16.5.20


KONSEP DAN PRAKTIS

Seminggu yang lalu, keluarga kami telah dirundung dukacita dengan kembalinya kerahmatullah kakak ipar saya (kakak kepada isteri saya). Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni dosa-dosanya dan menempatkannya bersama dengan orang-orang soleh. Amin. Semasa dia sedang sakit kuat lagi dan sepanjang tempoh selepas dia meninggal itu, saya banyak memerhati akan tindak tanduk ahli keluarga ini di dalam soal menanggapi saat-saat kematian dan pasca-kematian. Dan banyak daripadanya membuat saya berfikir panjang tentang apakah pengetahuan kita mengenai hal ehwal kematian, pengendalian jenazah, konsep mengenai roh dan amalan-amalan yang berkaitan itu adalah seperti mana dimahukan oleh Syariat.

Saya juga kurang ilmu akan benda ini, dan tujuan saya menulis ini tidak lain adalah supaya para alim ulama kita, juga para asatizah, pegawai-pegawai agama dan guru-guru untuk membimbing kita kepada kebenaran dan memperbisaikan lagi soal praktis atau pengamalan yang di sisi kita adalah hasanah. Selain daripada yang biasa kita buat ini, apakah lagi tuntunan syariat yang lebih aula untuk kita buat di dalam menghadapi situasi kematian baik dari kalangan ahli keluarga, sahabat handai, dan jiran-jiran sekampong?

Alhamdulillah, keluarga sebelah isteri telah mengadakan acara tahlil arwah hari ke-2, ke-3 dan ke-7 dengan harapan supaya Allah SWT memberikan rahmat serta pengampunan bagi aimulah. Dan dengan doa supaya baca-bacaan Al-Quran dan zikir-zikir itu, Allah kirimkan pahalanya untuk membantunya di alam sana. Secara konsepnya, kita tidak ada apa-apa masalah dengan tradisi ini. Cuma dalam sibuk-sibuk keluarga kami ini mengadakan upacara-upacara ini, ada beberapa perkara yang pada saya mungkin boleh diperbaiki pada sudut pelaksanaannya. Sebagai contohnya, saya amat kurang bersetuju apabila keluarga ini untuk dibebani dengan penyediaan ‘kenduri’ dan jamuan makan secara besar-besaran untuk dihidang kepada para pentakziyah. Kerana sudahlah beliau mertua itu kehilangan anak, yang lain kehilangan adik/kaka, maka mereka pula bersusah payah memastikan perut orang datang itu berisi. Pernah terjadi ketika kematian mak saudara saya beberapa tahun dulu, balik saja rombongan mengubur itu, lalu ada yang tergamak bertanya kepada anaknya “ada nasi ah? Nasi… nasi..”. Lalu adalah hamba Allah ini dengan sukarela memasak nasi di rumahnya untuk dijamu kepada orang-orang ini tadi. Kepada para ulama, saya bertanya, apakah ini perbuatan yang betul? Apakah dia contoh teladannya dari As-Sunnah mengenai hal ini? Apakah keluarga si mati ini yang perlu menyediakan makanan atau para jiran tetangga yang dituntut untuk menyediakannya? Mungkin para ustaz boleh menerangkannya.

Kedua, saya kurang senang melihat ahli keluarga dan jemputan kalangan perempuan hanya duduk-duduk bersembang/bacau-bacau ketika bacaan Al-Quran dan tahlil dibacakan. Sebahagian sibuk di dapur menyediakan makan minum dan segala keperluan tanpa hirau akan zikir dan doa yang dibacakan. Apakah ini sesuai dengan kenapa konsep tahlilan ini diadakan? Sedang kita diperintahkan di dalam Al-Quran sendiri supaya senyap dan memberi perhatian ketika Al-Quran dibacakan. Apa kah pahala bacaan yang kita akan kirimkan kepada simati, sedang pada asalnya memang kita tidak ada turut membaca apa-apa pun? Hal ini juga perlu kepada teguran serius daripada para guru-guru ugama kita.

Beberapa perkara mistik juga ada saya mendengar sepanjang tempoh ini. Sebagai contoh, kononnya ada ahli keluarga yang tiba-tiba tercium satu bau harum semacam, ada juga anak kecil yang seperti ‘liat-liatan’ dan ahli keluarga ini menganggap anak itu terlihat akan ‘aimulah’. Dulu-dulu kita diajar supaya jangan mengacau bilik tidur orang mati, dan masa acara tahlil itu untuk disediakan makanan kesukaannya kerana dipercayai bahawa roh orang mati akan balik melawat rumahnya. Apakah kefahaman ini betul? Jika tidak, kenapa tidak diperbetulkan? Kenapa kita tidak sekerasnya melawan kesalahfahaman ini, seperti mana kita melawankan amalan-amalan hasanah yang telah menjadi tradisi kita?

Dan acara tahlil ini sepertinya adalah tidak dapat dipisahkan dengan acara kemuncaknya iaitu - acara makan. Ini lagi satu yang menghairankan saya. Bolehkah kita ini bertahlil tanpa ada makanan? Seperti yang biasa kita lakukan di Kubah Makan Diraja sebagai contoh. Dari mana kita dapat konsep tentang kewajipan menyediakan makanan ini? Saya ingat dulu pernah keluarga besar kami bercadang mengadakan haul untuk Allahyarham Datuk Nenek kami, dan dicadangkanlah supaya setiap ahli keluarga untuk menyumbangkan sedikit duit bagi menyediakan jamuan dan ‘buah tangan’ kepada hadirin. Ketika atu ada yang kurang setuju dengan ‘rate’ yang ditetapkan, kononnya kadar kemampuan mereka tidak sama. Lalu sampai bertengkarlah abis patuan ani sama-samanya. Dan ada kedengaran salah seorang dari mereka berkata “awu ketani yang idup ani labu parut kekanyangan, tu nah mulah dikubur ah kelaparan”. Soalan saya kepada yang alim lagi arif, betulkah fahaman serta praktik kita ini? Adakah membelanjakan duit tanpa ada kerelaan ini dengan hanya semata-mata supaya ada diadakan haul, adakah ianya dipandang hasanah di sisi ugama? Atau bacaan tahlil dan doa anak cucu yang ikhlas itu lebih memberi manfaat kepada mulah di dalam kubur?

Satu lagi praktis yang saya tidak suka ialah selepas acara makan, iaitu pesta tapau menapau. Betetawahan lah para hadirin ini sambal-sambil menapau makanan yang juntrah. Hairan, macam tau-tau sudah orang ketani ani untuk bebata kantung plastik pakai bisdia menapau. Seperti hilanglah tadi jiwa kita yang khusyuk membaca Al-Quran dan mengenang kebaikan-kebaikan aimulah. Acara yang diniatkan menolong orang mati itu, bertukar menjadi satu ‘pesta’ makan minum dan tapau menapau. Apakah ini sebenarnya tarikan utama kepada acara kenduri arwah dan bukannya kepada amalan membaca tahlil itu sendiri? Mohon penjelasan dari yang lebih tahu. Beberapa tahun sudah, ketika menghadiri tahlilan mak saudara saya, ada kedengar rungutan dari ahli keluarga bahawa hadirin yang datang itu semakin ramai dari malam ke malam, dan mereka juga bercadang menambah jumlah kursi mija dan pax catering. Apa tidaknya, orang yang tidak kena mengena dengan aimulah juga ada diliat datang. Kawan-kawan kepada anak dan cucu yang mungkin melihat pun tidak pernah akan Allahyarham, pun turut datang. Untuk apa? Bertahlil atau makan besar? Kalau memang niat bertahlil, Alhamdulillah, semakin ramai yang berdoa semakin baik. Kalau cuma datang untuk mengisi perut dan kantong pelastik, kita mau para ustaz-ustaz menerangkan samada perbuatan ini baik ataukah sebaliknya? Dan apakah arahan ugama kepada kita sebagai kawan-kawan atau jiran-jiran atau masyarakat secara amnya sekiranya terdapat kematian ini?

Semasa arwah kakak ipar saya ini tenat tempoh hari, saya menyuruh Isteri untuk membagitau kepada yang menjaga, supaya dia itu sentiasa diwudhu’kan dan setiap kali masuk waktu untuk diingatkan tentang kewajipan solat. Ini amat jarang sekali kita dengar dan bukan menjadi keutamaan di kalangan masyarakat kita. Yang ada, kana bawakan buku Yassin dan kana pasangkan radio mengaji. Sedang solat ini adalah wajip kepada muslim selagi mana jantung masih berdegup. Bukankan kita dulu diajar di sekolah, jika tidak dapat solat berdiri, maka duduklah. Jika duduk tidak boleh, berbaringlah. Dan jika itupun susah, cukup dengan niat dan sembahyang di dalam hati. Tapi kenapa ini seperti diketepikan? Mohon para ustaz-ustazah untuk meluruskan hal ini.

Selepas kematian sama jua, yang dulu difikirkan ialah soal kenduri. Apa menu hari pertama sampai ketiga. Inda lagi bulih sama tu, hari ani sudah ayam masak merah dan paceri nanas, di-make sure lagi isuk anu lain pulang tu. Saya mengingatkan bahawa kenduri ini adalah sampingan, utamakan dulu soal hutang piutang si mati, maklumkan kepada kenalan-kenalannya tentang kematiannya ini dan sekiranya aimulah ada berhutang atau hak-hak mereka yang belum terpenuhi. Mungkin jika tidak diingatkan, hal ini langsung tidak disebut-sebut. Yang ada cuma “halalkan makan minumnya ah”.  Atu jika orang sudi menghalalkan, bagaimana kalau tidak? Tugas kita sebagai waris ialah untuk berusaha mencari dan melunaskan, bukan dibiarkan begitu saja. Kemudian soal zakat fitrah, fidyah puasa, badal haji dan pembahagian faraid pun sepertinya kurang mendapat perhatian di kalangan masyarakat kita. Dan saya juga kurang jelas, duit sedekah daripada para pentakziyah itu, apakah hukum hakam yang mengawalnya dan siapakah pula yang berhak keatasnya? Mohon pencerahan daripada yang tahu.

Saya berharap tulisan saya ini tidak disalah erti. Kita tidak mempersoal dasar amalan ini, tetapi saya ingin mengetahui dengan lanjut apakah praktis dan pelaksanaannya itu adalah betul dan tepat. Seperti mana kita mahu ibadat solat kita itu sentiasa diperbaiki jika ada yang tidak betul, seperti juga dengan tatacara wuduk kita yang kita mahukan menepati sunnah, amalan-amalan lain juga begitu, macam itu jugalah kita mahu amalan berkaitan kematian ini juga untuk diperbetulkan supaya ianya tidak lari daripada apa yang dimahukan oleh agama ini. Semua ini juga tidak lain adalah dengan harapan ianya benar-benar akan memberi menafaat kepada ahli keluarga dan saudara seagama kita yang telah wafat, dan sebagai persiapan kita pula apabila ajal datang menjemput kita nanti.

Wallahu Ta’ala a’lam


No comments: