelebihan dan kerja keras semua tidak berguna jika tidak diikat
dengan sifat jujur dan amanah. Kes-kes rasuah, curi, salah guna kuasa,
kecurangan yang berprofil tinggi itu dilakukan oleh orang yang ada
kedudukan/kelulusan.
6-
“Ketentuan Tuhan”: setelah semua ini kita usahakan dengan bersungguh-sungguh,
ianya adalah terpulang kepada takdir dan ketentuan rezeki yang sudah tercatat.
Kita hanya dapat berusaha dan terus mengharap karunia pemberian Tuhan dan
menerima apa jua Qada dan Qadar yang sudah tertulis bagi kita. Segala kerja
keras kita berusaha mencari rezeki halal ini, walaupun tidak berjaya
kesemuanya, kita berharap akan diberi imbalan berupa pahala. Dan sebagai orang
beriman, kejayaan tertinggi kita bukanlah harta dan pangkat, bukan jua
kedudukan dan material, tetapi kejayaan hakiki adalah berjayanya kita dihari
pengadilan kelak. Jadi, di samping usaha untuk habuan duniawi, usahakan lebih
keras lagi ‘jawatan tinggi’ di Akhirat. InsyaAllah, jawatan atu inda belimit
dan akan sentiasa ada lowongan bagi siapa yang mempunyai kelayakan.
Wallahu
ta’ala ‘alam.
No comments:
Post a Comment