6.1.21

PERSIAPKAN

Mungkin antara benda yang bagus untuk ketani persiapkan sedari awal ialah, menjelangnya waktu kita sakit. Sakit dalam makna, kita tidak mampu mengurus diri sendiri. Makan minum, duduk berdiri, hatta perbuatan harian seperti membuang hadas basar/kecil dan istinja. Sakit dalam tahap ini setentunya akan memerlukan khidmat orang lain untuk menguruskannya. 

Sebagai ahli keluarga, peradian, atau anak, kita tidaklah rasa terbeban. Bahkan, kita sebetulnya rasa berbangga kerana dapat berkhidmat kepada yang sakit di antara kita. Lebih-lebih lagi kepada ibu atau ayah, yang selama ini menjaga dan membesarkan kita. Inilah giliran kita untuk mengasuh mereka, serta memeduli mereka dengan perasaan kasih dan menghargai. Inilah masa untuk menunjukkan betapa kit aini sangat terhutang budi terhadap mereka, hutang yang tidak akan mampu kita terbayarkan. Kita gembira apabila dapat membantu ibu dan ayah yang sakit, menyantuni dengan penuh sayang dan semampunya untuk memenuhi kehendak mereka. 

Melihat wajah ibu ayah yang tua berkedut dan rambut beruban, mengingatkan kita, inilah wajah yang satu masa dulu paling gembira kita melihatnya. Matanya dulu yang penuh perhatian melihat kita, yang disengkang ketika kita sakit demam, dan yang pernah menistikan air mata gembira dan sedih kerana kita, kini layu tidak bermaya. Tangan yang lemah longlai, dulunya tempat kita ‘dikipak’ dan merupkan tempat paling selesa. Tangan itulah jua yang menyuap makan, memberi pakaian dan mencari rezeki untuk membesarkan kita sehingga menjadi manusia. Kaki yang kuat kini tidak mampu menanggung bebanan badan sendiri. Kaki ini jugalah yang telah membawa kita kesana sini. Badan yang dulu muda dan kekar, kini hanya terlantar di atas katil dan wheelchair. Itulah indung, itulah ‘kunci syurga’ bagi kita. 

Tapi kejadian ini juga membuat saya merenung jauh, apakah orang-orang selepas kita pun akan berfikiran begini? Apakah anak-anak yang diasuh dengan kasih sayang, yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh itu, akan samakah perasaan mereka nanti, ketika giliran kita memerlukan bantuan? Masa hadapan yang mungkin akan lebih kelam kabut, manusia ghaflah mencari penghidupan, cabaran dan dugaan mereka mungkin jauh berbeda dari masa ini. Macamana pula yang hidupnya sebatang kara? Apakah hanya akan bergantung kepada suster dan missy yang ramai kan mereka kelinga? Allah sahajalah yang mengetahui apa yang akan terjadi. 

Persiapan ini juga termasuk kemudahan pergerakan. Bagi yang membina rumah, kena beringat-ingat akan kemudahan dihari tua nanti. Binalah rumah bagi memudahkan pergerakan naik turun, kemudahan membersihkan diri, makan minum dan sebagainya. Perkara ini bisai difikirkan awal. 

Selain persiapan kepada waktu sulit itu, yang utama kita persiapkan ialah saat yang akan dirasai oleh semua makhluk yang bernyawa - ajal. Waktu itu pasti akan tiba. Tidak berjanji mesti tua dan sakit. Yang muda dan sehat pun belum tentu lama bersama kita. Lalu apa persiapan kita untuk menempuh hari itu? Kita berusaha mencari ubat kepada penyakit, belum tentu akan sembuh. Apa saja yang dicadangkan oleh para pakar kita terima, apakah takut umur tidak panjang? Betul, agama menyuruh untuk berubat. Allah mungkin saja menitipkan di tangan para doktor asbab kepada baiknya penyakit kita. Tapi hakikat bahawa penyembuh itu adalah Allah ‘azza wajalla, sangat ramai yang melupai. Dan di dalam masa sakit ini sering kita lupa soal kewajipan. Solat, puasa wajib, melunaskan hak-hak manusia dan sebagainya lagi banyak yang ter-miss. 

Berabisnya kita supaya sembuh penyakit, tapi tidak pula kita berabis menunaikan perintah Yang Maha Penyembuh dan untuk mempersiapkan amalan untuk bertemuNya nanti. Waktu sakit adalah waktu yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan, dihabiskan dengan tidur dan terlantar. Waktu Allah bagi 'rehat', untuk refleksi akan masa lalu dan masa depan, tidak dimanfaatkan sebaiknya. Mulut basah dek ubat, tidak basah dengan menyebut namaNya. Apa sebenarnya kan kita capai? Adakah kan mencuba hidup sepanjang yang boleh? Ataukah tugas kita hidup ini, untuk mempersiapkan amal soleh sebagai bekalan untuk dibawa mulih? Waktu sehat kita banyak 'bolong', waktu bila lagi untuk kita ini diberi kesedaran? Dimanakah dia 'pakar' dan apakah preskripsi ‘ubat’ yang boleh kita cari untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak? 

Dan ketika sudah sembuh, amat jarang kita mendengar orang yang bersyukur. Tahmid dan tasbih hampir tidak kedengaran. Kebanyakkan akan mengatakan ubat sekian-sekian lah yang mujarab, doktor itu dan inilah yang pandai. Betul kita mensyukuri nikmat kesihatan sebagai anugerah Allah. Tapi penyakit bukanlah semestinya tanda kita ini dimurkai Tuhan. Para Rasul, Nabi dan orang-orang soleh pun ramai yang ditimpa sakit dan kesusahan. Ianya tidak lain hanyalah ujian. Sejauh mana tawakkal dan sabar, setinggi mana munajat dan seru-seruan kita kepada Rabb kita, setakat mana kita pasrah menanggung pemberianNya, ataukah semakin menjauh pula kita daripadaNya. Mindset dan tahap keimanan tinggi sebegini juga harus kita tanam awal-awal dan persiapkan kemas-kemas. Jangan sampai apabila sakit kita mengaduh “kenapa Tuhan menyiksa aku?” atau “atas kesalahan apa aku ditimpa sakit begini?”. Ketika ubat kita seduhkan, jangan pula kita lupa untuk mengingatkan kepada pesakit tentang waktu solat, dan bagi mereka untuk terus sabar dan memperbanyakkan istighfar. Kita diajar, kaki yang tercucuk duri saja akan menghapus dosa, apa lagi yang diuji dengan penyakit kronik dan merbahaya, kita yakin semua itu hanyalah cara Tuhan menghapuskan dosa-dosa kita. 

Kepada ahli keluarga yang sedang sakit, marilah sama-sama kita mendoakan kesembuhan buat mereka. Sedekah dan amal soleh yang lain kita niatkan menjadi wasilah, semoga Allah kurniakan syifa kepada mereka. Hari ini hari orang, mungkin esok atau mungkin lusa, akan tiba giliran kita pula. 

"Allahumma rabban-naas, azhibil ba'sa, isyfi anta asy-syafii, la syifa-an illa syifa-uk, syifa-an la yughadiru saqama" "Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya, 

"Wahai Tuhan, sungguh aku telah ditimpa penyakit sedangkan Engkau adalah Yang Maha Penyayang dari semua yang penyayang. Maka Kami kabulkan (doa)-nya, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya .... " (Al-Anbiya: 83 - 84) 

5 Januari 2021, Wad 22, Hospital RIPAS

30.9.20

SUSAH ITU DI MANA?

Saya menghadiri satu forum perniagaan anjuran Asia Inc. seminggu yang lalu. Forum yang berformat townhall ini telah mengumpulkan ramai business leaders daripada pelbagai sektor perniagaan bagi mengetahui apakah sentimen di kalangan business community, ahli perniagaan dan ahli korporat tentang masa depan perniagaan di Brunei Darussalam pasca COVID-19 ini. Semasa sesi perbincangan, ramai daripada peserta berkongsi pengalaman mereka ketika berhadapan dengan pandemik ini. Ada yang begitu terkesan sehingga syarikat mengalami kerugian, ada yang terjejas sedikit sahaja seperti masalah supply chain, dan ada juga yang bahkan meningkat seperti industri runcit dan makanan.

Tapi rata-rata daripada peserta yang hadir itu, tidak ada menunjukkan sebarang keluhan atau rungutan terhadap pandemik ini. Bahkan majoriti mengatakan bahawa pandemik ini, sepertimana jua permasalahan lain, ada membawa bersamanya banyak peluang untuk kita terokai. Polling yang dibuat semasa forum itu juga menunjukkan lebih daripada 80% peserta mempunyai optimism yang tinggi terhadap masa depan perniagaan di negara ini, lebih-lebih lagi dengan penutupan sempadan yang telah menghadkan aliran keluar duit kita. Salah seorang pengusaha menyatakan “there is so much money circulating in the economy now” yang sepatutnya diambil kesempatan oleh para usahawan dan perniagaan.

Saya kagum lagi takjub akan hal ini dan telah menjadi pikiran saya semenjak itu. Di luar sana ada sekolompok orang yang sibuk memperkatakan soal berusaha keras, tidak berputus asa, bangun dan tampil menghadapi cabaran, setiap kekacauan ada peluang tersembunyi, be innovative and creative dan sebagainya lagi. Tapi apabila pulang ke pejabat atau ke rumah, saya berhadapan dengan golongan orang yang amat berbeza. Yang dicakap adalah soal kemiskinan, kesusahan, pengangguran, kekurangan duit, mohon bantuan, hidup susah, beutang usin, dan 1001 macam permasalahan lagi. Negara yang sama, dalam sistem yang sama, peluang pun hampir sama, lalu ia menimbulkan satu pertanyaan kepada diri saya sendiri, sebenarnya susah itu di mana, dan apakah sebab musababnya?

Beberapa bulan lalu, Kerajaan telah memperkenalkan Sistem Kebajikan Negara (SKN), yang diharapkan dapat membantu di dalam pengurusan hal pemberian bantuan dan kebajikan. Saya sedikit berbeza daripada aliran mainstream dalam perkara ini. Pertamanya, dalam pemberigaan SKN itu, saya terdengar bahawa “orang ramai adalah dialu-alukan” untuk membuat permohonan. Kedua, saya juga mengetahui dalam masa beberapa minggu, lebih 6,000 orang telah menghadapkan permohon melalui sistem ini. Apakah kita berbangga dengan ramainya rakyat kita yang memohon bantuan ini? Apakah ianya merupakan satu indikator yang bagus - apabila ramai di antara kita ini mengaku sebagai daif, susah, fakir dan juga miskin? Di mana usaha kita untuk mengurangkan jumlah penerima bantuan ini? Kenapa tidak akar permasalahan ini kita cantas supaya kita dapat mengurangkan mereka yang hanya bergantung harap kepada pemberian kerajaan atau bantuan zakat? Di mana perbincangannya tentang benda ini?

(censored). Secara permukaannya, masya Allah, siapa yang tidak mahu menyokong niat murni ini. Tapi setelah saya fikirkan, di manakah bukti yang cadangan ini akan berjaya? Kalau inda silap, dulu-dulu pun ada jua sudah ni konsep memberi tanah untuk bercucuk tanam ani, apakah membuahkan hasil? Ataukah tanah-tanah yang beberapa ekar itu telah dijadikan warisan dan dibinakan rumah pada masa ini. Bisaikan, ada kawan-kawan kita yang inda ingau memohon perumahan, inda ingau membali tanah dan loan rumah bisdia diabiskan membangun rumah. Sementara yang lain masih meitung-itung dan mencongak-congak.

Saya juga antara yang kurang bersetuju dengan cadangan bahawa keusahawanan dan pertanian ani boleh mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. Apakah kita beranggapan bahawa berniaga ini satu yang mudah? Syarikat yang besar-besar dan mempunyai dana yang banyak seperti GLCs dan ditadbir oleh ‘pakar-pakar’ pun kebanyakannya ‘kapus-kapus’, lalu kita menyangka golongan sasar ini dapat bertahan tanpa pengalaman, modal dan keupayaan pengurusan? Ini bagi saya adalah satu yang kurang masuk akal. Buktinya, ada yang diberikan modal perniagaan ahernya gagal, dan alat bantu perniagaan melalui wang zakat pula ahernya dijual.

Seterusnya saya tertanya-tanya apakah dasar yang menyebabkan seorang yang susah itu diberikan satu aset yang berharga seperti rumah dan tanah? Apakah ada nilai atau sumbangan mereka kepada negara atau masyarakat sehingga mereka ini berhak untuk diberikan ganjaran sedemikian? Lalu apakah benda yang sama juga dihulurkan kepada yang berusaha keras dengan bekerja atau berniaga, tapi pendapatan mereka tidak mencukupi untuk mereka membeli tanah dan rumah sendiri? Saya terbaca pendapat Thomas Sowell, seorang profesor di AS yang pada tahun 1980 ada mengatakan “what the welfare system and other kinds of governmental programmes are doing is paying people to fail. In so far as they failed, they receive the money. In so far as they succeed, even to an extent, the money is taken away…”.

Fenomena ini benar-benar berlaku dan tidak ada siapa yang dapat menafikannya. Saya diceritakan oleh rakan-rakan daripada Jabatan lain yang terlibat dalam isu ini bahawa pernah kedengaran ketika pemberian “bonus hari raya” ada satu pasangan ini ketika ditanyakan mengenai status anak mereka, mereka dengan sembil lewa mengatakan “baik jua bin Abdullah, ampit jua taun ani” bagi anak mereka yang kelima! Bukan satu dan bukan dua kes seperti ini. Hebat pula “entrepreneurial mind” diorang hal ani sampai pandai berkira-kira untung dan rugi. Apakah ini hasil mahsulnya dasar-dasar kita selama ini? Manusia sudah tidak tahu hukum hakam, halal haram dan kepentingan menjaga nasab keturunan. Tidakkah kita mahu melihat semula atau membuat review sekali-sekala samada keadaan kita ini semakin baik atau sebaliknya.

Kalau dulu masa di bidang media, tugasan saya biasanya adalah untuk menunjukkan hal-hal yang baik dan positif sahaja. Tetapi di bidang sekarang ini, saya melihat satu sisi ‘gelap’ negara ini. Masuk keluar kampung melihat keadaan orang-orang miskin dan susah. Ada yang rumahnya terlalu daif, cuma beratap, berdinding kayu, berlantai tanah. Juga yang menghairankan ialah sebahagian besar mereka ini beranak pinak dengan ramainya. Kita kesian pada anak-anak yang membesar dalam keadaan seperti ini. Ketika lawatan-lawatan itu, dengan hati yang rawan, saya selalu memikirkan bagaimanakah nasib dan masa depan anak-anak ini nantinya. Soal persekolahan, tentang perkembangan minda, akhlak dan disiplin, worldviewnya bagaimana, dan apakah mereka ini akan terus terbelit di dalam kitaran yang sama seperti ayah dan ibu mereka? Kita mendoakan yang terbaik buat mereka ini.

Saya juga sering berfikir, apakah ada perbezaan antara golongan miskin pada zaman ini daripada orang susah di zaman dahulu, seperti di zaman Rasulullah SAW misalnya? Apakah sama kemiskinan seorang hamba sahaya di zaman dulu itu, dengan kemiskinan seorang yang merdaheka pada masa ini? Apakah sebanding kesusahan orang yang dibuang keluarga kerana jenayah dadah, minuman keras dan sebagainya, dengan keadaan orang yang dibuang kaumnya kerana mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW? Begitu juga dengan kesusahan yang ditanggung seorang balu yang kematian suami kerana Jihad fi-Sabilillah, apakah menyamai orang yang kehilangan pendapatan kerana suaminya dipenjara kerana jenayah? Apakah sama orang yang jadi papa kedana, meninggalkan harta, status dan kekayaan kerana berhijrah bersama Rasulullah, dengan mereka yang jadi susah dan bankrupt kerana ketagihan judi atau disebabkan ditipu oleh skim cepat kaya? Soalan-soalan ini selalu saya fikirkan.

Saya selalu mengatakan kepada kawan dan keluarga, ada jenis manusia ini yang berhak kita bantu tanpa ada sesiapa yang dapat mempersoalkan. Orang yang cacat kerana kemalangan atau semula jadi, tanggungjawap kita untuk membantu, anak-anak yatim, wanita kematian suami yang menanggung anak yang ramai, orang yang ditimpa musibah kerana kebakaran, tanah susur, banjir, kecurian. Semua ini wajiblah kita hulurkan bantuan. Saya mengibaratkan pemberian bantuan ini begini: seorang yang cedera kerana patah kaki, maka kita rawat dan bantu sehingga dia pulih. Makan minum dan keperluan asasinya kita berikan. Tapi setelah pulih, kita lepaskan dia untuk meneruskan perjalanan sendiri. Malangnya, terlalu ramai yang ketika sudah pulih, masih berpaut di kaki orang lain atau bergantung harap kepada pihak kerajaan. Tidak kurang yang pura-pura sakit, bahkan ada yang senghaja mematahkan kaki sendiri supaya akan terus diberikan inaindah sampai bila-bila. Ini sesuatu yang perlu kita semua lihati semula.

Wallahu ta’ala ‘alam.


18.8.20

 NORMA BARU VS NORMA LAMA



Saya agak terkilan dengan satu kejadian semasa membawa anak saya menunaikan Solat Isya’ berjemaah di Masjid Kampong Salambigar malam ini tadi. Sejurus Iqamat, saya membawa anak saya kehadapan untuk memenuhkan saf seperti lazim dibuat semasa solat jumaat, iaitu, sejadah dirapatkan dan badan dijarakkan sedikit. Saya terkejut kerana orang-orang di sekeliling kami secara berjamaah menegur kerana saya telah ‘tersalah’ menyusun sejadah yang saya rapatkan dengan sejadah anak saya. Kerana pada saya, apakah rasionalnya saya dan anak untuk dijauhkan, sedang kami datang satu kereta, tinggal serumah bahkan selalunya tidur pun sekatil? Saya menerangkan bahawa sebalah saya itu adalah anak saya, dan saya mahu merapatkan saf sepertimana jua yang sepatutnya. Imam Masjid telah ikut-ikutan dan bahkan telah menegur cara saya menghamparkan sejadah, yang saya lipat separuh supaya tempat sujud saya itu berlapik dan kaki saya berada di karpet masjid. Ini untuk memudahkan saya berdiri dan terus membawa sejadah itu apabila habis solat. Malah saya telah ‘diajar’ supaya kaki saya itu berada di atas sejadah sendiri. Itulah SOP agaknya. Mungkin inilah penemuan terhebat akan tatacara pencegahan virus?

Hal ini sangatlah menghairankan. Kenapa semasa solat Jumaat, dibolehkan pula kita berada begitu dekat dengan Jemaah yang lain, dan ketika solat fardhu tidak pula? Apakah asas dan alasan kepada peraturan ini? Jika ini peraturan, kenapakah Jamaah yang ‘ambil peduli’ itu juga ada sebahagiannya yang tidak memakai face-mask yang juga satu peraturan? Bahkan Tuan Imam sendiri tidak memakainya? Imam yang tadinya saya nampak duduk bercerita-cerita dengan Jemaah lain di belakang. Pulang dari masjid, saya singgah sebentar ke kedai gunting rambut, bukan saja tidak ada penjarakkan sosial, bahkan tangan tukang gunting itu menyentuh kepala dan muka saya. Tidak pula ada apa-apa peraturan? Tidak pula autoriti kesihatan masuk campur?

Seperti jua tulisan-tulisan saya sebelum ini, pada saya kita ini sekarang sedang ‘diperbodohkan’ dengan peraturan-peraturan yang tidak masuk akal dan tidak pula mempunyai asas. Sepertinya ada usaha untuk menghapuskan norma lama ataupun ajaran agama yang berpandukan Sunnah Nabi, dengan ianya diubahsuai mengikut kepala hotak manusia. Tidakkah kita sedar apa yang dibuat ini, seakan-akan kita menuduh bahawa cara yang diajarkan Nabi itu tidak begitu bagus, kerana merapatkan saf bahu ke bahu, tumit ke tumit itu berpotensi menyebarkan penyakit, dan cara kita inilah yang terbaik untuk mengelakkan penularan wabak. Apakah pada kita, para doktor dan saintis itu lebih tahu akan penyakit daripada Pencipta segala ciptaan yang telah mengutus Rasulnya untuk kita ikuti? Inilah makna dan implikasi daripada pembudayaan norma baru yang dipromosikan oleh semua pihak ini.

Tidak menafikan semua ini juga adalah ijtihad pihak berkuasa agama. Para ulama telah membuat ijtihad akan hal ini. Tetapi perlu diingat bahawa ijtihad ini adalah sangat bergantung kepada input dan nasihat pihak berkuasa kesihatan atau saintis. Tepat dan betul input yang diberikan, tepat dan betul pulalah ijtihad yang dikeluarkan. Saya tidak mempersoal keputusan ulama, tetapi yang saya persoalkan apakah input-input yang dibentangkan kepada mereka itu kesemuanya tepat? Adakah terdapat ‘dalil’ bagi setiap nasihat yang diberikan itu? Saya sedikit hairan, terutama melihat kepada asatizah dari dalam dan luar negara yang sangat kritis pada pendalilan dalam bab ugama, tetapi tidak pula terlihat ke-kritis-an itu di dalam bab lain. Apa yang disogok oleh Doktor/Kementerian, maka itulah fakta. Walaupun ada pendapat kedua dan ketiga di dalam perkara yang sama. Yang biasa dilihat sibuk mencari bukti, tapi dalam bab keduniaan terlalu percaya dan tidak pula ada minda yang mempersoal. Seakan mereka itu telah menjadi kumpulan taklid buta yang cuba mereka tentang dahulunya.

Saya bukanlah pakar dalam bidang ini. Tapi saya juga tidaklah terlalu lembap untuk memahami lojika dan rasional akan satu-satu perkara jika yang diberikan itu ada bukti-buktinya. Tetapi apa yang terjadi ialah, peraturan-peraturan yang dibuat itu tidak masuk akal dan tidak konsisten. Baru-baru ini tersebar gambar Menteri-menteri dan VIPs yang mengikut RB Dine and Fly. Sudahlah tidak berjarak, dalam kabin yang tertutup, tidak pula memakai face-mask. Inda pula timbul apa-apa isu. Ajaibnya virus ini, masjid sajalah tempat kesukaanya! Tempat di mana semua orang dalam keadaan bersih dari kepala sampai kaki dan memakai sungkup muka. Dan peraturan tidak munasabah ini masih diamalkan dalam keadaan tidak ada kes dalaman lebih kurang 100 hari. Jika mula-mula dulu, kita paham jugalah, but now?

And the level of hypocrisy of everyone in this is so unbelievable. Di opis semua orang macam sediakala, makan semija, meeting duduk ampir-ampir, solat bertemu bahu, tapi bila ada acara yang ada liputan, acah-acah ber-SOP. Disekolah murid-murid diarahkan mengikuti peraturan ketat, memakai mask atau penutup muka plastik, tapi cikgu-cikgi dan pakcik jaga tidak pula perlu, bahkan beibun/bacau-bacau macam inda ada apa-apa. Cubatah cek di spitar apa atu, sama juanya kali. Cuba liat surat kabar hari ini, yang di Masjid saja yang bertutup muka, sementara acara YB bersama anak-anak kecil, gotong royong, taman permainan, acara-acara universiti, orang masuk Islam dan lain-lain kenapa inda? Mana konsistensinya? Yang kancang menyuruh orang ikut peraturan ani, ia jua sama tu, munnya sudah hiking sama kawan-kawanya di sipatir atu bah, awu indada ya ada makai tutup muka tu, begambar lagi ampir-ampir. Kenapa bulih?

 

27.7.20


“THE ONLY CONSTANT IN THE WORLD IS CHANGE”

Saya membaca beberapa laporan akbar mengenai dengan pelancaran Dasar Perubahan Iklim oleh Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam. Climate Change ini adalah merupakan satu tajuk yang saya ikuti perbincangannya secara serius. Tetapi semakin saya mendalaminya, rupa-rupanya perbincangan mengenai Climate Change ini bukanlah semudah itu. Climate Change ini juga adalah isu yang rancak diperkatakan di peringkat global dengan banyaknya perjanjian-perjanjuan yang telah dibuat bagi menangani isu ini secara kolektif.

Bagaimanapun, isu ini juga adalah satu bidang yang terlalu dipolitikkan (highly politicised) dan terkadang agak sukar untuk membezakan di antara fakta saintifik dengan political talking points. Ianya juga adalah satu perkara yang rumit kerana setakat ini belum ada ‘ijmak’ di kalangan para pengkaji atau saintis. Walaupun dikhabarkan bahawa 97% atau 98% saintis bersetuju tentang isu ini, tidak kurang juga ratusan saintis-saintis dan pengkaji terkemuka yang membantah dengan membawakan hujah masing-masing. Pada pemerhatian saya, sekurang-kurangnya, terdapat 3 school of thoughts di dalam isu ini. Pertama ialah kumpulan yang bersetuju dengan sains dan cadangan-cadangan mitigasinya, kedua yang bersetuju dengan sainsnya tetapi tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan mitigasi yang diberikan, dan kumpulan terakhir ialah yang tidak bersetuju dengan sains dan membantah keras preskripsi yang dicadangkan itu. Di barat, kalau kita perhatikan, kebanyakkan proponents isu climate change ini adalah kebanyakkan daripada parti politik atau kumpulan yang berhaluan kiri dan ber-’manhaj’ sosialis/ komunis/ globalis dari sudut ideologinya.

Antara yang menjadi titik pertikaian di kalangan pengkaji ialah mengenai keabsahan data-data (legitimacy of data) yang digunakan. Ada yang berpendapat bahawa terlalu banyak kesilapan (error and irregularities) terutama dalam data-data bagi kajian yang terdahulu. Tidak kurang yang menyatakan bahawa ‘kesilapan’ tersebut adalah disenghajakan. Hockey-Stick Charts, yang menunjukkan peningkatan suhu dan kadar CO2 global dan merupakan tunjang utama kepada keseluruhan perbincangan ini, telah dinilai semula dan didapati ianya tidak menepati piawaian saintifik dan bercanggah dengan penemuan saintis yang lain. Ini adalah seperti apa yang pernah dilaporkan oleh beberapa media pada tahun 2009 dan 2011 yang digelar sebagai skandal ‘Climategate’, di mana emel dan perhubungan di antara klimatologis terkemuka dunia ketika itu telah digodam dan didedahkan kepada awam yang telah mendapati adanya malpractice bagi memanipulasi data untuk menyokong naratif-naratif tertentu. Walaupun perkara ini berulang kali dinafikan dan mungkin saja satu konspirasi, akan tetapi ianya telah mencemarkan perbincangan mengenai Climate Change ini dan kredibiliti badan-badan yang terlibat itu.

Selain daripada data dan maklumat, sebahagian pengkaji juga telah mengkritik keras penggunaan computer modelling di dalam membuat prediksi-prediksi bencana yang bakal terjadi berikutan dengan pemanasan global. Jika dilihat kepada rekod sejarah dan laporan media, ramalan-ramalan yang diberikan oleh saintis kebanyakannya adalah tidak tepat dan kerap kali bertukar. Seperti pada tahun 50an dan 60an dahulu, dikhabarkan bahawa dunia pada masa itu sedang mengalami ‘Global Cooling’ dan kita bakal memasuki fasa ‘Ice Age’ yang baharu. Prediksi ini telah ternyata silap. Climate crisis narratives ini juga diperhatikan adalah kerap berubah, misalnya satu masa dulu kita ditakutkan dengan krisis seperti ozone hole, acid rains, pelenyapan beberapa kawasan rendah dengan kenaikan paras laut, kehilangan lapisan ais di kutub utara serta kepupusan beberapa spesies binatang, dan sebagainya yang pada masa ini samada tidak terjadi dan hampir tidak kedengaran lagi. Maka, dengan melihat kesemua ini, kita tidaklah ada jaminan bahawa apa yang terkandung di dalam laporan-laporan daripada The Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang menjadi rujukan utama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim NBD, berserta dengan preskripsi-preskripsi yang diberikan itu adalah berbeza dan lebih tepat pada kali ini.

Sebilangan pemikir pula mempersoalkan, sekiranya pun iklim dunia ini berubah, tetapi sejauh manakah ianya disebabkan oleh aktiviti manusia? To what extend and degrees? Is it fully? Partially? How many percent? Dan dimanakah bukti yang mengatakan kita berupaya mengubahnya? And at what cost? Dikatakan bahawa hasil daripada perindustrian dan pembakaran minyak dan gas telah meningkatkan kadar karbon dioksida dunia - yang dianggap punca terhadap pemanasan global. Soalannya, berapa peratuskah kandungan CO2 di atmosfera ini? Dan berapa peratuskah ianya disumbangkan oleh manusia, dan berapa pula disumbangkan oleh fenomena semula jadi seperti cetusan gunung berapi, tumbuh-tumbuhan dan binatang? Apakah CO2 ini bermanfaat atau merbahaya kepada kehidupan? Kenapakah dilaporkan bahawa bumi semakin menghijau jika dibandingkan beberapa puluh tahun yang lalu – apakah CO2 elemen penting dalam potosintesis? Dan kenapakah petani meningkatkan kandungan CO2 di dalam greenhouse mereka untuk mengoptimakan pertumbuhan tanaman?   

Pada masa yang sama, kita tidaklah menolak secara total mengenai krisis ini. Mungkin saja perlepasan karbon dikosida ini akan terus meningkat dan akan mempercepatkan pemanasan global dan perubahan iklim. Tetapi yang pentingnya perkara ini untuk ditanggapi dan dilihat dari sudut yang berbeza. Adalah lebih bermanfaat untuk kita melihat kesemua ini dari sudut risk analysis dan risk management. Maksudnya, kita seharusnya giat membuat persediaan yang sepatutnya dengan mengambil kira worst-case scenario, supaya sekiranya pun dunia secara kolektif gagal mengubah hal ini, kita di negara ini sudahpun bersiap sedia menerima apa jua bencana yang bakal menimpa. Oleh itu, saya berpendapat bahawa Majlis ini dan agensi seperti NDMC seharusnya memikirkan bagaimana menjadikan negara ini lebih berdaya tahan (resilient) kepada perubahan-perubahan iklim dan cuaca serta untuk mempersiapkannya menjadi disaster-proof secara berperingkat.

Adalah kurang bijaksana untuk kita berusaha mengurangkan konsumsi tenaga secara drastik, sedangkan kita memerlukannya terutama bagi meningkatkan ekonomi dan pembangunan industri-industri utama.  Ini kerana jika kita buat perbandingan secara global, pelepasan CO2 Brunei Darussalam adalah sangat-sangat rendah iaitu 0.025%. Angka ini adalah sangat-sangat rendah dan negligible. Ini bermakna walaupun kita berjaya membuat pengurangan secara drastik, ataupun sebaliknya meningkatkan perlepasan sehingga 5 kali ganda pun, masih ianya terlalu kecil untuk memberikan apa-apa impak di skala global. Sementara kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, Amerika Syarkita, India dan selainnya yang merupakan penyumbang utama CO2 global, mereka itu berlumba-lumba meningkatkan penghasilan mereka dengan bersungguh-sungguh.

Adapun langkah-langkah yang diberikan di dalam laporan IPCC atau perjanjian-perjanjian antarabangsa seperti Kyoto Protokol dan Paris Agreement, bahawa setiap negara harus mengurangkan pembakaran fossil fuel melalui Carbon Taxing atau Carbon Pricing ini hanyalah akan membebankan rakyat dan masyarakat. Kos-kos ini nantinya akan dipindah kepada pengguna. Kepada siapakah hasil ‘cukai karbon’ ini akan diberikan dan untuk apa ia digunakan? Kita perlu mengambil iktibar akan protes Yellow-Vest yang terjadi di Perancis, yang antaranya membantah keras tindakan pemerintah menaikkan cukai minyak/tenaga dalam usaha mengurangkan penggunaan fossil fuel. Perkara ini telah menyebabkan keributan dan ketidakstabilan di negara berkenaan. Selain itu, pencukaian ini juga akan menghambat kemajuan industri dan ekonomi yang terlalu bergantung kepada penjaan tenaga melalui minyak dan gas. Berapa ramai penduduk dunia ini berada dalam kemiskinan yang sangat bergantung kepada aktiviti perekonomian dan penggunaan tenaga sekadar untuk meneruskan penghidupan. Disebabkan inilah Amerika Syarikat telah menarik diri daripada Paris Agreement kerana khawatir akan impaknya kepada ekonomi mereka. Bayangkan sepanjang lockdown sahaja, ekonomi dunia telah lumpuh, ramai yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan, ratusan juta orang termasuk kanak-kanak kecil dianggarkan akan mengalami kebuluran - sehingga dilaporkan ada yang terpaksa memakan tumbuhan liar untuk mengalas perut. Dan jika berterusan jumlah kematian kerana kelaparan ini akan jauh meningkat.

Tambahan kepada itu, saya juga ada membaca laporan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini adalah pada tahap Carbon Negative - bermakna penyerapan CO2 oleh hutan kita adalah lebih tinggi daripada pelepasan. Saya juga sedikit berbeza dengan inference yang mengatakan bahawa kenaikan suhu negara ini sebanyak 0.6oc daripada tahun 1970 hingga 2018 adalah disebabkan pemanasan global. Fenomena ini mungkin boleh diperjelaskan dengan satu konsep di dalam bidang environmental sebagai Urban Heat Island atau kesan daripada Heat Sink, iaitu penyerapan tenaga matahari disebabkan oleh binaan buatan manusia seperti jalan raya, bangunan, dan infrastruktur lain menyerap tenaga suria dan memberikan kesan kepada bacaan suhu sekeliling, yang sebelumnya adalah diserap oleh tanah dan tumbuhan. Sebab itulah juga kenapa carta bacaan suhu negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca itu adalah merata (flatten) mulai dari tahun 1990 sehingga sekarang.

Bedasarkan kepada penjelasan-penjelasan di atas ini, kita tidak menafikan sepenuhnya isu yang diperbincangkan. Pun begitu, approach kita terhadap perkara ini haruslah terlebih dahulu dibincangkan secara terperinci dengan melihat kepada keseluruhan fakta dan pendapat yang ada, kerana ianya akan melibatkan penggubalan dasar yang akan mengubah kehidupan dan memberi kesan kepada rakyat dan masyarakat. Adapun soal environmentalism yang proaktif lagi praktikal, maka kita semya adalah penyokongnya. Inisiatif seperti penjimatan tenaga, kajian dan pelaburan untuk teknologi hijau, pembersihan udara, pemuliharaan hutan hujan, kitar semula, menjaga kebersihan bandar dan desa, pembersihan perairan dan lautan, waste and toxic management, yang semua itu lebih mendatangkan kesan langsung dan positif kepada taraf kehidupan kita. Kita tidak mahu berkempen atau berslogan sahaja, yang bagi saya ianya tidak lebih daripada political correctness dan virtue-signalling activism semata-mata.

Wallahu a’lam.

23.5.20


KITA INI BANGSA MERDEKA

Kalau melihat kepada sejarah manusia, kita akan dapati bahawa sepanjang keberadaan manusia di muka bumi ini, antara benda utama yang diperjuangkan ialah soal keadilan dan kebebasan. Di mana saja keadilan dan kebebasan ini disekat, di situ akan ada kebangkitan dan revolusi sehingga tertegaknya dua perkara ini. Manusia berjuang mempertaruhkan harta dan juga nyawa, biarpun mereka tidak merasa kemenangan, asal saja anak keturunan mereka dapat menikmati hasil perjuangan itu. Nilai kedaulatan bangsa dan negara ini juga adalah sesuatu yang mulia atau suci (sacred) sehinggakan ia tidak boleh diambil ringan dan dipermainkan.

Sistem perhambaan telah dihapuskan kerana ia bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat yang tidak suka kepada penindasan, pemerintahan kuku besi, dan kawalan yang berlebihan. Sebab itulah juga mungkin penafian kepada hak kebebasan, seperti pemenjaraan atau pemulauan, adalah merupakan satu bentuk hukuman yang biasa diberikan bagi bermacam bentuk kesalahan. Oleh itu, kita amat memahami naluri manusia ini yang tidak sudi untuk diperhamba walaupun nyawa jadi taruhan. Sebab itu ada satu kalimat yang terkenal mengenai kebebasan ini oleh seorang Ahli Politik USA dahulu “give me liberty or give me death”.

Sepanjang sejarah ketamadunan Islam pun, ugama ini telah banyak membebaskan manusia daripada belenggu penindasan dan kesyirikan, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada perhambaan sesama manusia kepada pengabdian kepada Tuhan yang Esa, daripada kehinaan kasta dan keturunan kepada hak dan kemulian yang sama, daripada kongkongan adat kepercayaan karut kepada kemurniaan akidah tauhid, serta daripada kezaliman penguasa kepada keadilan Syariat Tuhan. Sebab itulah mungkin penerimaan terhadap agama Rahmatan Lil ‘Alamin ini sangat mudah dan telah menyebar pula ke seluruh penjuru dunia.

Dan di sepanjang masa inilah juga, akan ada sahaja cobaan-cobaan untuk menghadkan kebebasan ini dengan berbagai-bagai cara, untuk bermacam-macam tujuan. Secara diam-diam, kita tahu akan kewujudan kumpulan-kumpulan rahsia (secret societies) yang terdiri daripada orang-orang yang berkuasa. Setelah sistem perhambaan ini dihapuskan, dan penjajahan fizikal juga sudah tidak dibenarkan, maka mereka-mereka ini mencuba untuk mendominasi dunia melalui berbagai cara dan kaedah, baik secara halus seperti brainwashing, menanam ideologi menyimpang, meng-hijack sistem pendidikan, juga melalui kaedah divide and conquer, fear mongering, perhambaan menggunakan sistem perbankan dan kewangan, dan memonopoli apa jua yang dianggap mainstream, baik akademik, bidang ilmu dan sains, teknologi, hiburan dan media, dan sebagainya lagi. Benda ini nampkanya sangat berjaya, kerana mudahnya manusia ini untuk dibohongi dan kurangnya minda yang suka mempersoal (inquring minds) di kalangan kita pada masa ini. Apa jua yang dihidangkan, asal namanya dari autoriti atau orang-orang di atas, maka kita terima bulat-bulat. Dan sebahagian orang seakan-akan mengimani perkara ini lebih dari sewajarnya dan siapa yang tidak mengikuti jalan mainstream ini akan ditohmah dan disisih. Apakah fakulti berfikir kita telah ditutup? Dan macam betullah apa yang dikatakan oleh bro dari Belait atu “we are like a sheeple”.

Mengambil latar ini, dan melihat kepada situasi semasa, di mana pergerakan kita tersangat dikawal sehingga benda yang dahulunya normal dan biasa, sekarang ini boleh sahaja menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang. Ada yang telah dilokap kerana bercakap sesuatu yang dianggap boleh mengundang kekacauan masyarakat, walaupun hakikatnya inda ada siapa yang mengambil serious orang berkenaan. Dia bukanlah public figure ataupun powerful influencer. Ini sangat membimbangkan kerana ketani inda tau mana garisannya di antara ruang kebebasan untuk menyatakan pandangan dan apa yang boleh dianggap sebagai hasutan yang menyalahi undang-undang. Jika itu boleh terjadi kepadanya, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Dan semua ini dibuat di atas nama ‘maslahah’ atau ‘public health’ tanpa ada sukat-sukat atau pertimbangan yang rasional. Saya bercakap dalam konteks dunia keseluruhannya dan bukan mengenai negara kita sahaja. Sudah tentu kita mesti berwaspada dalam tindak tanduk seharian, tapi apakah yang mendasarinya. Adakah boleh dijustifikasi dari segi fakta dan statistiknya? Kemudian dari sudut cost dan benefitnya? Berapa nyawa yang cuba kita selamatkan, dan berapakah harga yang harus kita tanggung? Mungkin mencecah ratusan billion atau trillion dollar dari segi kerugian dan merosotnya produktiviti global? Adakah kadar kematian yang beberapa % ini menjustifikasi kita untuk melockdown hampir keseluruhan dunia ini? Adakah secara overall-nya, well-being manusia sepanjang lock down ini lebih baik dari sebelum ini? Adakah kematian disebabkan COVID ini melebihi kematian oleh punca lain? Jika tidak, mana reaksi yang sama? Dan kenapakah COVID ini diselubungi begitu banyak konspirasi? Kenapa pulahan negara besar-besar mahu China membuka negaranya untuk penyiasatan yang telus mengenai dengan punca COVID ini? Bukankah sudah jelas ianya datang dari Kelawar? Atau kah semua itu tidak benar? Kenapa naratif yang kita pakai adalah naratif yang dipopularkan oleh kumpulan dan aliran politik tertentu (e.g. globalis dan berhaluan kiri) dan bukan semata-mata bersandarkan penilaian ilmiah yang objektif? Telah ramai para Doktor, saintis, dan pengkaji yang mula meniup wisel akan hal ini dengan mengatakan banyak ketidaktelusan yang terjadi dan sepertinya krisis ini telah dipolitikkan dengan begitu hebatnya, tetapi mereka ini tidak mendapat platform untuk didengari. Semua ini persoalan yang harus dijelaskan dengan sebaiknya supaya kita ini tidak over-react dan menjadi takut sehingga hilang kewarasan. Kita juga perlu mengimbangi hal ini sehingga kita mampu keluar daripada pandemik ini dalam keadaan terbaik; iaitu kita berjaya mengalahkannya dalam masa yang sama tidak pula tejelumpok dalam bidang-bidang lain.

Selain itu, polisi-polisi awam yang dibuat ini juga adalah macam sedikit berlebihan. Pada mulanya semua ini dibuat tidak lain adalah untuk tidak membebankan sistem penjagaan kesihatan. Kemudian langkah-langkah itu dibuat untuk memutuskan rangkaian penyebaran dan mengelakkan jangkitan baru. Tetapi senario ini semakin lama semakin berubah. Yang tadinya dibuat untuk menjaga kesihatan awam, sepertinya telah bertukar menjadi social engineering secara massal. Sebahagian orang kurang senang dengan penggunaan applikasi bagi contact tracing ini, kerana pada mereka ianya berpotensi disalahgunakan bagi tujuan data mining atau hacking. Lebih-lebih lagi apabila semasa sidang media 14 Mei 2020 dikatakan bahawa applikasi ini telah dibuat dengan bantuan sebuah syarikat daripada China. Apakah hal ini tidak menimbulkan red-flag? Kenapakah kita memilih syarikat dari negara itu? Apakah mereka ini tidak terkenal dengan aktiviti penyuluhan, mencuri maklumat dan recruitment? Adakah parti CCP yang berkuasa itu, satu parti yang telus dan agendanya tiada lain adalah untuk kebaikan dunia atau mereka itu diketahui mempunyai agenda komunisnya sendiri? Kenapa saintis dan doktor mereka yang melaporakan virus ini dikabarkan ‘hilang’? dan sebahagian rakyat mereka dikunci di rumah-rumah mereka sehingga ada yang mati bergelimpangan? Apakah juga badan-badan intelijen kita sudah memberi input dalam hal ini? Apakah pihak cyber-security telah meluluskan kerjasama ini dan apakah jaminan bahawa data-data kita tidak dicuri?

Pada mulanya applikasi ini diberigakan hanya untuk kegunaan untuk memasuki premis-premis perniagaan tertentu sahaja seperti restoran dan juga bagi solat jumaat di Masjid. Tetapi beberapa hari ini, hatta masuk ke pejabat Kerajaan juga dikehendaki untuk menggunakan imbasan QR code. Bagaimanakah hal nya jika ada maklumat-maklumat sulit di dalam telefon kita ini, mungkin bagi Menteri-Menteri atau VIP yang lain, atau pegawai-pegawai yang memegang rahsia pertahanan negara atau rahsia perdagangan dan sebagainya? Siapakah yang ada akses kepada back-end processesnya? Dan siapakah yang meng-administer-nya? Apakah ini tidak membuka pintu kepada penggodam? Tambahan kepada itu, ada orang yang melihatnya sebagai mass-tracking atau surveillance dan berasa seperti diceroboh individual privacy-nya. Apa tidaknya, setiap gerak gerinya dapat dikesan walaupun apps ini ditutup dan ianya disambung kepada rekod bru-hims dan Artificial Intelligent yang entah apa yang mampu dibuatnya. Semua ini menjadi kerisauan dan tanda tanya.

Tambahan kepada itu, saya melihat seperti terlalu besarnya kuasa telah diberikan kepada autoriti kesihatan kita ini tanpa adanya check and balance. Dulunya mereka kita harapkan untuk merawat dan menjaga orang-orang sakit di kalangan kita, pada masa ini mereka telah mengubah landskap kehidupan kita secara drastik. Mereka kita harap dapat memberi nasihat kesihatan, sepertinya telah berkuasa memberi directive yang tidak dapat lagi diperbincangkan. Dan sepertinya, tidak ada pun sesiapa yang mampu untuk mengimbangi arahan-arahan atau pendapat mereka itu supaya jalan yang kita ambil ini adalah jalan tengah yang terbaik. Kita semua ini mempunyai tujuan yang sama, kita mahu yang terbaik buat negara kita. Tapi jalan dan pandangan mungkin berbeza. Sudut ‘public health’ adalah utama untuk dijaga, tapi apakah sudut ‘civil liberties’, ‘economic survivability’, ‘individual rights’ dan ‘social cohesion’ adalah tidak penting? Dikatakan dahulu di zaman Nazi Germany dan mana-mana pemerintahan kuku besi yang lain, sentimen ‘for your safety’ selalu digunakan pihak pemerintah untuk mengawal tindak tanduk orang awam kepada pematuhan mutlak. Nampaknya perkara sama diulang kembali. "Semua ini untuk keselamatan abiskita".

Dahulu kita pernah dikuasai kuasa asing, masa ini kita telah ‘dijajah’ oleh sekecil-kecil virus. Kita ini satu bangsa merdeka, tetapi melihat suasana yang ada ini, saya tidak dapat tidak berfikir, di manakah dia nilai kebebasan dan kemerdekaan itu. Masuk ke masjid sahaja, kena ‘minta izin’, kalau penuh atau ‘tidak hijau’, akan dihalang masuk. Kanak-kanak tidak dibenarkan, sedangkan dikatakan bahawa orang-orang mudalah yang mudah sembuh dari virus ini. Masuk ke pasar ramadan, kena beratur panjang. Diawasi lagi oleh pasukan polis, lagaknya seperti orang bersalah. Di kedai atau di mana-mana, kena ‘melapor’ dulu kepada ‘Big Brother’, dan berjarak-jarak. Sehingga kita bersangka kalau-kalau orang sebelah menyebelah ini mungkin pembawa kuman. Dahulu, orang yang sakit dan yang ada simptomlah yang kena mengasingkan diri, pada masa ini, semua orang disuruh berjauhan. Kenduri kendara, nikah kawin, bersosial dan hatta bersalamanpun dianggap sebagai unhygienic dan bervirus. Pendidikan dan persekolahan terbantut. Inilah norma baru yang cuba diperkenalkan. Mudah-mudahan saja, langkah-langkah ini cumalah sementara sahaja dan dalam masa yang singkat ini semua ini dihapuskan dan kita akan berbalik semula kepada norma yang sebelum ini. Saya menyeru supaya orang terus patuh kepada arahan pihak berkuasa, tetapi pada masa yang sama, kita semua harus juga menggunakan kapasiti berfikir ini dengan lebih mendalam lagi supaya apa jua yang kita buat ini adalah yang terbaik dan rasional.

Wallahu Ta'ala a’lam.